Dec 11, 2020

Bukan semua orang macam kita?

Jika korang jumpa parent yang ada anak OKU autsime, jangan terus korang “paksa” mereka untuk percaya bahawa ini semua adalah salah vaksin.

Sebab bukan semua parent mampu terima takdir, dan jika ada jalan boleh salahkah pihak lain, maka parent yang tak boleh berdamai dengan takdir, akan jadi anti vaksin, dan jika jumpa dengan anti vaksin tegar, akan berkait pula dengan percaya bumi rata, covid 19 teori konspirasi, perubatan hospital adalah dajjal dan macam macam lah.

Kasihan parent tu, sudahlah anaknya OKU, perlukan terapi di Hospital dan nasihat pakar secara berterusan, tapi bila korang cakap semua ini salah Vaksin, dan hospital agenda yahudi, terus parent tu hentikan rawatan, lepas tu cuba berubat guna “pendapat” dari anti vaksin, maka dua kali kasihan, anaknya OKU dan terpaksa pula salahkan pihak lain yang konon punca men jadikan anaknya seorang OKU.

Kisahnya kebetulan waktu saya hantar anak terapi, ada sorang parent ni luahkan kesedihan kerana anak sulungnya aktisme, dan anaknya yang masih bayi tidak mahu di vaksin lagi kerana ada pihak bagitahu anaknya autisme sebab vaksin. Bila saya tunjuk bukti ada anak tak vaksin pun autisme, maka barulah parent ni lega sebab dia pernah jumpa kes anak mati sebab tak vaksin buat dia serba salah, nak anak mati atau autsime? Saya kata mati dan autisme adalah datang dari Allah, vaksin ni ikhtiar sahaja, lepas ikhtiar kita tawakkal. InsyaAllah.

Barulah nampak lega di wajahnya dan dia rasa bersyukur sebab ada orang macam saya-woha!

Baik, saya sendiri yang ada anak OKU autisme, memang selalu ada geng anti vaksin bagitahu saya puncanya adalah dari vaksin hospital, tapi saya guna akal dan rujuk data, sebab ada kawan saya yang tidak cucuk vaksin anak anaknya, tapi tetap juga autisme? Nak salahkan siapa? Maka saya berdamai dengan takdir, semua ini adalah ujian Allah, dan saya kongsi tips bagaimana nak bersabar dengan ujian dan sampai tahap, bersyukur dengan ujian, Alhamdulillah. Semua tu saya tulis dalam buku saya terbitan PTS berjudul: KERANA DIA ANAK SYURGA.

Maka pesan saya, tolong jangan sedihkan lagi parent yang ada anak OKU dengan tuduhan itu adalah salah vaksin, sebab tuduhan itu tidak benar kerana terbukti orang tak vaksin pun ada anak OKU, bantulah parent itu berdamai dengan takdir, bantu mereka agar bersyukur dengan ladang pahala, tolong apa yang patut, jangan ditambah kata kata yang tidak membantu dan menambahkan dosa, kerana hidup ini adalah pentas ujian, ada orang dapat pasangan mendera, ada orang dapat anak OKU, ada orang kena buang kerja, ada orang tiba tiba sakit lumpuh, ada orang tiba tiba mati mengejut! macam macam ujian.

Bantulah dengan doa dan sangka baik, semua ini dari Allah, kerana hidup adalah pentas ujian, kita datang dari kehendak Allah, kepada Kehendak Allah kita pergi.

Saya ada anak OKU autisme, dan saya Okey.

(Gambar anak syurga saya sedang bersedia untuk buat terapi kolam, terima kasih atas segala doa)

 

Berapa lama tulis buku?

Ada orang tulis buku dalam lima hari. Dapat anugerah bagai. Lepas tu ada yang perasan bukunya guna google translate. Adohai..

Kecoh juga isu ini di internet. Jadi ada yang tanya, berapa lama satu buku yang berkualiti dapat di siapkan?

Pengalaman saya sebagai penulis. Paling banyak saya tulis buku adalah 4 bijik setahun.

Buku pertama saya ambik masa 6 tahun untuk siapkan. Bermula dari menulis di blog pada awal tahun 2006 dan di reject oleh semua penerbitan. Maka 2012. Saya terbit sendiri. Judulnya Permata Yang Hilang Kini Dijumpai. Cetak 2000 bijik. Habis!

Lepas tu di lamar oleh Terfakab Media. Dua kali ulang cetak. Dua kali tukar cover dan habis. Alhamdulillah. Buku tu ramai pembaca puji dan jika korang nak beli boleh pm ada versi Ebook. So buku tu 6 tahun saya siapkan.

2013. Saya tulis buku Kamar Sutera. Dua kali ulang catak. Habis licin. Buku ni saya tulis dua bulan sahaja.

2014. Semusim di syurga. Saya tulis dalam masa satu bulan.

2015. Semusim di Neraka. Waktu ni saya terperangkap dalam banjir. Seminggu berkurung. Dan buku ini siap dalam masa seminggu.

2015 juga. Kisah Laki Bini terbitan Karang kraf. Buku ni paling laris cetak banyak kali. Saya dapat anugerah penulis best seller di majlis penulis karang kraf ketogori karya kreatif. Buku ini saya tulis dalam masa dua bulan.

