Jan 29, 2018

Bagaimana menjadi juru pantun bertunang?

(Skrip majlis pertunangan pihak lelaki)

Tanda kita dah tua, selain orang panggil kita pakcik dan suruh ulang cakap sebab tak beberapa nak dengar, tanda lain kita dah tua adalah bila ahli kelurga lantik korang jadi juru runding majlis pertunangan. Ha ha!

Mudahkan hidup korang, siapa-siapa yang jadi bidan terjun macam aku, boleh guna skrip yang aku karangi ini. Aku share secara percuma, tapi nak beli buku aku dan jadikan hantaran pun boleh juga, Woha!
Contoh Hantaran Gubahan Buku


Skrip dan adab majlis pertunangan bagi pihak lelaki.

Pakai baju biar beradab, baju melayu bersampin pun boleh, pakai baju batik bersongkokpun boleh. Waktu sampai rumah perempuan, juru pantun elok pegang hantaran cincin dan mengetuai rombongan perjalanan, nak berselawat pun boleh. Bidaah hasanah jika ikhlas dibuat tetap dapat pahala.

Sampai sana, bersalaman dan tentu mereka jemput masuk, korang pun duduklah tempat yang dah disediakan.

Tuan rumah akan mulakan majlis, mereka mungkin akan bertanya tujuan datang dalam bentuk pantun, atau kata-kata puitis, bila mereka izinkan pihak lelaki bercakap, mulakan dengan ucapan pembukaan seperti:

“Asalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh, terima kasih kepada seisi tuan rumah kerana sudi menyambut kedatangan kami dengan:

Hati Yang Terbuka, Dada Yang Lapang, 
Wajah Yang Ceria,  Kedatangan Di Raikan.

Alhamdulillah, Syukur pada Allah atas segala nikmat, dapat kita berkumpul di majlis yang penuh berkat, amin.”

Dah habis mukadimah, Boleh mulakan dengan pantun pembuka:

“Dari Terengganu Ke Pantai Barat, 
Hendak Menangkap Sekawan Ikan,
Kami Datang Membawa Hajat, 
Hendak Menyunting Bunga Di Taman.”

Lepas tu taaruf (kenalkan diri):

“Sebelum itu elok saya perkenalkan diri, Saya Muhammad Hamka driver keretamayat mewakili yang dihormati abang ipar saya encik A dan kekanda yang saya cintai Puan B bagi pihak anak saudara saya yang bernama (masukan nama pengantin lelaki)

Al kisahnya sejak beberapa purnama yang lalu, kekanda saya yang dicintai mengadu bahawa si anak terunanya sedang mabuk dilanda angau asmara, makan tak lalu, tidur tak lena, mandi tak basah dan dalam mimpi mengigau ngigau menyebut nama (masukan nama pengantin perempuan) 

Jadi tujuan besar kami datang adalah untuk menyambung ikatan silaturahim antara dua keluarga. Lagipun adalah Sunnah nabi, bertanya dahulu- adakah (masukan nama pengantin perempuan)  sudah berpunya? Jika belum berpunya saya secara rasmi bagi pihak tuan badan ingin masuk meminang, insyaAllah…”

Begitu lebih kurang takruf dan mukadimah pertunangan, bila pihak perempuan jawab, dan kita anggap mereka sudah terima, maka boleh sediakan pantun terima:

"Buah kelapa pohonnya condong, baru sekarang hendak berbuah
Sudah lama niat kami kandung, baru sekarang dizinkan Allah."

Lepas tu boleh cerita tentang tanda pertunangan.

“Alhamdulillah, pihak kami sangat bersyukur atas penerimaan pihak tuan rumah, maka pertunangan sudah tentu ada tanda-tandanya, 

(sambil hulur cincin, boleh hulur sembahan sirih dengan pantun di bawah)

“Setapak sirih, tanda hati bersih, Seulang pinang, tanda hati sayang
Secalit kapur, tanda hati jujur, sebentuk cincin, tanda pertunangan”

Waktu ini biasanya cincin akan di serahkan kepada pihak perempuan belah sana, bila pihak mereka dah terima cincin, boleh sambung skrip:

“Alhamdulillah, Pinangan sudah diterima, cincin tanda pinangan juga sudah di terima, maka sudah menjadi adat, setiap pertunangan ada syarat-syaratnya, jadi kami pihak lelaki nak bertanya tiga soalan.

Bila dimana tempat berhajat
Berapa nilai, hantaran bersyarat?

