Jan 17, 2023

Ucapab Bapa Pengantin?

Hari ni abang saya dapat menantu dari Negeri Sembilan, selesai akad nikah anak perempuannya si abang berbisik, kejap lagi Kekanda kena buat ucapan kat kenduri, minta tolong adikanda keretamayat karang sikit…

Ok siap!

Bismillahirrahmanirrahim,

Yang berbahagia Datuk / datin, tuan-tuan, puan-puan, para hadirin yang dihormati sekalian.

Assalamualaikum wbt. dan salam sejahtera.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

Dari Seremban mencari pantai

Hendak menangkap ikan berbakul

Yang kita hajat telah tercapai

Yang kita doa telah termakbul.

Alhamdulillah

Selamat datang kami ucapkan kepada semua hadirin. Terima kasih kerana sudi menghadirkan diri pada majlis ini.

Saya, perkenalkan diri saya, Cikgu Zul, ayahanda kepada pengantin perempuan, dikesempatan ini saya ingin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, dan berkat kerja sama tuan puan, jiran jiran, sahabat handal, saudara mara, sepupu sepapat, adik beradik, ipar duai, dan semua pihak, maka majlis perkahwinan ini dapat berjalan lancar. Alhamdulillah.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Untuk makluman semua, anak saya Nurul Saadah dan pasangannya telah selamat diijab kabulkan pada pagi tadi, pukul 10 pagi, syukur ke hadrat Ilahi dengan kelancaran majlis akad nikah, semoga mereka Dikurniakan kebahagian hingga ke akhir hayat. Dan melahirkan anak anak, cucu cicit yang soleh solehah Insyaallah.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Kepada keluarga pengantin lelaki, kami sekeluarga mengucapkan aluan selamat datang ke dalam keluarga kami seadanya. Harapan kami semoga silaturahim antara keluarga kita akan menambahkan lagi seri dan kebahagiaan, serta mengeratkan ikatan ukhwah sesama keluarga di dunia sampai akhirat.

Dikesempatan ini juga,

Saya rakamkan jutaan terima kasih kepada semua hadirin dan adik beradik serta saudara mara, serta jiran tetangga dan sahabat handai, terutama Mereka yang berada di belakang tabir bertungkus lumus dalam menjayakan majlis pada hari ini.

Segala pengorbanan anda syurgalah sebaik baik balasan. amin.

Terima kasih juga kepada DJ majlis, ustaz yang memimpin bacaan doa, dan mereka yang terlibat dalam semua atur cara dan persiapan hidangan. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa kalian.

Saya akhiri dengan pesanan cinta dari pujangga,

“KALAU angin bertiup dengan kencangnya, Jangan larang daun-daun kering berguguran, kalau mendung hitam sudah di atas kepala, Jangan larang hujan turun ke bumi, Kalau ‘senyummu’ selalu mekar dalam hatiku, Jangan larang aku tetap setia dan rindu padamu.”

Sekian, wabillahi taufik wal hidayah,

Assalamualaikum WBT.

Woha!



No comments: