Jul 20, 2016

Hidup ini terbahagi kepada tiga?

(Suatu hari yang deep berlaku di beranda Masjid Kuala Syuga)

“Nak ke mana Hamka?”

Tanya seorang Pakcik seawal pagi hari di beranda sebuah masjid, kami baru habis solat subuh berjemaah.

“Saya ada keperluan sikit pakcik, saya nak pergi selesaikan keperluan hidup saya sekejap”

Jawab aku yang merujuk: “keperluan” sebagai perkataan lain dalam mencari rezeki. yelah..! Solat ibadat, cari rezeki juga ibadat, jadi undur diri dari majlis solat kepada mencari rezeki yang merupakan keperluan hidup.

Lalu pakcik itu sembang secara ringkas tentang falsafah hidup ini yang dibahagikan kepada tiga bahagian. Iaitu Maksud, Keperluan, dan Ujian.

Maksud hidup katanya, adalah berdakwah, sambung kerja Nabi, Allah sudah tamatkan era kenabian kerana Ummat akhir zaman diwariskan untuk sambung kerja Nabi, kerana itu kita di nilai dalam Al quran sebagai Ummat terbaik, sambung kerja Nabi adalah maksud hidup kita.

Ibadat pula adalah keperluan hidup kita, tanpa ibadat, hidup akan menjadi sia-sia kerana Allah jadikan kita untuk ibadat, maka ibadat adalah keperluan hidup.

Ujian pula adalah waktu kita mencari rezeki untuk kelangsungan hidup, di sini kita akan diuji sebab Allah dah tetapkan rezeki kita, namun ujian dalam pelbagai sumber rezeki buat manusia menafikan Allah dan yakin pada makhluk, sebab tu cari rezeki ni bukan keperluan tetapi ujian, kerana ramai yang Syirikkan Allah dalam bab mencari rezeki.

Habis ceramah ringkas, pakcik tu tanya soalan yang sama:

“Jadi, kamu nak ke mana Hamka pagi ini?”

Sambil sarung selipar, aku jawab:

“Saya ada ujian hidup pakcik, saya pergi dulu selesaikan ujian hidup saya”

Pakcik tu senyum dan kami pun berpisah.

Pagi yang deep! woha!
Post a Comment