Waktu ini perbualan mungkin akan menjadi tidak formal sebab tak tahu nak bincang mana dulu? Hantaran ke? Maskahwin ke? Tarikh kahwin bila? Tempat di mana? Jadi waktu ini follow jer tuan rumah nak bincang mana dulu, jika tuan rumah banyak diam, boleh pihak lelaki bagi tarikh cadangan dan tempat majlis bagi pihak lelaki, lepas tu bincang tentang hantaran, waktu itu mungkin dah tak perlu pantun pantun, follow jer the flow. Sembang santai sahaja. Yang penting:-

Pastikan jumlah hantaran(belanja hangus untuk majlis kenduri) dan maskahwin(khas untuk siteri) di sebut jelas dan Tarikh majlis bagi pihak lelaki dan perempuan juga di sebut jelas, jika tidak jelas, boleh sebut tempoh pertunangan dengan jelas.

Bab Mahar dan hantaran tu, ada tempat yang gabung sekaligus hantaran dan maskahwin, jadi follow jer the flow. jika tak de idea boleh minta ibu bapa pengantin tambah pendapat dan suara masing masing, bagi peluang orang tua-tua bercakap sama.

Hujung majlis boleh serahkan beberapa dulang hantaran iringan sebagai hadiah sampingan. Atau majlis sarung cincin dari ibu pengantin lelaki ke jari bakal pengantin perempuan.

Ada jugak kes, meraka ajak bincang bab pertunangan separuh jalan, skripnya lebih kurang:

“Sesunggunya jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Sekiranya putus pertunangan atau jodohnya tidak kesampaian, semoga tali persaudaraan tetap kita kekalkan. Untuk itu tiada dakwa-dakwi. Segala apa yang diberi dan diterima, diberi dan diterima dengan ikhlas. Namun begitu marilah kita berdoa agar niat murni kita diberkati oleh Allah s.w.t. Semoga jodohnya kekal selamanya”

Ok begitulah lebih kurang skrip, awal awal jer nak ikut skrip, bila dah lajak jalan berbahasa, korang akan selesa sendiri, jika pihak sana banyak berpantun ni ada beberapa stok pantun untuk di jual beli:

Negeri Terengganu di tepi pantai,
Tempat mandi ikan tembakul,
Yang kita hajat sudah tercapai, 
Yang kita doakan sudah terkabul.

Lagi pantun:

Negeri tuan sungguh indah, 
Semua cantik tidak terperi,
Kalau ada silap dan salah, 
Jangan disimpan di dalam hati

Nak lagi pantun?

Tanam mayat jauh ke tengah, 
Batu nisan bercabang dua,
Hancur mayat dikandung tanah, 
Budi yang baik dikenang jua.

Woha!

Jadi begitulah lebih kurang adat dan adab dalam majlis merisik dan bertunang, bagi pihak Clever Girl, hantaran tu jangan tinggi sangat, sebab ada hadis bagitahu, wanita mulia apabila cepat kahwin, cepat beranak dan murah mas kahwinnya.

Pertunangan itu Sunnah, dan Sunnahnya jangan lama sangat bertunang, tunang tanda ikat sementara kerana pihak Boboboy ada urusan yang perlu diselesaikan maka dalam tempoh bertunang tak bolehlah orang lain nak rampas.

Dah bertunang juga bukan tiket untuk bebas bercouple, hukum haram tetap sama macam belum bertunang, jadi  jangan hampiri zina.

Masa bertunang banyakkan belajar urusan rumah tangga terutama bab bab agama, sebab perkahwinan ni kita nak bawa sampai ke syurga.

Bagi yang belum bertunang, jangan bimbang, teruskan doa dan usaha, yakinlah bahawa Jodoh akan datang pada kita seperti mana maut akan datang pada kita, yang mana jika tunggu punya tunggu tapi jodoh tak datang-datang maka berkahwin lah kita dengan maut.Tapi jangan bimbang, walau belum bertunang, dan andai kata kita mati dalam keadaan beriman, jodoh kita tetap setia menanti di syurga, tapi jika kita mati tak beriman, maka membujang lah kita dalam neraka, walau di dunia punyai banyak kekasih!

Okey, tak boleh lama menulis, ramai orang perempuan nak ambik gambar dengan juru pantun yang hensem giler.

Woha!

Ps: Siapa nak upah juru pantun, pm tepi, ke ke ke ke

Jangan tersilap pinang sudah- :)



9 comments:

Khairi Mohd said...

terbaik boh.

Anonymous said...

jumpa! terima kasih atas skrip ini, sangat membantu.

)awang)

hamka said...

sama sama, jangan lupa buku jadikan hantaran-woha!

khairul amir said...

boleh saya nak pantun meminang...

Unknown said...

Juru pantun hensem 😜

Unknown said...

Saya nak guna skrip ni utk tugasan pertama saya sebagai juru pinang. Harap redha dan halalkan ya..terima kasih.

ajiman said...

Hebat. Terima kasih

Unknown said...

Alhamdullillah..ada caranya skrip ini saya akan guna untuk tugasan pertama saya sebagai juru pinang.terima kasih mintak halal ilmunye.

Anonymous said...

Saya nak guna ayat ni tuk majlis meminang anak buah sok. Tq