“Abang keretamayat, tolong ulas mimpi makcik dapat tahu masa depan!”
*******
Alkisahnya, sebelum PKP hari itu, pada satu hari, saya
sedang nyenyak tidur, tiba tiba Smart Phone saya bergetar korus lagu Cromok
‘I’m not belong here’, saya capai telephone, tolak butang hijau dan dengar
suara sorang lelaki, saya cam itu adalah suara seorang sahabat saya, setelah
berbalas salam dan bertanya tujuan, rupanya dia nak tanya pendapat tentang
mimpi seorang blogger dapat melihat tanda kiamat.
Katanya,
“Hamka, ada baca tak kisah Blogger yang ada berdialog dengan
bishop?, jiran dia, dan Bishop tu cerita bahawa kiamat akan berlaku 2012, saya
rasa macam ada kebenaran tentang apa yang si bishop tu cerita dan terangkan,
semua yang dia cakap tu logic, dan buat saya sedar dan berfikir, dan yang saya
paling pelik ialah pasal makhluk yang paling agung dan suci yang akan
dilepaskan dari rantainya..., semua ada ciri ciri Dajjal, terus membuat saya
seram sejuk la sebab dia kata 2012 tahun akan datang muncul makhluk tu.”
Saya pejam celik celik cuba hadam kata kata kawan saya tu,
sekarang depan mata saya terlihat dua anak lelaki saya sedang berlari-lari
bermain-main, kat tangan ada objek mainan, sorang umur empat tahun, sorang nak
masuk tiga tahun. saya melilau mencari sorang lagi anak saya, pusing kepala 120
darjah, baru nampak ada kat belakang kerusi rupanya sedang sepahkan surat
khabar, umur baru setahun lebih.., mana isteri saya? Bisik dalam hati..
Sahabat dalam tepon sambung cerita:
“Lepas tu kan Hamka.., nak dijadikan lebih ketidaktentuan
saya ni... beberapa hari lepas saya menonton kat youtube..50 siri The
Arrivals..malay subtitle.. Saya sambil menonton tu berdebar-debar...dan
bergenang air mata... betapa selama ni rupanya dajjal dah memerintah
dunia...dan kita sekarang dah ada kat fasa akhir pemerintahan dajjal
laknatullah tu... ish...terkejut giler saya...”
Aduhhh, saya sambil dengar kawan cerita, sambil cuba
sedarkan diri sebab suasana rumah ni, bukan rumah saya, tapi anak anak macam
dah biasa kat rumah ni, apa hal telah berlaku pada saya?
Saya sekarang tengok anak perempuan saya umur dua tahun
sepahkan surat khabar, terus saya tengok kat mulut dia takut-takut termakan
sesuatu yang bukan makanan, air liurnya nampak meleleh, saya dekati dia,
kemudian sapu air liur itu dengan hujung bajunya, kalau bini saya nampak tentu
kena tegur.. Mana bini saya?
Sahabat dalam telefon teruskan cerita:
“Jadi Hamka, saya rasa orang-orang yang berpengaruh macam
Hamka ni... patut galakkan orang-orang Malaysia ni tengok the arrivals tu dari
Part 00 sampai Part 51. Saya ni risau.. kalau orang Islam tak sempat tahu
kewujudan dajjal sekarang... makin sesat dan tak sedar lagi,
Sekurang-kurangnya..kita dah tunjukkan bukti-bukti hadis Nabi Muhammad saw dan
kebenaran Al-Quran kepada rakan-rakan kita... Dan kalau diorang tak nak ambil
tindakan drastik tu kita tak dapek nak nolong...”
Dajjal apa pulak ni?
tapi saya masih selamba dan kelihatan cool, baru bangun tidur.., dalam
asyik dengar cerita, anak nombor dua saya menangis, si abanglah yang usik, saya
jenggilkan mata pada anak sulung saya dan terus pasang telinga..
“Hamka, kalau boleh, tolonglah sebarkan tentang pemerintahan
dajjal yang dah bertapak dalam fasa akhir ni, gunakan blog keretamayat kau itu,
ini peluang kau berdakwah... dan kalau orang kristian tengok the arrivals pun
mereka akan tahu mereka telah ditipu berkurun lamanya.... baik masuk islam
je...lagi selamat..”
Sambil pasang telinga, Saya terdengar suara isteri dari
dapur, juga suara wanita wanita lain, wanita kaya yang nampak sungguh bersih
juga ada barangkali. Anak saya sudah berhenti menangis dan mulai menyambung
permainan, menghabiskan tenaga libido.., oh! Baru saya synchronize bahawa saya
sebenarnya kat rumah orang, bersempena kenduri pertunangan anak saudara bini
saya, lepas solat tadi, saya tertidur keletihan dan kekenyangan kerana baru
habis majlis Akikah anak perempuan saya serentak dengan majlis pertunangan anak
saudara sabit,
Abang ipar saya ni ada bela banyak lembu, dan sempena
pertunangan anak sulung dia, saya tumpang satu bahagian sebab anak saya
perempuan, eh!, Anak bongsu (setakat cerita ini di tulis) sedang menangis
pulak, saya hampirinya, dan tepuk-tepuk pujuk. Sedang telinga terus menerima
gelombang dari handphone..
