(ulang kaji, mari kita belajar tentang Autisme dengan merujuk hadis)
Alkisahnya: Bila saya tulis: mungkin sahabat Nabi yang
bernama Abu Zar seorang Mild Autisme berdasarkan cara beliau respond pada
persekitaran, lalu ada orang komen:
“Autism tu brain injury. awak tu rasa bersalah sangat sebab
tu jadikan sahabat nabi konon autistic untuk sedapkan hati awak. Sudah-sudahlah
menjadi penunggang agama. bila ada brain injury, pergilah berubat. bukan
sedapkan hati dengan mereka cerita macam ni. tengok lah berapa ramai percaya
dan cerita ni tersebar. tak takot berdosa kah? Sila tunjukkan bukti ada kajian
terperinci yang sahabat nabi tu autistic..., kalau tak dapat tunjuk bukti
teruskan lah menjadi penunggang agama”
Saya harap pengkomen tu buktikan jugalah Autisme brain
injury tu dapat disembuhkan dengan ubat, malahan saya dah tulis dihujung
artikel, ini hanyalah pendapat saya dan boleh ditolak jika ada kajian lebih
tepat, jadi jika nak tolak, buktikan kajian anda, tak perlu sentap komen orang
lain penunggang agama tapi bukti Autisme brain injury dapat disembuhkan dengan
ubat, tak diberipun.
Maka bagi yang tidak tahu menahu tentang isu ini, alkisahnya
suatu hari saya ada terfikir:
Sejak bila Autisme ini wujud? Kenapa tiada catatan dalam
sejarah barat tentang Autisme di zaman silam? Lalu bila saya mencari maklumat
ini di internet, tiba tiba terjumpa komen dari seorang Mild Autisme, Uğur Dinç,
student M.A. History, Sabanci University, katanya dia sebagai seorang autisme
sangat yakin bahawa dari pembacaanya, Abu Zar R.A adalah seorang Mild Autisme.
Tulisannya ringkas sahaja tapi menjentik hati saya untuk mengkaji kisah Abu Zar
R.A secara lebih dalam dan perasan ada beberapa kelakuan beliau yang boleh dikaitkan
dengan autisme.
(Note: Autisme bukanlah kehinaan, ianya hanyalah kelainan
upaya yang di anugerah Allah kepada insan terpilih)
Apa yang menarik, jika benar Abu Zar R.A seorang Autisme,
maka kita boleh belajar tentang akhlak Rasulullah dalam berhadapan dengan
Sahabat baginda yang kelainan upaya.
Bagi yang belum tahu: Autisme adalah kelainan cara berfikir
sehingga mereka terasing dari masyarakat, selalu kelihatan stress, anti social,
dan berkelakuan pelik.
Autisme boleh dikesan dari kanak kanak yang tidak menoleh
apabila dipanggil namanya, mudah mengamuk, selalu bersikap kurang ajar dan
tidak bermain dengan rakan sebaya. Autisme tidak berjangkit, tidak boleh
disembuhkan tapi boleh di kawal melalui pengalaman yang berkesan.
Autisme juga adalah pengetahuan baru ummat manusia kerana
lelaki pertama yang dikesan autisme adalah Donald Gray Triplett yang lahir pada
tahun 1933 dan sekarang berumur 86 tahun (masih hidup), Doktor yang kaji
kepelikan beliau adalah Dr Leo Kanner, dan waktu itu belum dilebel autisme
tetapi "Case 1".
Sebelum tahun 1933, kanak kanak yang ada masalah autisme
dituduh telah dirasuk oleh roh jahat, (rujuk Victor of Aveyron, 1798) hinggalah
kajian menyeluruh dikeluarkan pada tahun 1943 terhadap nasib kanak-kanak yang
mempunyai masalah sama seperti Donald Triplett maka sedarlah kita bahawa telah
wujud ‘Case 1’ ini sekian lama dan mula dilebel sebagai Autisme. (Diambil dari
Bahasa Latin dan Greek yang bermaksud “Menyendiri”)
Maka apabila ciri ciri Autisme telah dikenal pasti, maka
mari kita kaji kisah Sahabat Nabi yang bernama Abu Zar dan kepelikkan beliau.
Adakah sifat suka menyendiri beliau selari dengan Autisme?
Al kisahnya, Abu Zar R.A bukan berasal dari Mekah, beliau
datang dari jauh (Ghifar) untuk mencari orang mengaku Nabi, dan cara beliau
mencari Nabi adalah dengan tidak bertanya, cukup hanya dengan meninjau keadaan
sekeliling, dengar-dengar cakap orang lalu cuba mencari sendiri.
