“Abang, jom tolong saya pindahkan pokok bunga dari dalam plastik ke dalam pasu”
Alkishanya, Melihat bini tanam pokok bunga, terus saya
teringat kisah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda yang mana perbualan mereka
pada mulanya hanyalah dalam urusan dunia, tapi bila bersembang dengan Nabi,
topik perbualan itu akan bertukar menjurus kepada cerita tentang akhirat.
Sebagai contoh, hadis riwayat Ibnu Majah, Daripada Abu
Hurairah r.a. beliau menceritakan bahawa pada suatu hari Rasulullah s.a.w.
datang kepadanya yang sedang bercucuk tanam, lalu Baginda bertanya kepadanya:
"Wahai Abu Hurairah! Apakah yang kamu sedang
tanam?"
“menanam tanaman untukmu Ya Rasullulah”,
"Wahai sahabatku Abu Hurairah, mahukah saya tunjukkan
kepada kamu satu tanaman yang lebih baik daripada tanamanmu ini?"
"Bah kan ya Rasulullah"
"Bacalah, Subhanallah Alhamdulillah Walailahaillallah
Allahuakbar, akan ditumbuhkan untukmu sepohon pokok di dalam syurga.”
Baik, itu baru satu contoh sembang bab dunia, tukar kepada
akhirat, ada kisah sahabat bercerita betapa untung beliau berniaga hari itu,
lalu Nabi ubah topik tentang untung lagi orang yang solat sunnat selepas solat
fardu. Conton lain: anak Nabi sendiri, Fatimah r.aha, bercerita kisah sedih
akibat penat dan perlukan hamba untuk menolong kerja rumah, Nabi ubah topik
kepada kelebihan tasbih sebelum tidur akan mendapat kekuatan hamba, ada sahabat
lain bercerita tentang unta betina bunting yang mahal, Nabi cerita pula kisah
kelebihan membaca Al quran, dan lain-lain.., anda boleh rujuk sendiri dalam
kitab kisah sahabat.
Baik, sambung kisah tolong bini tanam pokok bunga,
alkisahnya, apabila mahu tanam pokok bunga yang duduk dalam plastik sebelum
dipindahkan ke dalam pasu, langkah pertama, kita kena sediakan bahan tanah
campuran yang sesuai antara baja organik dan pasir. Bini saya cakap, nisbah
tanah yang baik ialah 3:2:1 iaitu campuran nisbah tiga, bagi tanah, dua bagi
bahan organik, dan satu lagi untuk pasir.
Eh? Kenapa saya ralit bercerita tentang perkara dunia pula
ni?, dan eh? Sejak bila halaman keretamayat bertukar menjadi halaman pertanian?
Bukankah halaman keretamayat adalah halaman kubur!
Fokus! Saya sepatutnya ikut sunnah Nabi, tolong bini buat
kerja, sambil bercerita tentang agama, lalu saya ambil satu ranting yang sudah
terpotong, lalu mengoyanggkan ranting itu sehingga daunnya gugur lalu berkata:
“wahai biniku,! mengapa kamu tidak bertanya,kenapa abang
buat begini?"
Bini senyum sambil terus buat kerja, lalu saya menyambung..
“Beginilah Rasulullah lakukan dihadapan sahabatnya yang
bernama Salman, semasa Salman r.a bersamanya dibawah sepohon kayu. Baginda
ambil ranting kering pohon lalu mengoncang-goncangkannya hingga kesemua daunnya
gugur seraya baginda bersabda,"Bahawasanya apabila seseorang Islam
mengambil wudhuk dengan sempurna,kemudian ia melaksanakan solat lima kali pada
setiap hari, maka dosa-dosanya akan gugur seperti mana daun-daun ini
gugur."
Bini saya menambahkan senyuman, tangan sibuk membasuh pasu
lama, lalu mendepakan tangan kiri dan mengoyangkan jari sebagai isyarat agar
saya hulurkan sisa sisa pasu pecah untuk dijadikan lantai pasu lama. Saya terus
menyambung cerita..
“Sayang tahu tak? AKAR POKOK YANG TUNJANG merupakan asas
kepada kekuatan pokok, tanpa akar pokok tunjang, maka pokok akan
tumbang..,"
Bini saya angguk angguk, bermakna dia sudah tahu..
“Begitulah ibaratnya IMAN dengan akar pokok tadi, iman
merupakan asas pada ugama, tanpa iman, maka robohlah keislaman kita..”
Bini saya angkut pasu yang sudah di isi serpihan batu lalu
bawa ke hujung pagar, saya mengikut dari belakang sambil mendukung beberapa
bungkusan anak pokok, dan saya sambung bercerita.
“AKAR YANG BERCABANG pada akar tunjang pula adalah SUNNAH
NABI, bukankah iman ada 77 cabang?”
