Jun 2, 2021

Kisah Nabi pun buat Lawak?

Alkisahnya, 20 tahun dahulu, ketika saya belum keluar berdakwah, Ada sorang ustaz jumpa saya dan berkata:

“Hamka, kau ni kelakar, tadi dalam kelas, ustaz nampak kau sampuk cikgu cakap, semua kelas gelak, cikgu pun suka kau sebab selalu buat lawak dalam kelas, tapi kau tahu tak? ada sahabat Nabi yang juga sangat kelakar, suka buat lawak, hingga Nabi kata dia masuk syurga sambil gelak”

Alamak, saya kelakar sangat ke masa tu?

Tapi memang waktu sekolah dulu, saya tak boleh senyap dalam kelas, dan akan sampuk kata kata cikgu dengan kata kata lawak hingga takde orang tidur dalam kelas! Kira selalu bagi Punch line lah.

Tak sangka ada orang tabligh datang dakwah saya sambil kaitkan saya dengan sahabat Nabi yang suka buat lawak.

Tapi memang betulpun, dalam catatan sejarah ada Sahabat Nabi yang suka bergurau, dan buat lawak, hingga Nabipun ketawa nampak gigi bila bersama dengan beliau.

Pernah waktu Nabi dengar Karkuzahri (laporan) dari Abu Bakar yang baru balik dari Jemaah ke Busra, Nabi gelak bila Abu Bakar cerita tukang masak, si Suwabit kena jual sebagai hamba oleh Nuaiman, macam mana boleh kena jual?

Abu Bakar cerita, si Nuaiman ni lapar mintak makanan lebih dari Suwabit, tapi Suwabit tak nak bagi, Nuaiman ugut nak buat sesuatu yang drastik, tapi Suwabit tak heran, terus Nuaiman pergi pasar dan iklan nak jual hamba yang pandai masak dan akan bercakap, “saya bukan Hamba”, dengan harga 10 keping emas. Ada orang arab beli, bayar kat Nuaiman, dan terus tangkap Suwabit walau dia jerit “saya bukan Hamba”, waktu kejadian tu Nuaiman ni boleh pulak buat muka serius menjual, hinggalah Abu Bakar campur tangan pujuk orang tu pulangkan tukang masak sebab ni semua prank dari Nuaiman. Suwabit bila dilepaskan, gelak jugak sebab dia pun pernah cuba jual Nuaiman tapi tak Berjaya. Nuaiman lagi cekap, adohai.

Nabi juga pernah gelak waktu jumpa Nuaiman yang sakit sebelah mata, Nabi tegur, “boleh ke makan kurma sedangkan kamu sakit mata?” selamba Nuaiman jawab: Saya kan ada dua mata, saya makan kurma ni dengan mata satu lagi. Terus Nabi gelak nampak gigi.

Kisah lain, Nuaiman ajak Nabi makan di kedai, biasa siapa ajak dia kena belanja, tapi lepas makan Nuaiman suruh Nabi bayar, Nabi Tanya kenapa? Nuaiman cakap: Raja kenalah belanja rakyat, Tuan Nabi kot, kenalah belanja saya.., Nabi gelak dan bayar makanan itu.

Kisah lain, Nuaiman bagi hadiah makanan dan madu pada Nabi dengan kuantiti yang banyak, waktu Nabi agihkan makanan dan madu itu pada sahabat lain, datang penjual makanan dan madu mintak duit, sebab Nuaiman tak bayar pun. Nabi dah agak, inilah kerja Nuaiman, terus Nabi senyum dan bayar, hari lain Nabi Tanya Nuaiman, kenapa kau bagi hadiah tapi saya pula yang kena bayar? Nuaiman cakap, “Saya nak bagi hadiah kepada Tuan tapi saya tak ada duit tapi saya tetap nak bagi hadiah sebab saya nak pahala bagi hadiah” Selamba jawapan Nuaiman. Nabi terus senyum nampak gigi lihat gelagat Nuaiman. Adohai.

Kisah lain lagi, ada orang bergurau dengan Nuiaman, suruh sembelih unta orang arab yang baru masuk islam, orang tu masuk masjid, masuk islam, tapi Nuaiman boleh pulak sembelih dan panggang bonggol unta, bila orang arab tu menjerit unta dah mati, Nuaiman lari menyorok dalam kebun jauh dari Madinah.

Nabi ganti unta kepada Mualaf dan cari Nuaiman, terus jumpa sedang menyamar jadi tanah, dengan sapukan debu pada seluruh badan, Nabi sambil tersenyum sapu debu pada wajah Nuiaman dan ajak makan unta tadi sebab Nabi dah balanja.