Cerita sahabat tu tiba ke fasa seterusnya, katanya..
“Video “the arrivals” tu ada 50 siri... dia cerita tentang
kita sebenarnya sekarang hidup dalam pemerintahan dajjal...yang 40 hari tu...
dia sertakan banyak bukti kebetulan, konspirasi pertubuhan rahsia dunia, hadis,
ucapan ulamak,
Awal-awal video memang dia banyak tunjukan ape yang dah jadi
kat dunia ni, tentang pertubuhan rahsia, konspirasi dunia, perang, sejarah
& sebagainya..., saya tak terus ambil bulat-bulat la...lalu saya pun jumpa
pakcik google & ingat-ingat balik sejarah yang penah saya baca &
belajar...memang baca kebetulan... yang kompem betul tu memang betul la...tapi
yang samar-samarpun nampak macam betul... tu yang saya nak kongsi dengan orang
yang lebih open pemikiran dia...nak tau ape pendapat & pandangan...
banyak kali jugak la saya tunjuk ape-apa bahan internet ni
kat orang yang lebih pandai ilmu agamanya dari saya, tapi jawapan yang saya
dapat, jangan pecaya bende kat internet ni bulat-bulat...lalu saya pun biarkan
ia berlalu..dalam hati "kalau saya percaya bulat-bulat, tak payah la saya
tanya kepada tuan" Saya pernah bertanya kepada jakim tapi sampai sekarang
takde berita... Saya andaikan movie maker ni seorang yang peka & banyak
melancong ...”
Anak saya masih menangis, saya selak lampin dan intai
bontot, manalah tahu kot-kot ada tahik ke apa?, takde, tapi lampin dah berat,
kencing banyak dah ni, saya dukung dia dan cari bini saya sambil terus pasang
telinga..
Kawan terus bercerita:
“Hamka, Semakin hari saya semakin risau, gusar dan resah.
Betapa takutnya saya dengan berbagai-bagai perkara yang terjadi di sekeliling
kita yang mana orang Islam tak perasan. Saya ingin meminta jasabaik Hamka untuk
menggunakan pengaruh siber Hamka, bagi menyebarkan tentang perkara ini agar
kita tak menyesal bila orang Islam terlanjur melakukan dosa sebab mereka tak
tahu akan kebenaran di sebalik apa yang sedang mereka lakukan adalah dosa,
Maaf, saya sedang tension..tension dengan DAJJAL!!!
Hamka, mungkin Hamka dah diberitahu tentang kajian dua orang
Islam barat tentang kewujudan Dajjal yang telah bertapak di dunia kita telah
mencapai 1000 tahun di Britain + 83 tahun di Amerika + 10 tahun dalam proses ke
Jerusalam."
Sedang rancak kawan bercerita, masa tu bini saya datang
ambik anak dan gerakkan mulut tanpa suara bertanya dan angkat kening yang
bermaksud;
“Abang cakap dengan siapa? Serius sangat muka tu?”
Saya kepit telefon dengan bahu, dan guna dua tangan saya
buat Bahasa isyarat yang bermaksud:
"Kejap, abang sedang cakap dengan kawan abang, nanti
abang bagitahu siapa dia, , pergi tukar lampin anak dan tengok anak kita yang
dua orang lagi tu, abang sibuk ni, sedang menambah ilmu di dada, dah-dah jangan
buat muka konfius, pergi kemas barang, jap lagi nak balik kuantan.”
Bini saya angguk tanda paham, walaupun Bahasa isyarat saya
merapu, mungkin isteri saya ada menggunakan kuasa gelobang magnetik.(tipu)
Sahabat tu cerita lagi tentang Dajjal:
“Hamka, Kita ada masa lagi 10 tahun lagi dalam dunia ni nak
elakkan diri dari pengaruh Dajjal... Sejak beberapa hari ni saya makin tak lena
tidur.. Dalam video tu ada beritahu, Friendster dan facebook adalah salah satu
cara dajjal nak mencari Imam Mahdi. Sebab Dajjal tak sempat tengok muka nabi
Muhammad, jadi dia tak kenal wajah nabi..sebab wajah Imam Mahdi macam wajah
nabi kan sebab dia keturunan nabi...
Lepas tu.., beberapa hari ni, kalau saya buka akaun facebook
saya, dia akan keluarkan sekeping demi sekeping foto kita, dia akan
kotakkan/fokus wajah sorang-sorang dia suruh tag/namakan... Saya terkejut, dan
fikir memang betul lah dajjal sedang mengenalpasti wajah-wajah manusia sebab
dia nak tau mana yang bernama Muhammad..yang ada iras nabi kita.. Ya Allah...
takutnya...