Bermakna 2015. Dua buku setahun.

Masuk tahun 2016. Tahun paling cemerlang. 5 buah buku setahun.

Menangkap Dajjal di waktu Dhuha. Cetakan pertama 10 ribu. Habis. Saya tulis buku ini dalam masa tiga bulan.

Lepas tu Kisah Anak bini terbitan karang kraf.

Juga Aku almond LONDON dan gay terbitan Dubook. (Tapi buku ni di haramkan sebab tajuknya. Sob sob..)

Satu buku lagi buku hantu tapi penerbit tengok dah ada tiga buku maka walau dah siap. Di tunda ke tahun 2017 sebab tak nak pembeli pening nak memilih.

2017. Saya tak menulis sebab buku dah ada. Kisah hantu Terkahir. Lambat sikit buku ni nak di siapkan sebab separuhnya komik.

2018. Saya tulis buku baru dalam masa tiga bulan. Berjudul Mengeteh Di Kubur Ayah.

2019. Sempena ada anak syurga. Saya tulis buku kisah anak autimse terbitan PTS. Dalam masa setahun juga buku ini di siapkan.

2020. Saya ada hantar satu karya ke Patriots kisah kucing boleh bercakap. Kata editornya banyak kerja dan sedang menapis. Jika lulus adalah rezeki buku baru di tahun 2020.

Terkini? Hmmmm ... sekarang sedang tulis buku Tazkirah dari movie sebab waktu PKP banyak jugak movie saya layan. Siapa berminat nak terbitkan buku terbaru saya?jom bincang. He he.

Jadi dah 12 buku saya tulis. 7 penerbit saya bekerja. Saya anak terengganu. Moga boleh dapat anugerah penulis paling istiqamah ke dari kerajaan Terengganu, he he.

Ok. Begitulah kisah saya dan pengalaman menulis. Tapi masih belum kaya. Maka selain mengarang buku. saya juga mengarang Tanjak.

Woha!

 

Dec 8, 2020

Apa itu Jahil Murakkab?

Sekarang ramai yang share siap guna ayat Al quran, konon bumi ini rata, vaksin itu haram, matahari keliling bumi, Covid 19 itu konspirasi, semua dari WHO adalah haram, perubatan hospital itu yahudi, SOP itu dajjal, dan macam macam.

Yang tak tahan siap guna dalil Al quran nak bagitahu semua tu konspirasi.

Baiklah, Nak tanya sikit, Tahu tak golongan tafsir Al quran ni ada macam macam fahaman?

Orang yang kata bumi rata, matahari keliling bumi, virus tu manusia reka, siap berpandukan ayat Al quran, tahu tak apa namanya golongan yang tafsir Al quran dan menolak hujah sains?

Ok, saya senaraikan beberapa golongan yang sesat dalam menafsir Al quran.

1. Syiah, (kafirkan sahabat dan samakan Ali macam nabi)

2. Khawarij(anggap pembuat dosa adalah kafir dan wajib di bunuh)

3. Pluralism, (anggap semua agama sama dan akhirnya semua ke syurga)

4. Murjiah, (anggap orang buat dosa juga iman sempurna)

5. Qadariah, (anggap Tuhan tak de campur tangan dalam urusan manusia)

6. Jabariah,(Salahkan tuhan jika dia LGBT, jenis pasrah dengan takdir)

8. Manzilah, (melebihkan akal berbanding wahyu)

9. Musyabbihah,(tafsir Tuhan bertempat dan berarah)

10. Mujassimah, (tafsir tuhan ada jisim, ada wajah, ada kaki, ada punggung)

11. Wahabiyyah,(kafirkan orang yang buat bidaah hasanah)

12. Pengganas (anggap semua kafir adalah kafir Harbi, malahan orang islam yang tak sokong dia juga di anggap kafir)

13. Kalam Falsalafah (solat pakai niat, semua dalam diri adalah tuhan)

14. Jemaah Makiah (anggap selagi belum ada negara islam macam madinah maka tak payah solat sebab sekarang zaman mekkah sebelum hijrah)

15. Politik Takfir (jemaah saya sahaja yang betul dan siapa tak masuk adalah kafir)

16. Geng sekular (asingkan agama dan pemerintahan)

17. Geng moderate (islam adalah hal peribadi jangan menonjol sangat)

18. Anti hadith (Tafsir al quran tanpa hadis)

19. Liberal (melonggarkan hukum agama ikut nafsu)

20. Anti hadis daif (Anggap hadis daif adalah palsu)

21. Pengebom bunuh diri (anggap syahid walau bunuh orang awam)

22. Tafrik ( golongan meremehkan agama)

23. Al Ghuluw(golongan yang sangat keras dalam berhujah, memayahkan islam)

24. Ahli bidaah (meyembah kubur, percaya tangkal, guna sihir, minta ampun pada kubur orang soleh)

25. Pemuja wali (Angkat darjat wali keramat sataraf Nabi)

26. Madiyyun (orang yang utamakan dunia)

27. Rohaniyyun (agama semata mata, tak peduli masyarakat)

28. Ahli kitab (sembah Allah tapi tolak nabi)

29. Lagha (islam hanya pada nama)

30. Muktazilah (utamakan akal dalam menafsir)

31.Hasyawiyyah(tak boleh guna akal dalam tafsir)

32. Salafiyyah (tolak mazhab hanya perlu direct kepada nabi)

33. Sufi khasaf (guna hujah dari ilham, mimpi dan khasaf, kenal zat Allah sampai zat)

34. al munafik (Pura pura islam, hati kafir)

35. Al fasik (Buat dosa berulang ulang)

36. Islam Lenient (semua orang boleh keluarkan fatwa sendiri)

37. Scammers Islamik (Penunggan agama, jual agama untuk untung dunia)

38. Bomoh islamik (jual air liur dan ikut cakap jin)

39. Al ziyadah (golongan halalkan riba)

40. Jahil murakkab (tolak sains dan logic dalam tafsir al quran)

41. (banyak lagi…, saya senaraikan yang sesat, yang tak sesat kita buat list lain)

Jadi Dari senarai di atas, bayangkan, pelbagai golongan muncul dalam bab tafsiran al quran. Melencong bab akidah, melencong bab hukum hakam, melencong bab kehidupan, dan tiba tiba zaman 2020, masih ada orang yang tolak hujah sains depan mata dengan tafsir Al quran secara Zahirriyun, maka muncullah golongan Jahil murakkab!

Sunnah wal Jemaah ni, kita guna sumber Al quran, hadis, akal, pancaidera, semua kita guna selagi tak batalkan akidah.

Sains ni masuk dalam akal dan panca indera, Allah suruh guna akal dalam Alquran dengan perintah lihatlah kejadian alam, bagaimana langit di tegakkan, bumi di ratakan, bagaimana kejadian siang dan malam, bagaiman hujan tiurun, bagaimana kejadian unta, semua tu Allah suruh guna akal dan panca indera.

Selagi ianya tak bertentangan dengan Dalil wahyu, maka kita terima.

Bumi bulat, bumi keliling matahari, vaksin untuk mencegah, SOP untuk jaga nyawa, semua tu ada bukti depan mata, maka kita terima sebab semua tu tak batalkan akidah.

Sains ni asbab, orang tolak asbab dia jahil murakkab! orang yang yakin dengan asbab dia syirik,

Kita ahli Sunnah wal jemaah, iaitu guna asbab tapi yakin dengan Allah, kita usaha dengan ilmu, ikhtiar dengan ilmu dan tawakal kepada Allah, sebab kita bukan Jabariah yang putus asa dengan takdir atau Qadariah yang nafikan Tuhan dalam takdir,

Kita bukan Khawarij yang mengetatkan agama atau Murjiah yang melonggarkan agama, kita pertengahan yang seimbang. Kita wasatiyyah!

Kita adalah Al kairul Umat Al Umatan Al wasata Al watiyyah al adilun Al Iktdal Al ansar Al Ajwad Mukatadillun!

Tak paham pulak karang saya cakap arab, pendek kata tolong jangan termasuk golongan tafisr Al quran tahap Al jahil Murakkab!

Woha!

Ps: Bagi yang tidak tahu apa itu Jahil Murakkab ianya bermaksud bodoh yang berlebih lebihan sehingga tak tinggal langung kepada orang lain, semua dia sapu. Now you know but still ignored.

Dec 7, 2020

Kayu Kokka Nabi Nuh?

“Salam, Abang mayat, betul ke kayu kokka yang merupakan dinding asal bahtera Nabi Nuh ada azimat tertentu? Ada orang jual, boleh ke beli kayu macam tu?”

******

Salam.., takde pulak dengar kisah sahabat guna kayu bahtera Nabi Nuh buat azimat, atau guna Batu yang digunakan Nabi Ibrahim melontar syaitan buat tangkal, atau serpihan tongkat Nabi Musa buat berubat, atau selipar Nabi buat logo, takde pulak saya yang jahil ini ada mendengarnya, Apa yang saya faham:

Kisah Nabi Nuh ni Allah cerita bab istiqamah berdakwah 950 tahun siang dan malam sebagai pengajaran, bukan nak cerita bahan bina bahtera sebagai azimat.

Jika nak azimat jugak, ada jer kat rumah orang tua kita, atau mungkin rumah kita sendiri pun mungkin ada. Orang tua tinggalkan, Cuma kita tak perasan.

Barang ni barang baik, perempuan ada Haid tolong jangan pegang.

Lelaki pulak, jika nak pegang kena basuh muka dulu, lepas tu basuh tangan, sapu kepala sikit dengan air, dan lepas basuh kaki baru boleh pegang.

Tapi tolong pakai baju tutup aurat, barang ni daulat dia tinggi!

Lepas tu bila pegang dia punya kelebihan, tengok sahaja dah dapat pahala, belum lagi ‘berborak’ dengan kalimah di dalamnya. Syaitan pun takut barang baik ini!

Itulah raja segala azimat, Mukjizat Terbesar dari Allah kepada manusia.

Ada di Rumah orang islam.

Selamat membaca Al quran.