Sahabat kadang pelik tengok Nabi layan karenah Nuiaman yang buat lawak bukan bukan, lebih parah Nuaiman pernah mabuk akibat minum arak, Nabi hukum dengan pukul Nuiaman dengan kasut, Saidina Umar yang geram dan berkata, Laknat Allah kepada Nuaiman, tapi Nabi tegur, dosa besar tak keluarkan orang itu dari islam. Malahan Nabi kata Nuaiman selalu buat saya ketawa, dan dia akan masuk syurga sambil ketawa.

Rupanya Nuiaman ni golongan Awalin masuk islam, dan sertai perang Badar, Uhud, Khandak, malahan waktu perang Tabuk ada sahabat bernama Kaab, Hillal dan Murarah R.A. tak sertai perang, lalu kena PKP oleh Nabi, tapi Nuiaman setia dalam semua perang.

Balik kepada Nabi Muhammad SAW sendiri, ada waktu Nabipun bergurau dan buat lawak, A'isyah R.a berkata : "Jika Rasulullah S.a.w berada di rumah, dialah orang yang paling murah senyum dan ketawa".

Pernah semua isteri Nabi berkumpul dan Tanya, siapa Rasullullah paling sayang? Nabi cakap: “Siapa dapat hadiah malam ni, dia adalah kesayangan saya”, maka malam itu Nabi jumpa isteri sorang sorang, dan semua diberikan satu dirham dengan syarat, jangan cerita kamu dapat hadiah, jadi esok pagi semua isteri Nabi tersenyum gembira. Woha!

Saidina Ali bin Abi Talib K.w pula menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w selalu kelihatan ceria, tenang dan santai, banyak tersenyum di hadapan para sahabat, semangat dan kagum dengan pembicaraan mereka, bahkan Baginda kadang-kadang tertawa sehingga terlihat gigi gerahamnya.

Pernah Saidina Ali sedang makan kurma bersama Nabi, Beberapa ketika kemudian, Sayyidina Ali menyedari bahawa beliau memakan sangat banyak kurma. Sebab ada biji-biji kurma yang banyak depan beliau.

Diam-diam beliau memindahkan biji kurma miliknya ke tempat biji kurma milik Rasullullah lalu berkata. "Wahai Nabi, engkau nampak begitu lapar sehingga makan kurma begitu banyak. Tengok biji semua depan kamu”

Nabi sambil tersenyum jawab: "Ali, kamulah yang sangat lapar. Sehingga makan kurma bersama biji, langsung tak ada biji tersisa di depanmu”

Terus Gelak Saidina Ali mendengar jawapan Nabi itu, woha!

Kisah lain, Nabi panggil Anas “wahai kamu yang ada dua telinga”, terpinga sekejap Anas nak hadam gurauan Nabi Muhamad SAW. Bila Nabi tengok Sahabat suka main dengan kucing, Nabi panggil dia “Wahai Bapa Kucing”, senyum sahabat tu dapat geleran tu dan terus tukar namanya jadi “Bapa Kucing” (Abu Hurairah) sampai hujung nyawa.

Ada jugak kisah orang tua datang jumpa Nabi minta Doa masuk syurga, Nabi jawab: Tiada orang tua masuk syurga” Terus sahabat yang tua ni menangis, Nabi terpaksa explain the joke, bahawa semua orang dalam syurga adalah muda, orang tua masuk pun jadi muda.

Tapi ada kisah jugak, Nabi buat lawak yang tak sampai punch line jika kena explain, maka nabi diam sahaja, sebab just never explaining a joke couse is not funny if you have to explain it.

Alkisahnya, Ada sahabat minta Nabi tolong dia naik unta, Nabi cakap, Nanti aku akan tolong kamu naik anak unta lah..

Sahabat ni pelik, kenapa Nabi suruh naik anak unta? Tak zalim ke naik anak unta? Sahabat lain explain Nabi buat lawak tu sebab semua unta adalah anak unta kepada ibunya. Baru sahabat ni senyum faham nabi bergurau.

Ada jugak kisah wanita bagitahu Nabi suaminya sakit, Nabi cakap, suamimu yang dalam matanya ada putih tu ke?

Wanita ni pelik, mana ada suami mata nya putih?, balik rumah suaminya bagitahu semua orang ada mata putih, baru punch line sampai kat wanita tu-woha!

Jadi tuan tuan, hidup ni kenalah cari masa untuk bergurau senda, sekali sekala apa salahnya. Nabipun pandai bergurau, makan janganlah serius sepanjang masa.