Lagi satu, dalam video tu, ada cakap, masa dajjal perintah
dari Britain dunia kena ikut matawang euro selama 1000 tahun. Masa dajjal
perintah dari US, kita semua kena pakai USD.. dan bila ke Israel, sejak tahun
2000, kita mula kena guna matawang israel..tapi dia pandai tak pakai currency yang
betul.. dia pakai ATM/credit card/segala jenis loan bank.. Dia nak duit kita
tak nampak, kita ada kad je.. atau hutang je.. biar kita bergantung pada dia
satu hari nanti... sebab semua bank-bank besar dunia Dajjal pegang , ini yahudi
durjana punya.. so, nak dijadikan bukti kukuh pulak...Minggu ni.. matawang USD
jatuh mendadak.. dan bakal jatuh lagi... Memang betul lah kata video tu...
Sebab dia nak hilangkan kuasa Amerika pulak..nak ganti ke Jerusalam... kat
tanah suci Yahudi tu...”
Sedang asyik pasang telinga, Tiba-tiba, saya teringat, dari
bangkit tidur tadi dan sedang asyik bersembang, saya belum solat asar rupanya,
oh, alangkah laghanya saya, nanti saya kena azab dalam kubur baru tahu, kena
azab kerana solat lengah-lengah, di panah kilat dan petir, di pukul lalu daging
di badan tanggal dan tulang temulang terbenam dalam tanah, tempat yang cedera
bertambah sakit seperti di jirus air panas.. oh oh oh!
Kawan saya masih gigih bercerita: “Malam tadi punya berita,
Iran dah lancarkan peluru berpandu QIAM, bertulis YA MAHDI atas dia... Saya
rasa mereka antara tentera-tantera Imam Mahdi yang mula bersedia nak menentang
tentera Dajjal... Sebab kat Israel dah ada tentera yang bernama KAFIR... Ya
Allah...seram saya...
Hamka, tolonglah tulis kisah ni di blog, Saya pun takut,
sebab persediaan saya belum cukup nak menempuh dugaan besar macam tu... “
“kejap Bro, Panjang gila kau cerita, aku baru bangun tidur,
mamai lagi ni, sekarang baru jelas, kau dah tengok video Arrival dan percaya
itu tanda Dajjal nak keluar?”
“Ya betul, Video tu kejap jer Youtube delete sebab Youtube
ejen Dajjal, dia tak nak orang tahu rahsia dia, tapi penerbit tu ada kod rahsia
dan akan sebarkan lagi, jika Youtube delete, saya boleh bagi link baru”
“Memanglah Youtube delete sebab video tu petik filem Matrix,
Filem Lord Of The Rings, penerbit Arrival tu dah cetak rompak karya orang,
memanglah kena delete, siapa dajjal sekarang ni? Pencuri hak karya orang atau
Youtube yang nak pengguna dia bermoral?”
“Eh? Hamka, kau tak percaya semua video tu?”
“Memang Tak Lah sebab video tu adalah TEORI KONSPIRASI yang
boleh di reka oleh semua orang, yang percaya adalah bodoh, atau senang
diperbodohkan.
Blog aku tak de cerita-cerita ramalan ni, biarlah tukang
tilik jer yang meramal masa depan dunia dan mati masuk neraka, aku tak nak
campur..
Pesan tok guru aku, banyakkan cerita atas langit dan bawah
bumi.(atas langit: akhirat, bawah bumi: kisah Nabi dan sahabat, ehem, ehem)
Dan aku tak nak terlibat dengan dosa orang yang quote ayat
Al quran dan hadith untuk membetulkan teori konspirasi, salah tafsir masuk
neraka, dan jangan mencemar kesucian Al quran dengan teori konspirasi yang
karut marut dan tak masuk akal (rujuk Asbabun Nuzul)
Dunia ni dalam perancangan Yahudi? Bagaimana dengan ayat :
Wamakaru wamakarallah wallahu khairulmakirin - Ali Imran(54) yang bermaksud,
Mereka merancang, Allah juga merancang, sesungguhnya Allah sebaik-sebaik
Perancang! (aku pulak quote ayat al quran..)
Ok, aku teringin sangat nak bebel panjang lebar, tapi aku
kat rumah abang ipar, lepas ni kita ngeteh, aku ulas betul betul bagi kau
faham! Maaf letak telefon, aku sangat-sangat perasan sibuk, Bye!”
Tamat panggilan, terus saya bersiap nak solat Asar,
tiba-tiba terdengar suara dari hati saya sendiri..
"Hamka, bukankah kau sudah solat asar tadi sebab dan
buat jamak takdim?”
"ye tak ye juga”.
Lalu saya pergi ke dapur minum teh tarik yang bini saya
buat, sebelum berangkat pulang, saya bersalam dulu dengan abang ipar, kemudian,
dari dalam kereta, anak bini lambai tangan insyarat 'bye’ kepada ipar duai dan
anak buah, lalu saya membunyikan hon sejurus menghilang dari pandangan mata
mereka....
Sekian.
Ps: Kejadian berlaku sekitar 2008, dan pada tuhun 2012,
kiamat telah berlaku dalam filem Hollywood, dan Youtube masih delete siapa
siapa guna keratan filem tanpa izin walaupun dengan niat berdakwah, Youtube
tetap akan delete. Now you know.
Woha!
No comments:
Post a Comment