Apa itu Wasatiyyah?

BIla anak semua dah balik asrama, maka best sikit bila buat Muzakarah.

Maka lepas solat, kumpul semua anak anak, duduk dalam bulatan, lepas tu kita bagi tazkirah sikit tentang nikmat kenal Allah.

Sungguh, nikmat kenal Allah, nikmat agama, adalah nikmat terbesar, Nabi tak menangis tengok orang buta di Madinah susah payah ke masjid solat berjemaah, tapi Nabi menangis tengok orang kaya yang mati tanpa agama, kerana tanpa agama mereka kekal dalam neraka selamanya.

Maka selagi kita faham nilai agama, semua masalah lain kecik sahaja.

Habis tazkirah ringkas, maka minta anak anak bagi cadangan tajuk apa nak muzakarah.

Maka ada macam macam cadangan, tapi saya pilih tajuk Muzakarah adalah Wasatiyah dalam Islam.

Note: Hari ni siapa yang tak tahu tentang Wasatiyyah, akan tahu jika baca sampai habis dan bolehlah bersembang dengan mertua malam ni tentang Wasatiyyah agar korang dapat menjadi menantu yang mengkagumkan dari jauh! Woha!

Baik..

Wasatiyyah (وسطية) merupakan perkataan bahasa Arab yang bermaksud “pertengahan” atau “pusat” atau “seimbang”.

Dalam konteks Islam, ia merujuk kepada "jalan tengah yang seimbang", kerana bila Umat Islam berbeza pendapat, maka perlu pada Wasatiyyah iaitu Jalan Tengah yang mengutungkan semua pihak.

Umat islam ni ada yang PELAMPAU dan ada yang CUAI. Terlalu berlebih dalam kefahaman agama, hingga mudah kafirkan orang adalah PELAMPAU, dan terlalu sederhana hingga hokum hakam islam di langgar maka menjadilah ia LAGHA, atau CUAI.

Jadi dalam Islam kita tak nak jadi PELAMPAU, kita juga tak nak jadi CUAI, kita nak pertengahan yang seimbang, iaitu Wasatiyyah.

Wasatiyyah ni bukan untuk kepentingan peribadi, contoh malas pergi solat berjemaah, arghhh, islam tu sederhana, maka solat kat rumah sahajalah, tak betul macam tu. Itu adalah CUAI.

Wasatiyyah ni adalah jalan pertengahan yang seimbang, contohnya solat berjemaah, jangan baca surah terlalu panjang, sebab ada Jemaah yang tua, yang sakit, ceramah jangan terlalu lama hingga ramai yang tertidur, maka Wastiyyah diperlukan mengikut kesesuaian keadaan agar keseimbangan tercapai.

Nak baca surah panjang Al baqarah tak boleh ke? Boleh tapi dalam solat sunat sendiri tanpa bebankan makmum, waktu tu nak baca separuh Al quran pun tak di kira melampau, dan itu Wasatiyyah terbaik bagi yang mampu. Nampak tak?

Sama jugak jadi Imam baca surah terlalu pendek dan laju, pun tak sesuai, jika nak baca surah pendek, berikan masa selepas Amin Al fatihah untuk makmum sempat bacakan, inilah contoh wasatiyyah dalam solat berjemaah.

Tapi bab solat ni orang kurang gaduh, orang biasa gaduh bab harta dan takhta.

Selalu terjadi, yang mana.. sesiapa yang belajar agama tanpa kefahaman Wasatiyyah, akan cenderung menjadi Pelampau, rasa diri paling betul, mudah sesatkan orang, kadang akan kafirkan orang yang tak setuju dengan mereka, maka menjadilah mereka Pelampaun agama, untuk selamatkan mereka, maka Wasatiyyah diperlukan agar kefahaman agama mereka menjadi seimbang.

Contoh masa zaman PAS bergadung dengan UMNO dulu, senang senang sahaja dalam ceramah PAS kafirkan UMNO, solat di masjid UMNO tak sah, kahwin tak sah! Dan macam macam lagi, itulah akibat jika tiada Wasatiyah dalam beragama.

Orang Umno zaman tu pulak ramai yang Cuai dalam Beragama, buat konsert maksiat, benarkan artis perempuan seksi rambut panjang masuk TV, tapi lelaki rambut panjang tak boleh walaupun bergaya pendekar, ada ketua UMNO yang hina janggut, hina lebai, salah guna wang rakyat dan sebagainya yang buatkan kebanyakkan mereka menjadi penganut islam yang CUAI.

Maka bergaduhlah penyong PAS yang PELAMPAU kafirkan UMNO, dan penyokong UMNO yang suka ringankan bab agamapun tak sebulu dengan PAS lalu akhirnya bila UMNO kalah, DAP naik, orang PAS tengok DAP lagi teruk dari UMNO, maka mereka pun mencari jalan tengah untuk berdamai,mencari WASATIYYAH lalu bersatulah UMNO dan PAS dengan Muafakat Nasional,dan ungkapan Wasatiyyah mula difahami kerana mereka dah Berjaya mencari titik tengah yang seimbang hingga boleh berdamai demi kebaikkan Ummat Islam.

