Oct 31, 2020

Di herdik ibu bapa OKU!

 “Askum, Abang mayat, saya tak faham, ada jiran saya ada anak OKU, saya waktu borak saya cakap dia beruntung kerana ada anak syurga. Tiba tiba dia triggered! Katanya jika beruntung kenapa anak cacat? Anak kau tak cacat kira tak beruntung? Padahal maksud saya beruntung sebab dapat pahala lebih, macam Nabi yang selalu di uji, untung sebab ujian menaikan darjat, menambah pahala, tak niat nak menghinapun, malahan simpati dan cuba cakap baik baik, tak kan saya nak cakap, kesian kakak dapat anak OKU, jika saya dapat anak OKU saya pun stress, tak kan nak cakap macam tu? Dia punya marah macam saya cakap: “padan muka” padahal saya cakap baik baik, untung siapa ada anak syurga sebab allah uji ikut kemampuan kita, dan setiap orang ujian tak sama, jangan sangka orang tak de anak OKU takde ujian hidup, ramai lagi orang stress bunuh diri sebab pelbagai factor ujian. Salah ke saya cakap untung ada anak syurga?”

****

Salam, abang mayat yang ada anak syurga faham perasaan awak, dan faham perasaan ibu bapa anak syurga tu, niat awak baik, cakap dari sudut agama, tapi ada parent yang sedang stress, penat, jadi mungkin percakapan tu tak sesuai waktu itu, mungkin waktu lain bila parent dan bertenang, tentu dia seronok dengar ucapan sebegitu.

Parent yang ada anak OKU pula bukan semua mampu terima ujian hidup, mampu berdamai dengan takdir, ada yang sorok anak sebab malu, ada yang hantar anak ke tempat lain sebab malu nak jaga, ada yang stress tak keluar rumah sebab rasa rendah diri, ada yang rasa tuhan azab dia dari dosa lampau dan stress, dan sebagainya.

Apa awak cakap pun betul, iaitu jangan sangka orang tak de anak OKU takde ujian hidup, ramai lagi orang stress bunuh diri sebab pelbagai factor ujian. Kadang saya pun Nampak ada parent ni anggap dilah paling susah, memang susahlah kalau anggap macam tu, namun..

Hakikat hidup, Siapa yang mahu anaknya seorang OKU?, tapi jika takdir sudah tertulis anak kita adalah OKU, semakin kita menafikan, maka semakin lambat anak di selamatkan. Dulupun saya juga termasuk dalam ‘Denial parent’ hinggalah akhirnya saya sendiri berdamai dengan takdir dan pada waktu ini, jika ada yang cakap “beruntung awak dapat anak syurga” saya sangat berterima kasih, dan jika orang kata “padan muka” pun tak kesah sebab faham, bahawa hidup ini pentas ujian. Panjang nak cerita, ada saya tulis dalam buku kisah hidup saya.

Akhir kata, nasihat saya kepada mereka yang nak 'manasihati' parent ada anak OKU, kena ada ilmu jugak, mendengar sambil menolong apa yang patut, lebih baik dari bercakap yang bukan bukan, tolong jauh sekali.

Bagi parent yang ada anak OKU pulak, jika stress lepaskan di tempat yang betul, dan cubalah berdamailah dengan takdir, dan tolong Jangan bandingkan hidup kita dengan orang yang ada anak normal, tapi bandingkan dengan mereka yang jauh lebih susah, itulah Sunnah, dan mohonlah kepada Allah agar diberikan hati yang sentiasa bersyukur walau dengan sekecil-kecil nikmat, dan hati yang sentiasa bersabar walau sebesar manapun ujian. Allah jer tahu kemampuan hambaNya.., dan berdoa serta merintih adalah kemampuan semua manusia, sungguh Allah Maha Melihat, Mendehar dan Mengetahui..

Tanpa jemu berdoa dan bila Dapat jer sekeping hati yang penuh dengan sabar, sertamelimpah dengan syukur, maka semuanya akan menjadi mudah dan indah.

Doa selalu. InsyaAllah. Sayapun pesan pada pasangan sendiri jugak sebab kadang wife pernah berkata: "Syukur ada anak syurga, tapi cukuplah satu"

Woha!

 

Oct 30, 2020

Masjid Sri Petaling dalam kenangan?