Balik kepada kisah Nuaiman, ada satu lawak gila dia buat, iaitu zaman Sadina Osman jadi khalifah, ada orang buta nak ke tandas, Nuiaman ni konon buat baik dan pimpin si tua ni pergi kencing, sekali rupanya dinding masjid!?

Menyumpah seranah orang tua buta tu bila kena tegur oleh Jemaah lain, dan Nuiaman pergi  menyorok sambil gelak, sebab orang tua bersumpah nak ketuk kepala Nuaiman dengan tongkat sampai berdarah!

Esoknya Nuaiman buat suara lain dan pergi kat pakcik tua yang buta tu dan berbisik “Pakcik nak cari Nuiman kan? Saya tahu di mana dia” Terus di pimpinnya tangan pakcik tu sampai ke mimbar Masjid yang mana Saidina Osman sedang iktikaf, terus orang tua tu ketuk kepala Saidina Osman sampai berdarah! Terkejut sahabat lain sebab Osman tu Amirul Mukmunin! Raja semua orang islam!

Sahabat lain tangkap Nuaiman, Tapi Saidina Osman r.a maafkan Nuiaman malahan gelak dengan kejadian itu, ada riwayat mengatakan Saidina Osman r.a berkata, semua dosa ahli Badar diampunkan Allah. Lepaskan dia.

Tak lama kemudian, Saidina Osman mati dibunuh oleh pemberontak islam, Ini bukan gurauan lagi, juga tak lama kemudian berlaku perang antara ahli syurga, Saidina Ali lawan Talhah, dan dikatakan sejak perang ahli Syurga itu berlaku, Nuaiman tidak tersenyum dan ketawa lagi. Beliau dikatakan menanggung kesedihan melihat fitnah menimpa umat islam, dan menghebuskan nafas terakhir di zaman Muawiyah berkuasa.

Maka dalam kita bergelak ketawa, jangan lupa kisah Sahabat yang telah alirkan darah dan air mata demi memperjuangkan agama.

Abdullah bin Mas'ud berkata,: Apabila aku mengaji didepan Nabi, aku lihat kedua-dua mata Nabi berlinangan dengan air mata". Bila Nabi cerita pasal kubur, saidina Usman menangis, Nabi cerita pasal titian sirat, Abdullah bin Rawahah pula menangis. Nabi cerita sifat orang munafik, Hanzalah menangis, Nabi cerita agama telah sempurna, Abu Bakar menangis, Nabi cerita tentang kematian, semua sahabat menangis.

Dalam sejarah islam, tak ada orang terdahulu yang gelak sampai bisu, tapi Ibnu Umar telah menangis kerana takutkan Allah s.w.t. sehingga matanya buta. Katanya kepada seorang yang memerhatikannya: "Agaknya kamu hairan melihat aku menangis? Matahari pun menangis kerana takutkan Allah s.w.t..."

Kadang kadang Nabi cakap tak banyakpun, terus Abu Bakar, Umar, Osman, Ali akan berlinang air mata..  lantas Nabi Muhammad s.a.w. berkata kepada mereka:" Tangisanmu telah menyebabkan para malaikat menangis bersama-sama."

Sabda Nabi Mubammad s.a.w lagi.:"Wajah yang dibasahi oleh air mata kerana takutkan Allah s.w.t.., walau bagaimana sedikit pun air mata itu, terselamat dari api neraka."kemudian Nabi suruh sahabat menangis mengenangkan dosa-dosa.

Dalam satu hadis lain pulak, Nabi saw bersabda “Banyak tertawa dan tergelak-gelak itu mematikan hati, Mereka yang banyak tertawa di dunia nescaya banyak menangis di akhirat.”

Jadi tuan tuan, dalam kita gelak berdekah atau buat lawak, jangan lupa menangis dalam solat tahajjud dan dalam doa selepas tahajjud kerana menangis dalam solat dan doa itu sunnah, dan tangisan takutkan Allah, akan memadamkan api nereka!

Akhir kata.., beruntunglah sesiapa yang menangis dalam solat, InsyaAllah akan bahagia di akhirat, dan sesiapa yang gelak dalam solat, maka solatnya batal! Tak sah! Solat semula!

Woha!

2 comments:

Filem 10 Minit said...

Banyak kisah nabi yang saya tak tahu....betul juga banyak ketawa didunia nanti di sana nanti kita banyak menangis...
.......
filem10minit.blogspot.com
Filem Seram Pendek

Hamka said...

tuan sendiri ke arahkan filem itu?