Nampak tak? Peri pentingnya kefahaman Wasatiyyah ini di amalkan?

(anak semua angguk macam faham, tapi dah namapun muzakarah maka saya minta semua bagi contoh Wasatiyyah, maka ini adalah jawapan hasil muzakarah)

Anak nombor 4: Wasatiyyah ni contoh jika Bonda masak, tak boleh pilih makan, tak nak sayur lah, tak nak itu lah ini lah, dan tak boleh pulak makan banyak nak yang best best sahaja, jadi makan sederhana, berhenti sebelum kenyang, makan selepas lapar. Itulah Wasatiyyah bab makan.

Anak nombor 3: Wasatiyyah ni contoh bab belajar, jangan syudy hard sampai tak solat, tak riadah, tak bersosial, dan jangan solat sahaja sampai tak study. Waktu study kita study, waktu main kita main, Itulah Wasatiyyah bab study.

Anak no 2: Wasatiyyah bab kerja, kerja pun ibadat tapi jika kerja sahaja sampai lengahkan solat, tak betul jugak, dan jika ibadat sahaja harap orang sedekah, tak betul jugak, jadi Wasatiyyah ni waktu kerja kita kerja, bila azan, berhenti sekejap untuk solat dan bertebaranlah mencari rezeki lepas tu.

Anak no1: Wasatiyyah ni macam bab takdir, ada yang Jabariah, anggap Tuhan tiada campur tangan dalam takdir, semua dari kita, kita berkuasa atas takdir, salah fahaman macam tu, dan lawan Jabariah adalah QAdariah yang anggap semua dari Tuhan, kita mencuri pun salah Tuhan, kita semua macam robot sahaja, pun MELAMPAU kefahaman macam tu, jadi jalan tengah WASATIYYAHnya adalah, SUNNAH WAL JAMAAH, iaitu beruusha, beriktiar, berdoa dan bertawakal, guna peluang buat pilihan dengan baik, dan bertakawal kepada Allah dan beriman bahawa dalam semua takdir ada Hikmah, itulah Wasatiyyah bab takdir.

Isteri:  “Alahai suamiku, dah lama tazkirah dan muzakarah ni, wasatiyyahlah siikit ayahnya, tutup majlis dengan tasbih kafarah! anak anak semua dah lapar tu Wasatiyyah bang! WAsatiyyah”

Woha!

Nov 17, 2020

Marah kepada Mati?


 

“I’m not afraid of death, I’m just pissed off about it, Especially, I think, when you have a life like we have, and then one day it’s over. I mean, that really pisses me off.”

Petikan kata kata Arnold Schwarzenegger.

Al kisahnya, Nak jadi kaya dalam hidup ni bukan perkara senang, kena susah payah, siapa cakap senang nak kaya?, melabur dan duduk rumah goyang kaki? alamak kena tipu dengan scammers lah nanti.

Semua tahu sudah, Arnold bermula dengan bina badan, jaga makan, senaman siang malam, dan dengan pengorbanan besar hidup tak macam orang, dia Berjaya jadi Juara bina badan peringkat dunia!

lepas tu bila dah penat bina badan, maka dia nak mencuba bidang lakonan, tapi takde orang nak ambik berlakon sebab badan terlalu tinggi dan besar pelik, loghat pun berterabur. Ujikabakat nak berlakon jadi HULK pun tak lepas. Filem awalnya kena ganti suara orang lain, namapun susah orang nak eja, Arnold Susahnakeja.

Tapi Arnold ada pepatah hidup, iaitu jangan bertangguh dengan segala peluang, “If you leave dishes in the sink, they get sticky and hard to wash the next day”

Maka beliau terus belajar berlakon dan ambik peranan walau sekecil manapun.

Tapi berkat kerja keras, akhirnya dapat berlakon filem purba, Conan, sesuai dengan badannya dengan watak Pendekar pedang besar lawan naga, lepas tu jadi Terminator, sesuai jugak jadi robot, , lepas t uterus dapat tawaran berlakon macam macam filem, terus jadi kaya raya, tapi lama lama filemnya banyak gagal, tak laku, masuk politik pulak,

Dah kaya balik, tapi lepas tu kena kecam macam macam, kes dadahlah, kes cabul lah, siap kena baling telur, akhirnya bersara dari politik, kembali berlakon, dan sekarang telah ada segalanya, restoran mewah, Planet Hollywood, bangunan mewah, tanah berekar ekar, harta melimpah ruang, kemahsyuran, kesihatan waktu tua, dan bila di tanya apa pendapat anda tentang mati, maka jawabnya:

“Aku tak takut mati, Tapi aku bengang dengan mati, terutama bila aku dah ada segala gala dalam hidup, tapi satu hari mati akan ambik sekaligus!, ni yang buat aku bengang dengan mati!”

Ya tuan tuan, nak jadi kaya banyak pengorbanan kita kena buat, tapi mati itu datangnya secara tiba tiba, dan akan ambik nyawa serta pengorbanan kita sekelip mata.

Ada orang kerja siang malam nak buat rumah besar, rumah belum siap, dia mati dulu.

Ada orang kerja siang malam bayar hutang, belum habis hutang, dia mati dulu.

