Feb 22, 2021

Lion dalam Islam?

Ini mungkin ada satu Filem yang boleh buatkan korang bercucuran air mata.

Al kisahnya, Saya pernah jugak tengok video askar balik perang terus pergi sekolah anak dan peluk anak sambil menangis gembira, video tu tak emosi sangat pun, tapi bila tengok kisah benar seorang anak mencari mak kandung yang berpisah sejak kecik, bercucuran air mata beb.. sob sob…

Filem ini berjudul Lion (2016), Kisah benar budak india hilang tak tahu jalan pulang ke rumah masa umur 5 tahun, hampir nak jadi mangsa pelacur kanak kanak, tapi dia lari hinggalah di pungut jabatan kebajikan masyarakat India.

Untuk info, di india, 80 ribu kanak kanak hilang setiap tahun, dan 11 juta kanak kanak hidup gelandangan.

Lalu datang pasangan mat saleh dari Australia yang bagitahu, dunia ini tertalu ramai manusia, buat apa nak ada anak sendiri? Jika nak anak jugak, ambik sahaja anak yatim piatu yang menderita dan bahagiakan mereka. (Geng anti barat jika baca niat orang bukan islam yang baik ini tentu menangis terharu sebab masih wujud orang sebegini di zaman ini?)

Maka budak india tupun jadilah anak angkat ikut mak ayah baru ke Australia, di besarkan dengan kasih sayang, dan bila dewasa, si anak yang rindu pada abang, kakak, dan ibunya mulai menjejak kampung sebab waktu hilang dia tak tahu nama kampung, cuma yang dia ingat, ada tangki besar dekat stesen keretapi. Bila ada Google Earth, diapun scroll semua tangki dekat stesen keretapi dan start balik jejak rumahnya.

Malas nak spoiler, lagi korang tak tahu apa kisah benar yang menanti, lagi seronok waktu menonton.

Cuma lepas tonton tu rasa rindu sangat nak berjalan di kampung, esoknya saya ajak bini dan anak berjalan dari rumah arwah mak saya ke sekolah lama saya, jarak 2km.

Saya lalu ikut jalan yang saya menapak waktu kecik, ikut celah rumah orang, cari balik kedai yang saya pernah beli tikam dulu, cari balik pokok yang saya lepak sambil makan aiskrim Malaysia dan berkumandang waktu tu lagu Wings Belenggu Irama dari kedai runcit pasang kuat kuat,

Tapi bila masuk kampung, semuanya dah tak sama, pokok dah ditebang, kedai dah tutup, padang dah bertukar jadi rumah.

Namun.. bila sampai depan sekolah anak anak pelik tengok saya senyum sewaktu pandang sebuah rumah yang berada betul betul depan sekolah, saya bagitahu pada anak anak, ayah dulu sekolah petang, balik sekolah semua berkumpul depan rumah ni tengok Ultraman dari TV dalam rumah ni, sporting tuan rumah buka pintu luas luas, walau suara Ultraman tak dengarpun, bila muncul Ultraman lawan raksasa, kanak kanak bersorak macam orang tua tengok bola, oh kenangan.

Di belakang sekolah ada pantai, saya kemudianya terus lepak tepi pantai dengan anak bini dan bagitahu, satu sahaja yang tak berubah sejak dahulu iaitu pantai.

Ops, lupa nak tazkirah: Rujuk filem berjudul Lion, (nama budak tu) maka saya pun bercerita kisah Singa versi islamik ditepi pantai kepada anak anak.

Al kisah maka tersebutlah sebuah kisah akan seekor anak singa yang telah terpisah dari kumpulan singa-singa yang lain. Maka anak singa itu pun berjalan-jalanlah ia dengan cemas sehingga ianya sampai ke pinggir hutan yang mana nun di sana terdapatlah sebuah padang rumput yang luas yang didiami oleh sekawan kambing.

Apabila Ketua kambing melihat seekor anak singa yang berzaiz kucing dan dalam kesedihan maka di atas dasar keperibinatangan, bersetujulah Ketua kambing bagi mambenarkan si anak singa untuk menyertai kumpulan kambing-kambing tersebut.