Pernah pergi sini, Solat subuh penuh macam solat jumaat, waktu rukuk, orang sebelah kiri kanan menitik air mata sedang bersolat, alamak, wujud lagi orang macam ni?

Lepas tu bila ustaz berceramah, langung takde nak kutuk sesiapa, nak kafirkan sesiapa, cerita tentang atas langit (wahyu) dan bawah bumi (kisah orang dah mati) sahaja, malahan para pendengar ceramah, beresak esak menangis macam esok dah nak mati- insaf bang.

Isi ceramah pulak selalu salahkan diri, dan kasihankan Ummat, dan bila ustaz bercerita kisah Nabi dan Sahabat, dalam bergenang air mata, kita seolah olah ternampak kehidupan penuh mujahadah orang terdahulu dalam mengembangkan agama.

Lepas dengar ceramah, pergi dewan makan, eh? Mana meja dan kerusi?, masing masing duduk bersila, makan dalam talam, peha kambing dalam talam, perghh, satu pengalaman baru, dan entah kenapa TehTarik di masjid itu adalah Teh Tarik paling sedap dalam dunia, (mereka guna susu kambing)

Kemudian pergi tidur dalam masjid, tapi kenapa pintu masjid tak kunci, karang masuk pencuri macam mana? Rupanya masjid tu tak de pintu, dan tak pernah tutup kerana masjid itu hidup 24 jam.

Apa tu masjid hidup 24 jam? Nun di depan mimbar masjid ada lampu kecil, untuk orang mengaji sepanjang malam, dan dilokasi lain yang gelap, ada orang sedang bertahajjud sepanjang malam,

Malam itu saya tak boleh tidur, sebab bunyi orang menangis teresak esak sangat menyeramkan, macam berada dalam penjara bersama orang yang nak kena gantung esok, dan ramainya yang menangis maka bunyinya seolah bunyi lebah sedang terbang.

Sayapun bangun, ambil wudhu, dan solat tahajjud, dan betul lah masjid yang ada suasana malaikat, angkat takbir sahaja, terus kita berhamburan air mata.

Tiga hari di masjid itu seolah berada di pintu masa, orang yang keluar masuk ke masjid seolah dari zaman sahabat, dengan pakaianya, celak di mata, senyuman di wajah, air mata di pipi, janggut yang basah, bau yang wangi, dan ada orang saya jumpa tidur atas pelepah tamar! saya cuba tidur atas tu, aduhh, tak boleh gerak, dan katanya, Nabi tidur atas pelepah tamar Hamka.. oh insaf. Ni menangis ni wahabi jika tengok!

Bila ada kesempatan berborak dengan orang yang nampak macam datang dari zaman 1400 tahun dahulu, rupanya mereka semua bukan perentas masa..

Mereka adalah orang yang hidup zaman ni, ada doctor, professor, jurutera, ustaz, driver kereta mayat, penyanyi, pelakon, artis dan ramai lagi lah, terkejut tengok masih ada orang boleh enjoy hidup macam orang kafir tapi pilih cara hidup zaman Nabi, Hidayat milik Allah!

Kagum dari jauh!

Woha!

Semoga zaman kegemilangan Islam, solat subuh penuh macam solat Jumaat dapat di kembalikan. Amin.

 









Oct 29, 2020

Anak kena buli lagi?

(Anak korang pernah kena buli tak? Apa nak buat?)

Saya pernah suruh anak tulis laporan polis dan saya whatsapp pada ibu bapa pelajar yang buli, terus ibu bapa itu minta maaf dan bagitahu akan pastikan kejadian itu tidak berulang.

Untuk mudahkan korang, saya kongsi contoh laporan Polis.

*******

(LAPORAN POLIS DI BULI OLEH TIGA PELAJAR LELAKI)

Pada hari XXXX bertarikh XXXX . Saya telah dibuli dan disakiti oleh tiga orang pelajar lelaki bernama ABC, PQR, dan XYZ

Pada pukul XXX. Semasa saya sedang mengasah pensel, ABC telah angkat penumpuk dari jauh, yang bermaksud nak pukul saya.

Sementara itu, PQR, tiba tiba mendekati dan ugut nak pukul saya.

Belum sempat saya menjawab, XYZ melastik saya menggunakan getah dan satu lipatan kertas ke arah hidung saya dengan sangat kuat sehingga meninggal kesan di muka saya.

Semasa kejadian itu, Cikgu KKK sedang masuk kelas dan saya telah mengadu dibuli oleh ABC, PQR dan XYZ

Cikgu KKK berkata saya berhak pergi ke balai polis, report, dan ABC, PQR, dan XYZ akan disiasat oleh polis yang mana jika polis berpuas hati waktu menyiasat, kes akan dibawa ke Mahkamah atas kesalahan jenayah.

Di Malaysia, penjawat awam yang dikenakan hukuman jenayah akan dibuang terus daripada perkhidmatan, hilang kelayakkan pencen dan kebanyakan syarikat swasta juga begitu.

Dan bagi adik-adik yang berada di kolej atau universiti, boleh dibuang sekolah sebaik saja disabit kesalahan.

Kata cikgu, ABC yang hanya tunjuk penumbuk tanpa cakap apa-apa, bakal dihukum di bawah Seksyen 506 (Maksimum penjara 2 tahun, denda, atau kedua-duanya sekali)

PQR pula yang ugut nak pukul dengan percakapan, akan dihukum di bawah Seksyen 506 yang sama seperti tadi.

Manakaa XYZ yang memukul, bakal dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Maksimum penjara 1 tahun, atau denda maksimum RM2000 atau kedua-dua sekali.

Dan andai kata balik sekolah, XYZ pergi pukul mangsa sampai parah, akan kena Seksyen 325KK iaitu Maksimum penjara 7 tahun, denda, atau kedua-dua sekali.

Selain mahkamah jenayah yang buatkan pelaku di penjara, saya juga berhak menyaman ketiga tiga pelaku di Mahkamah Sivil yang mana sipembuli akan berdepan dengan bayaran ganti rugi terhadap saya.

Cikgu bagitahu, Kedua-dua kes boleh berjalan serentak.

Maka saya telah menulis laporan ini sebagai bukti pembulian telah berlaku dan jika ada serangan di masa akan datang maka pihak polis serta mahkamah boleh mengambil tindakan berdasarkan kanun sedia ada.

Saya juga melaporkan kepada ayah saya seorang Facebook Famous agar ayah saya membuat viral di Facebook dan dan saya mengatahui Instagram orang yang membuli saya iaitu "@ABC, PQR, XYZ.

Semoga pembuli itu dikecam dan insaf.

Terima kasih.

******

Surat asal pendek sahaja, saya sengaja tokok tambah bagi ngeri dan berfakta.

Kes selesai dengan minta maaf, dan tiada lagi kejadian berulang, budak budak gaduh lepas tu baik semula.

Cuma Sebagai alternatif penyelesaian agar tidak berulang.

Mohon sangat sangat kepada cikgu cikgu yang rangka kertas soalan bagi soalan subjek Bahasa melayu suruh pelajar jawab dalam bentuk laporan polis agar anak anak dapat belajar menggunakan Bahasa yang betul waktu report.

Contoh soalan UPSR 2020: (cadangan)

Anda seorang pelajar yang hensem, dan ramai pelajar lain cemburu pada anda, satu hari dalam tandas anda di tampar oleh Ali, dan belum sempat anda bertindak, Abu serta Ahmad menendang anda dengan kuat, tidak cukup dengan itu, mereka membogelkan anda dan kencing ke atas badan anda, kemudian mereka memaksa anda memegang kemaluan abu dan dipaksa menyanyi dengan anggap kemaluan abu adalah mikrofon, mereka juga ambil gambar kejadian tidak sononoh itu dan mengugut akan sebarkan gambar ini kepada kekasih anda jika anda laporkan kejadian kepada cikgu.

Anda sangat sedih dan malu serta sangat murung, tapi anda bertindak berani dengan menulis laporan polis, dan membuat tujuh Salinan untuk diberikan kepada guru besar, cikgu disiiplin, serta ibu bapa si pembuli. Berani kerana benar.

Tulis laporan anda sebanyak 120 patah perkataan dan nyatakan hujah kenapa anda perlu membuat laporan polis. Segala perlakuan sewaktu kejadian hendaklah ditulis jelas demi memudahkan pihak Polis dan pihak Mahkamah bertindak.

Jangan rasa hina bila dibuli, tapi malulah tidak bertindak selepas dibuli kerana pembuli memang makhluk yang hina.

(20 markah)

Okey tak cikgu jika buat soalan macam tu?, atau memang sebelum ini pernah ada soalan test kes buli dan minta pelajar tulis laporan? Saya jer yang tak tahu?

Mohon kongsi jika ada, dan mohon adakan jika belum ada.

Ini serius.

 

Makan Sup Buku?


Alkisahnya, ada Penulis menuntut royalty, Penerbit tak bayar tunai dan nak bayar dengan buku yang tak laku.

Penulis tu buat gambaran satu hari, dia balik rumah bawa balik buku penuh kereta, anak bini dah lapar tunggu ayah bawa balik makanan, tapi ayah hanya bawa balik timbunan buku, maka bini penulispun rebus buku buat sup bagi anak anak makan, esok pagi si penulis nak bayar sewa harap tuan rumah terimalah buku penulis.

Kisah ni viral, hingga TTKM pun up.

Maka hari ni dengar cerita penerbit akhirnya bayar ikut jualan, dan baki buku tak laku, penerbit pulak buat sup makan dengan anak bini dia. Adohai..

Saya perhatikan dari jauh.

Sebab saya pun terlibat dengan kisah ni, saya pun ada terbitkan buku dengan penerbitan itu, tak tahu berapa banyak baki buku saya yang boleh di buat sup. Saya sedang menunggu update dari penerbit…

Sementara itu, buku pertama saya yang dah tak cetak sebab penerbit lain dah tutup, saya call boleh tak saya jual secara ebook? Penerbit lama benarkan.

Maka saya terus jual ebook buku PERMATA YANG HILANG KINI DIJUMPAI

Buku terbaik saya sebab karya sulong! Pernah di cetak dengan tiga cover berbeza dan sold out!

Kisah orang bujang yang rock bertukar menjadi suami yang beriman-woha! Itulah permatanya!

Nak beli versi e-book, klik sini: Link Ebook

Doakan saya semoga tak akan sampai ke tahap makan sup buku.

Woha!

#permatayanghilangkinidijumpai

 

Oct 28, 2020

Anak autisme? cara jumpa doktor

Ramai betul parent yang komen serta email saya bagitahu anak dia ada ciri autism, tak menoleh bila di panggil, suka susun mainan berturut, suka renung air hujan, dan macam macam, adakah anak saya autism encik Hamka?

Saya minta maaf kepada tuan tuan dan puan puan, saya bukan doctor pakar, tak mampu nak diagnos far from home, video saya ni, merujuk pengalaman ada anak OKU autism, Klik sini

Dari video itu, semuanya menunjukkan ciri yang memungkin anak anda seorang autism, selebihnya kena rujuk pada doctor pakar.

Bila saya jawab, kena rujuk pakar, ramai pula bertanya BAGAIMANA CARANYA NAK JUMPA DOCTOR PAKAR?

Maka saya buat lah video, cara nak jumpa doctor pakar, boleh kongsi kepada pasangan sebab kita rasa anak kita normal kot, lambat bercakap sahaja, lagipun doctor bukan pakar cakap, biasalah budak sekarang ramai macam tu sebab banyak tengok youtube, tapi di kemudian hari bila anak kita betul autism, maka lambat nak buat terapi, lambat anak nak belajar dengan cara yang betul, dan susahlah dia nak berdikari, kita jugak yang tanggung nanti.

https://youtu.be/qvosxeB24Yc

Waktu tu mungkin ada orang cakap anak kita gila, barulah kita sedar perasaan”susah” nak jumpa doctor pakar itu merugikan. Jadi jom jumpa doctor pakar.

Apa kelebihan jumpa doctor Pakar?

Anak kita akan di pantau oleh orang yang benar benar pakar, dan layak keluarkan surat untuk permohanan kad OKU.

Apa kelebihan ada kad OKU?

Saya dah cerita dalam video ini. https://youtu.be/qvosxeB24Yc

Jadi, langkah pertama, jumpa pakar autsime, bagaimana? Rujuk video ini. https://youtu.be/0BUKlTBzOTQ

Semoga sedikit pengalaman dari saya dapat membantu ibu bapa yang senasib dengan saya am nya, dan membantu anak syurga itu sendiri khas nya,

Terima kasih.

 

Idea yang tiada?

Sedang menulis dalam bilik, tiba tiba anak masuk dan hempas pintu, saya mengeluh sambil menulis.., aduhhh, bisingnya hempas pintu, bisik saya perlahan sambil teruskan menulis.

Bini ada atas katil sambil baca buku, dan dia dengar saya mengeluh.

Lepas tu anak keluar bilik dan terhempas pintu lagi, aduhhh..

Bini tengok saya tak selesa, dia faham dan terus keluar bilik dan bebel dekat anak sebab hempas pintu hingga kacau ayah menulis.

Tapi bebebelan bini sungguh kuat, lebih kuat dari pintu yang terhempas hingga saya hilang semua idea.

Woha!

 

Oct 27, 2020

Bagaimana tidak gemuruh bila bercakap depan Public?

Saya ni takdelah pandai sangat bercakap, menulis ramai orang puji, tapi bercakap ni masih berterabur, sebab bakat menulis dan bakat berpidato adalah dua seni yang berbeza! namun saya pernah berceramah, buat bengkel penulisan, bagi talk, bagi motivasi, dan pernah jadi juru pantun majlis pertunangan!

Maka ada yang minta tips, bagaimana tidak gemuruh bila bercakap depan Public?

Ada dua kaedah mudah.

Pertama korang cuba belajar bercakap agama dari rumah ke rumah kepada orang yang tak pernah korang jumpa.

Sebab? Jika korang jumpa orang yang dha kenal, gumuruh tu takde, cabaran takde, atau ornag tu pulak hina korang dengan serang peribadi sebab kenal siapa kau.

Maka kena cari orang jauh, Macam Nabi bila bercakap dengan orang Mekkah, ramai kata Nabi gila, tapi bila bercakap dengan orang Madinah, ramai yang mendengar dengan baik.

Maka sayapun pergi ke kampong yang jauh dari kampong saya, biar orang tak kenal, senang nak borak tanpa orang hokum sejarah kita.

Tapi langit tak selalunya cerah, saya mula mula buat kerja macam ni, menggiggil gila babi, apa kejadah saya yang banyak dosa nak borak bab agama dengan orang tak kenal?

Orang pertama saya jumpa sedang tolak motorsikal, baju petak petak, badan gempal, dan pakai helmet, saya pun berdakwahlah dengan terketar ketar, hujung dakwah saya ajak dia ke masjid.

Dia cakap dia uzur, perempuan gemok berambut pendek rupanya, aduhhhh, malu tu usah cakap, saya rasa nak terjun dalam sawah.

Orang kedua pulak seorang lelaki berambut panjang, tak pakai baju, sedang kopak kelapa dengan parang. Dalam hati aduhai, kenapa orang macam ni yang Allah takdirkan ada depan mata?

Tapi guru saya pesan, ikhlaskan diri, nanti Allah bagi pertolongan.

Saya yang sedang takut dan gemuruh, terus ikhlas kan diri, saya buat kerana Allah, lelaki ni makhluk, parang dia makhluk, jika saya mati kena libas hari ni, saya syahid, terus masuk syurga.

Bila kita ikhlas, pling?! Datang rasa berani macam pengembom berani mati.

Saya bagi salam, lelaki tu tak pedulikan.

Saya cakap:

“Bang, boleh tak kerana Allah, saya nak cakap sikit?”

Lelaki tu terus hunuskan parang depan muka saya dan berkata:

“Siapa tok guru kau?”

Adakah saya terkencing dalam seluar? Tak, Allah tolong saya dari dalam, spontan saya jawab:

“Nabi Muhammad guru saya, boleh saya cakap sikit dengan abang hal agama?”

Terus lelaki tu jatuhkan Parang dan kami pun borak hal agama.

Kemudian orang seterusnya dah takde masalah, ramai yang layan dari yang benci, dan ramai yang lari lintang pukang walaupun mat rempit baju gangster seluar koyak mata bercelak, semua lari tak cukup tanah macam kena kejar dengan Mambang Tanah!

Woha!

Jadi bila selalu buat, maka setakat nak berceramah, nak berpantun, nak menyanyi, nak merisik, nak meminang, nak apa apapun dah tak gemuruh dah, InsyaAllah.

Moga dalam kubur nanti dapat borak dengan Malaikat Kubur tanpa gemuruh, sebab jika korang tak reti bercakap dengan Malaikat Kubur, siaplah kepala kena ketuk sampai pecah!

Jadi, praktis sekarang, biasakan cakap agama depan orang kita tak kenal, berdakwah...

Sekian satu tips, ada satu lagi tips, lebih mudah dari ini, lain kali saya kongsi.