Ada orang belajar sampai PhD, belum sempat Konvo, dia mati dulu.

Banyak jika nak cerita.

Kita pun akan mati, dan mati akan rampas segala pengorbanan kita dalam sekelip mata.

Maka beruntunglah orang yang buat pengorbanan untuk kehidupan selepas mati.

Allah bagitahu semua orang rugi, kecuali orang yang ada 4 perkara ini.

Iman dan Amal Soleh dan Dakwah, dan Sabar.

Allah guna DAN, bukan ATAU, bermakna semua kena buat baru tak rugi.

Jika Allah guna ATAU di hujung ayat, maka kita boleh pilih, contoh, berkahwinlah kamu dua ATAU tiga ATAU EMPAT.. maka tak salah nak kahwin dua, atau tiga, tapi bila Allah berfirman semua orang rugi, kecuali orang berIman dan berAmal Soleh dan Berpesan dengan Kebenaran, dan Berpesan dengan KeSabaran.

Maka kena ambik semua.

Sebab?

Semua tahu sudah jika Orang ada Iman sahaja, langsung tak ada amal soleh, maka akan masuk neraka, tapi sebab dia ada Iman akan dikeluarkan juga dari neraka, ruginya dia sebab masuk neraka hukuman maksimum.

Orang yang ada Iman dan Alam Soleh sahaja juga boleh masuk neraka sebab tanpa Dakwah, isteri boleh Tarik ke neraka, JIrannya boleh Tarik ke neraka, anaknya boleh Tarik ke neraka, orang bawahanya boleh Tarik ke Neraka, maka amal soleh sahaja tidak cukup, kena ada Dakwah atau dalam Bahasa Al quran “berpesan pedan dengan kebenaran”

Dan akhir sekali, dah berdakwah tapi takde SABAR tak sempurna juga, sebab bila Dakwah tiba tiba ada orang kecam kita pun stop, orang keji kita pun balas dengan keji, orang maki, kita pun maki balik, kita putus asa, kita marah, kita caci mencaci, gaduh semuanya berlaku sebab tak ada SABAR atau dalam Bahasa Al Quran “berpesan pesan dengan Kesabaran”

Jadi kena ada empat ini barulah boleh kita berdamai dengan mati, InsyaAllah.

Maka dalam kesibukkan kita bagi masa untuk cari kaya, janganlah lupa untuk bagi masa untuk cari keredhaan Allah.

Bangun malam tahajjud, jangan doa nak panjang umur dna murah rezeki, dulu syaitan minta panjang umur, Qarun minta murah rezeki, kedua dua permintaan Syatan dan Qarun itu makbul, Syaitan masih hidup sempai sekarang, dan Harta Qarun masih ada sampai sekarang, tapi Syaitan dan Qarun dilaknat dalam Al quran sampai kiamat.

Maka bangun Tahajjud, mintalah empat perkara:

Ya Allah Kekalkan saya dalam Iman sampai mati.

Ya Allah, Pilihlah saya untuk buat amal Soleh.

YA Allah, Ambiklah, diri, masa, dan harta saya untuk buat kerja berpesan dengan Kebaikkan.

Ya Allah, berikan saya hakikat berpesan dengan kesabaran yang mana saya akan istiqamah dengan semua ini sampai mati.

Amin.

Tentang doa panjang umur, murah rezeki, tak lah salah nak doa, tapi karang panjang umur sampai nyanyuk hingga anak cucu kena basuh berak, tak shok juga, harta terlalu banyak hingga masuk syurga sampai merangkak, tak shok juga, jadi doalah agar dapat BERKAT Umur, dan BERKAT harta.

Apa itu BERKAT umur?, panjang dan pendek umur kita, tetap menyelamatkan dari azab api neraka.

Apa itu BERKAT harta?, banyak dan sikit harta kita, tetap menyelamatkan dari azab api neraka.

Amin ya Rabbil Alamin.

Bangun Tahajjud karang, jika teringat, doakan abang mayat sama yer, nanti kita jumpa kat Syurga tingkat lapan, area telaga susu dan madu.

Woha!

(Semoga Allah bagi hidayat buat Arnold dan kita semua, amin)

Nov 16, 2020

Sukan Gusti Haram?


 “Saya tengok abang mayat minat khabib, minat gusti UFC, sedangkan dalam Islam bergusti adalah haram, Khabib membuat dosa kerana bergusti dan kita terhibur menonton babak orang pukul orang? adakah abang mayat menyokong sukan yang haram?”


*******

Terima kasih atas teguran, memang betul sukan gusti ada fatwa haram sebab mencederakan wajah, memukul muka adalah di larang dalam islam.

Namun ada juga pendapat ustaz, yang benarkan bergusti jika pakai pelindung muka, dan pakai sarung tangan. Bermakna hukum asal adalah haram bila mendatangkan bahaya! dan harus jika ada ciri keselamatan.

Untuk pengetahuan anda, Awal sukan UFC 1993, dunia dikejutkan dengan sukan paling brutal, tak ada limit masa, pakaian bebas, boleh pukul di mana sahaja, boleh pijak lawan yang jatuh, maka sukan itu telah mendapat kritikan kerana terlalu kejam, maka UFC hari ini telah di buat undang undang demi menjaga keselamatan nyawa setiap peserta.

Sebab tu Khabib boleh lawan 29 kali tanpa cedera di wajah sebab dengan cara yang betul, sukan ini tidak merbahaya.

Jadi dalam UFC terkini, undang undangnya adalah, tidak boleh pukul belakang kepala, sebab pukul belakang akan mati. Jika ikut hadis tak boleh pukul wajah adakah bermakna boleh pukul belakang kepala?

Pukul wajah boleh pengsang, pukul belakang kepala boleh mati, maka hadis tu betul iaitu pukul yang mem pengsangkan pun tak boleh maka apatah lagu pukul belakang kepala.

Balik pada pendapat ustaz yang mengahruskan jika ada ciri keselamatan, maka semua peserta UFC sekarang ini, wajib memakai sarung tangan, tak boleh cucuk mata, tak boleh gigit, dan bila mangsa jatuh, tak boleh guna kaki, Conor waktu lawan Khabib telah lakukan kesalahan melutut Khabib yang sedang posisi atas lantai,itu salah!

Lagi ciri keselamatan adalah sebaik mangsa kena tumbuk di muka, biasanya peserta akan ambik peluang untuk pukul lagi, waktu itulah pengadil akan hentikan perlawanan kerana tugas pengadil nak pastikan semua peserta selamat, jika tumbukan berkali kali dan pengadil biarkan, maka pengadil itu tak layak menjadi pengadil.

Ciri keselamatan lain, ambulans dan doctor telah ready siap siap jika ada kes tak di ingini, jika musuh kena cekik, pengadil akan hentikan perlawanan, dan doctor akan terus berkejaran bagi CPR.

Lagi ciri keselamatan, siapa yang cedera tak akan di benarkan bertanding, Khabib berapa kali terpaksa cancel lawan Tony sebab kakinya cedera.

Lagi ciri keselamatan, ada masa rehat selang lima minit, round hanya tiga bagi peserta biasa, dan otai, sampai lima round, lepas lima round walaupun belum ada yang kalah, maka keputusan akan di kita berdasarkan jumlah serangan. Tak lah zalim sangat nak lawan sampai 12 round...

Lagi ciri keselamatan, peserta tak boleh makan ubat kuat atau ambik dadah, ujian air kencing akan di ambik sebelum dan selepas perlawanan, ada lawan Khabib yang ambik dadah tapi kalah jugak, dah hukuman telah dikenakan pada lawan Khabib yang ambik dadah tu.

Lagi ciri keselamatan, berat badan peserta mestilah setara agar kekuatan tumbukan adalah sama, tak ada orang 100kg nak lawan 50kg, tak de dalam UFC macam tu. Zalim dan tak adil.

Lepas tu pulak, jarak antara perlawanan bukan boleh lawan tiap minggu, kadang kena tunggu setahun. Rehat betul betul, berlatih betul betul, baru layak bertanding.

Syarat nak masuk sangat ketat, hanya mereka yang stamina tinggi dan ada rekod seni bela diri boleh masuk, bukan boleh pergi lawan terus walk in macam pergi ambik Brim.

Jadi pada pendapat saya, sukan yang penuh dengan ciri keselamatan dan terbukti selamat, adalah harus. Jika sukan UFC macam awal dulu, orang berat 100kg lawan orang 50kg, takde mase rehat, tak pakai sarung tangan, boleh pijak waktu jatuh, boleh pukul belakang kepala, memang haramlah!

Tapi sukan yang penuh dengan ciri keselamatan, bagi saya secara peribadi, harus sebab ada ciri keselamatan. Takde yang di zalimi. Cepat dan common sense.

Sudut lain pulak, ilmu bela diri adalah ilmu paling berguna waktu perang, umat islam di ajar tak takut bersunat sejak kecik lagi, di ajar sembelih binatang tiap tahun, di ajar tengok darah, agar lebih berani, maka bergusti adalah ilmu yang sangat bagus dalam menambah ketakutan musuh.

Dan bila ada ilmu, perlu pada ujian, maka UFC adalah medan untuk buktikan kemampuan seni bela diri siapa yang terhebat? Dan dengan ciri keselamatan yang sedia ada, tiada yang mati, dan tiada yang paksa, maka penonton dapat belajar jurus paling tepat bila kita perlu melindungi diri suatu hari kelak.

Sudut lain pulak, di China Xu Xiaodong tetah buktikan seni bela diri kung fu tak boleh digunakan waktu melindungi diri, beliau telah mencabar kesemua guru Kung fu dengan bertarung gaya UFC dan kalahkan semua guru Kung fu. Akhirnya persatuan Kung fu bagitahu Kung fu adalah senaman sahaja.

Dari UFC 1 lagi, dunia dikejutkan bahawa jurus grappling atau ground fighting oleh Royce Gracie terbukti seni bela diri paling ampuh untuk kalahkan lawan dengan cepat tanpa perlu kecederaan melampau. Royce Gracie jadi juara malam tu kalahkan semua seni bela diri seluruh dunia.