Maka tinggallah anak singa bersama kumpulan kambing tersebut. Setelah sekian lama masa berlalu, maka si anak singa telah meningkat remaja dan sudah mulai baligh. Dia telah lupa akan asal-usul dirinya sendiri sehingga hidupnya tak ubah seperti kambing. Makan rumput macam kambing, melompat macam kambing, takut air pun macam kambing sehingga ke tahap kronik, dah mengembek pulak macam kambing.

Mungkin pada ketika inilah saksi-saksi yang melihat anak singa mengembek di dalam kumpulan kambing lalu mencipta pepatah melayu, iaitu : masuk kadang kambing mengembik.. Wallahu’lam.

Tapi satu perkara yang amat mendukacitakan hati anak singa adalah ia selalu ditanduk oleh kambing-kambing yang lain. Nak melawan tak de le daya upaya kerana fikirnya macamanala nak melawan, aku tak ada tanduk macam mereka.

Maka sedihlah hati anak singa dan selalulah dia bercita-cita dan berdoa agar diberi tanduk macam kambing malahan diberi tanduk yang lebih besar lagi agar dapat membalas perbuatan kambing-kambing durjana itu.

Di pendekkan cerita, pada suatu hari yang lain ketika anak singa duduk bersendirian mengenangkan nasibnya yang malang, lalu lah sekumpulan singa di situ. Maka seperti resam kambing, anak singa cuba melarikan diri, tetapi ia telah di kepung dan tak dapat nak lari.

Dipendekkan cerita selepas sessi suai kenal, ketua kumpulan singa telah menerangkan kepada anak singa tentang siapakah dirinya yang sebenar. Sangat susah anak singa nak terima kenyataan tu, tapi akhirnya ia akur juga.

Setelah selesai latihan yang diterima dari ketua singa maka anak singa telah kembali kepada kumpulan kambing. Seperti biasa kambing-kambing itu meneruskan tradisi pembuli mereka iaitu ingin menanduk anak singa. Kali ini anak singa telah bersedia. Ia mengeluarkan kuku yang telah lama tersimpan dan membuka mulut sehingga menampakkan taring yang tajam. Dan... dengan sekali ngauman, semua kambing-kambing telah bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri.

Jadi wahai anak anakku, singa itu adalah ibarat kita orang islam yang ada kekuatan dakwah, tapi telah lupa kekuatan kita kerana telah lama bergelumang dalam dunia kambing, errr, maksud ayah dunia orang kafir.., sehingga mereka lupa akan asal usul.

Dalam dunia ‘kambing’, ‘tidak mandi’ adalah betul, dan ‘tanduk’ adalah senjata yang hebat…

Tanduk itu diibaratkan seperti senjata Nuklear, Harta, dan Takhta.

Yang mana di sisi Allah semua itu ibarat sarang labah-labah yang langsung tidak boleh memberi manfaat dan mudarat…

Tapi orang islam di zaman ini kebanyakkannya telah yakin akan semua itu dan berdoa meminta tanduk agar dapat menentang kambing-kambing yang lain.., sungguh kasihan.

Padahal mereka orang islam telah terlupa bahawa, ‘Kuku, taring dan ngauman singa’ yang telah sedia ada dalam diri mereka, adalah perumpamaan kepada kekuatan islam dalam kerja dakwah yang mana para Sahabat Nabi dalam menjalankan kerja ini, Allah telah meletakkan kegerunan pada orang kapir sejauh sebulan perjalanan…

Semoga kita semua tidak menjadi kambing atau menjadi singa yang ingin menjadi kambing… jangan menjadi such Lions led by such Lambs...

Sekian.

******

Habis bercerita pada anak di pantai, kami kembali balik rumah jalan kaki. Lepas tu saya cakap pada anak, korang patut bersyukur, sebab tak perlu jalan kaki macam ayah dulu, arwah datuk korang tak mampu nak ada kereta macam ayah sekarang, dulu hari hari ayah jalan 4km pergi balik ke sekolah tau?. Sekarang ayah hantar dan ambik korang depan pintu sekolah, bersyukurlah.

Anak jawab:

"Kalau sekolah saya tepi pantai macam sekolah ayah 4km pun tak penat!"

Woha!

No comments: