Feb 9, 2018

Apa maksud Bahagia?


(Tiga soalan yang patut korang tanya pada pasangan hidup)

Pada satu hari, aku telah bertanya soalan pada Puan Bini:

“Bila kali terakhir awak sedih hingga menangis?”

“Errr.. hmmm”

“Lama sangat tak sedih sampai lupa? Wow!”

“Ok, saya ingat lagi, waktu arwah mak abang meninggal, dan minggu berikutnya kita balik kampung tak ada arwah mak abang sambut menantunya macam biasa, bila masuk dapur tak ada orang, waktu itu sedih sangat, lepas tu abang bawak saya ziarah kubur mak, berlinangan air mata saya rindu pada mak mertua”

“Lama sangat tu, dah sembilan tahun”

“abang pula bila kali terakhir sedih?”

“Bila buku pertama abang siap, rasa sedih sangat sebab tak dapat tunjuk kat arwah mak, sebab mak nak sangat anaknya menjadi penulis, siap bagi nama HAMKA, tapi itulah, buku siap tahun 2012, arwah mak pergi tahun 2009, tapi abang ada jumpa arwah mak dalam mimpi update kisah hidup, siap mimpi arwah mak bagi saka lagi-ha ha”

“Saka tu lawak”

“Ok, bila kali terakhir awak gembira?”

“Sekarang, atau tadi waktu abang peluk saya bila sampai rumah”

“Apa erti bahagia pada awak?”

“Bahagia datang bila saya dapat gembirakan abang, gembirakan anak-anak, gembirkan orang lain, bahagia sangat dapat bantu orang bergembira"

"Itu kesan dari gembira, apa definasi gembira?"

"Nak definasi pulak, macam karangan bahasa melayu ni"

"Takpe, jawab jer, awak kan Clever Girl abang"

"Ok, takrif bahagia bagi saya adalah apabila saya ada hati yang sentiasa bersyukur dengan semua nikmat walau sekecil-kecil nikmat dan mampu bersabar dengan semua ujian walau sebesar-besar ujian-itulah bahagia!”

“Tinggi awak punya ayat-izinkan abang update di blog keretamayat!”

“Silakan!”

Lalu akupun update kisah laki bini, sementara itu korang sila tanya pasangan masing-masing tiga soalan ini dan dapat jawapan nanti, renung renungkan. Soalannya berbunyi:

  1. “Bila kali terakhir awak sedih hingga menangis?”
  2. “Bila kali terakhir awak gembira?”
  3. “Apa makna bahagia bagi awak?”

 Apapun jawapan pasangan korang, aku hanya mampu kagum dari jauh!

Woha!

Post a Comment