Saya sambung lagi:
“Hadith riwayat Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda,
“Iman itu memiliki tujuh puluh tujuh cabang dan yang paling utama ialah Laa
ilaaha illa Allah, dan yang terendah ialah membuang duri dari jalan. Dan malu juga
merupakan salah satu cabang iman.” Jadi..., cabang akar pokok itu tadi umpama
sunnah Nabi yang bercabang cabang itulah! Yang mana pokok yang kuat memiliki
akar tunjang yang kuat dan banyak cabangnya, jadi individu islam yang kuat
adalah teguh IMANnya dan banyak pula SUNNAH dalam diri”
Bini saya angguk, dan ambil pisau lalu hiris bahagian bawah
plastic perlahan lahan sedang saya memegang bahagian atas plastik.., mulut saya
masih lagi berkata-kata:
“BATANG POKOK pula merupakan tiang ugama, dan ini mewakili
SOLAT dalam islam, tanpa solat, maka segala amalan lain jadi sia-sia, begitu
jugak pokok tanpa batangnya, maka tiadalah dahan, ranting, daun dan buah..,
Jadi, di sini.., DAHAN pokok pula mewakili ILMU dalam islam yang mana banyak
ilmu, maka banyaklan dahan..”
Akar pokok bungapun terdedah, bini saya dekatkan pasu lalu
saya letakkan anak pokok itu ke dalam pasu yang mana bini saya sudah siap-siap
mencampurkan isi pasu itu bersama baja dan pasir..
Saya menyambung lagi:
“Tapi jika ilmu itu tidak ada hubungan dengan Allah, maka
jadilah pokok itu banyak dahan tapi tidak berdaun, jadi macam pokok kering di
padang pasir, tidak boleh dijadikan sebagai tempat bereduh, kerana DAUN pada
pokok adalah mewakili kepada ZIKIR, yang mana lebat daun, maka banyaklah dahan
atau anologinya, banyaklah ILMU DAN ZIKIR”
Bini saya menyiram sedikit air untuk menkedapkan tanah,
apabila tanah itu semakin turun, saya campur pula dengan bahan tanah yang telah
di gaul bersama baja organik serta pasir. Lidah saya terus bergerak-gerak...
“BUAH pada hujung dahan pula adalah sifat IKRAM MUSLIMIN
yang ada pada diri orang islam yang menunaikan hak tanpa dirinya sendiri
menuntut hak, seperti pokok yang memberi buah kepada orang yang berteduh..,
langsung tidak menuntut hak.., manakala MANIS pada buah adalah KEIKHLASAN dalam
diri orang islam yang mana jika ikhlas, tentulah orang yang ditolong rasa
‘manis’, jika tidak ikhlas, tentulah buah itu rasanya masam..”
Bini saya terus merumpai tanah bagi mengurangkan persaingan
baja, air dan cahaya matahari. Saya pula melakukan kerja kerja penggemburan
untuk melonggarkan tanah yang padat dan keras bagi menggalakkan pengudaraan
tanah supaya pokok dapat tumbuh dengan subur. Sesekali saya membelek hujung
daun kerana takut ada serangan serangga perosak yang dikenali sebagai kutu daun
(aphids) dan koya (mealybug). Saya menyambung lagi analogi..
“ Akhir sekali, BIJI dalam buah tadi itulah DAKWAH,
kerana.., jika biji itu diletakkan pada tempat yang betul, disiram dan di
bajai, maka akan muncul lagi pokok baru bersama ribuan biji yang lain,
begitulah perumpaan ummat islam yang berdakwah kerana mereka ibarat biji pokok
yang subur yang di campakkan kemana sahaja, akan tumbuhlah cahaya islam serta
keimanan ibarat pokok yang akarnya teguh, batangnya tegap, dahannya kuat, daunnya
rimbung, buahnya lebat, dan manis pula rasanya serta subur pula benihnya,
SubhanAllah..”
Wah, bini saya nampaknya kagum dengan penerangan saya
tentang 6 perkara pada pokok dan kaitannya dengan sifat sahabat lalu berkata:
“Saya ingat, lepas raya nanti, kita beli lagi enam anak
pokok dan pasu barulah bang, tak balance kedudukan hiasan pokok ni”
Woha!
Ps: Nak tahu sambungan Kisah ini? Semuanya ada dalam Ebook
KISAH LAKI BINI DAN PUASA, saya nak bagi FREE Ebook ini kepada pembeli EBook
MUDAHNYA HAFAZ YASIN dari Link ini. http://bit.ly/HafalYasin
Selamat belajar Mudahnya Hafaz Yasin, selamat membaca Kisah
Laki Bini dan Puasa yang penuh tazkirah, dan selamat Ghibtah dari jauh! Woha!
No comments:
Post a Comment