Dan Khabib buktikan dengan teknik ground fighting beliau kekal juara tak terkalah.

Pahlawan UFC yang handal seperti Jon Jones, Anderson Silva, Fedor Emelianenko, Israel Adesanya, Michael Van Page dan Zabit patut bersyukur sebab di liganya takde orang yang macam khabib. si khabib ni tak pernah berdarah di gelanggang, lepas tu waktu rehat seminit, peserta akan sibuk di beri nasihat oleh jurulatih untuk teknik seterusnya, tapi Khabib siap berborak dengan Dana White (bos besar UFC) suruh Dana White bagi lawan yang kuat sikit, lepas tu sedang pukul lawan, nampak Mike Tyson siap tegur, dan selalu borak dengan lawan suruh menyerah, jurulatihnya siap tegur jangan lawan berdiri sahaja, kembali ke plan grappler, maka malam last lawan Justin, Khabib straight to the point, cekik Justin dengan kaki, pengsan tanpa perlu pecahkan wajah.

Dengan kemenangan Khabib tak terkalah, membuktikan orang islam ada ilmu bela diri yang hebat. Waktu sesi dialog dengan Conor pencabar terkuat, Conor minum arak dan hina islam sebab tak minum arak, tapi Khabib bagitahu, arak tak boleh selamatkan kamu, Hanya Allah boleh selamatkan kamu. Tapi Conor berterusan menghina ayah Khabib, menghina isteri khabib yang berpurdah disamakan dengan Tuala hotel. Menghina islam.

Maka pertarungan antara Khabib dan Conor adalah perlawanan paling besar dalam sejarah UFC, penonton teramai, dan waktu tu orang islam semua berdoa agar Conor kena belasah kau-kau dengan Khabib! Dia hina islam, ubah wajah dia!

Conor walaupun main kotor waktu bertarung, Tarik seluar, paut pagar, pukul tempat salah, dan pengadil berat sebalah, namun akhirnya tewas di tangan Khabib kena cekik rond ke empat dan sejak itu kelihatan Conor telah berubah menjadi seorang yang kelihatan merendah diri dan telah meminta maaf.

Khabib terus di hormati kerana beliau teguh dengan ajaran agamanya, wartawan wanita nak bersalam, Khabib tolak lalu wartawan ini respek sebab baru tahu islam menghormati wanita.

Khabib juga sempat berpesan agar kita hormat ibu bapa, jaga solat, dan Khabib seorang yang selalu bersukur, meniti di bibirnya: ”Saya tak tahu kenapa Allah bagi banyak nikmat pada saya, syukur Alhamdulilah”

Tiap kali menang Khabib akan buat isyarat, bukan dari dia, tapi dari Allah! Lepas tu sujud syukur!

Bila wartawan tanya, komen permata "Allamdulillah"

Selalu baca komen di youtube, orang Kristian yang sokong Conor, tapi malu dengan akhlak Conor dan puji akhlak Islam yang di bawa Khabib!

Saya juga ada baca komen di Youtube, ada peminatnya di serata dunia, telah peluk islam kerana kagum dengan Khabib dan kagum dengan Islam.

Maka khabib dari sukan UFC ini telah sedikit sebanyak mengharumkan nama islam, atau membetulkan kembali pandangan serong orang kafir terhadap islam, bahawa islam itu menjaga maruah wanita, menghormati ibu bapa, merendah diri, membantu yang lemah, kuat waktu lawan, tapi lemah lembut bila berdamai.

Akhir kata, di zaman Nabi, ada sahabat yang namanya seakan Khabib, iaitu Khabbab r.a

Umar bin Khattab RA pernah meminta Khabbab menceritakan kembali bagaimana penderitaannya dahulu pada permulaan menerima Islam kepada generai baru Islam.
Khabbab menjawab,

“Lihatlah belakangku ini!”

Umar pun melihat belakangnya. Setelah melihatnya, beliau berkata,

“Saya belum pernah melihat belakang badan manusia seperti ini.”
Khabbab RA meneruskan, “Saya telah diseret di atas timbunan bara api yang menyala, sampai lemak dan darah yang mengalir dari belakang saya telah memadamkan api tersebut.”

Setelah Islam berjaya dan pintu-pintu kemenangan telah banyak diraih, Khabbab berkata,

“Nampaknya Allah SWT telah membalas penderitaan kita. Saya khuatir ini hanya di dunia dan di akhirat nanti kita tidak mendapatkan balasan apa pun.”

Dikatakan kecedaraan Khabbab kerana mempertahankan iman adalah yang paling teruk dan dahsyat di kalangan para sahabat yang masih hidup.

Semoga Allah merahmati Khabbab al-Arat radhiyallahu anhu.
Beliaulah salah seorang bintang dalam bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk kepada ummah. Beliaulah ikon umat Islam sebenar, kerana telah di jamin syurga.

Khabib dan kita semua, belum di jamin syurga, buat sehabis baik sebelum naik kereta mayat. InsyaAllah.

Akhir kata, Khabib dah bersara, namun jika ada sesiapa yang hina agama islam, pesan Khabib:

“Alhamdulilah, I will change you face, Share me Location!”


Woha!