Perasan tak? salah satu cari Autisme, iaitu bila ada apa-apa
masalah yang rumit, sukar nak bertanya dan suka selesaikan cara sendiri.
Kemudian beliau didatangi Saidina Ali yang nampak Abu Zar ni
macam pelik lalu ajak bermalam di rumahnya, Abu Zar setuju menumpang di rumah
Ali R.A dan membisu di sana, Pagi keluar cari Nabi melalui pusing-pusing
sekitar Mekah, pulang terus tidur rumah Saidina Ali, sampai hari ke tiga, bila
Ali R.A melihat tetamu ni resah gelisah tapi tidak tahu punca, maka Saidina Ali
R.A bertanya, barulah beliau bercerita nak cari Nabi. Mungkin pada waktu itu
Abu Zar sudah selesa dengan Ali, dan sudi memberitahu isi hatinya.
(Pelik kan?, ada tetamu menumpang tidur di rumah kita dan
tidak bercerita apa tujuan datang hinggalah ditanya pada hari ketiga baru
selesa untuk bercerita)
Maka pendek cerita, Saidina Ali bawa beliau jumpa Nabi dan
terus beliau masuk Islam, dan Nabi mungkin dah perasan sifat pelik pada Abu Zar
lalu larang Abu Zar istiharkan Islamnya secara terang terang, kerana zaman itu
orang masuk islam akan diseksa, tapi Abu Zar dengan penuh semangat, selamba
pergi depan Kaabah dan menjerit bagitahu dia sudah masuk islam.
(Perasaan terlalu bersemangat dan teruja dari kalangan
Autisme memang tidak disembunyikan)
Terus beliau kena pukul sampai pengsan hinggalah di
selamatkan oleh Ibnu Abbas R.A, tapi adakah beliau serik?
Esok, dengan penuh teruja, beliau pergi lagi depan kaabah
dan jerit lagi bahawa dia dah masuk Islam, kena pukul lagi, dan hari ketiga
beliau buat lagi dan hampir mati dibunuh hinggalah Saidina Abbas R.A bagitahu
kepada orang yang nak bunuh Abu Zar bahawa kaum Abu Zar duduk di jalan kita
berniaga, tak selamat nanti kita nak melintas di sana.
Dari kisah ini, Maka terjawablah soalan yang pernah
menghantui diri saya selama ini: “kenapa Abu Zar engkar arahan Nabi lalu pergi
menjerit depan Kaabah, dan sanggup dipukul berkali kali hampir mati?”
Ada Ustaz yang jawab Itulah Iman Mualaf, sanggup mati demi
kebenaran, tapi yang pelik, engkar arahan Nabi pun tak betul juga, maka bila di
kaji sifat Autisme, maka memang mereka ada sifat agak sukar memahami arahan
atau mematuhi arahan, pengalaman anak saya sendiri, ada benda yang merbahaya
dan kita sudah larang, tapi kerana teruja, tetap di buatnya, maka untuk itu
saya boleh faham kenapa Abu Zar sanggup berkelakuan aneh yang membahayakan
nyawanya sebab cara faham maklumat adalah tidak sama dari seroang Autisme.
Namun apa kebaikkan Autisme?, sifat lurus mereka membuatkan
mereka mudah belajar melalui visual, maka terus Abu Zar mencontohi kehidupan
Nabi dan menjadilah beliau seorang yang paling zuhud di antara semua sahabat
Nabi. Sehingga Nabi memuji Abu Zar, sabda Nabi: Siapa nak lihat bagaimana
zuhudnya Nabi Isa, lihatlah Abu Zar!
Namun dalam kelurusan Abu Zar, maka sudah tentu ada
kelemahan yang lain, pernah Nabi bertanya kepada Abu Zar, apa nak buat jika
kamu nampak orang kaya mengambil harta orang miskin?, jawab Abu Zar R.A akan di
pancung dengan pedang serta merta, maka Nabi menasihatinya agar jangan guna
pedang, bersabarlah (serahkan kepada pemerintah untuk menjatuhkan hukum)
Lalu Abu Zar meminta jawatan menjadi pemerintah. Jawab Nabi:
”Ya Abu Zar, aku lihat engkau seorang yang lemah dan aku
suka engkau mendapatkan sesuatu yang aku sendiri menyukainya. Janganlah engkau
memimpin dua orang dan janganlah engkau mengurus harta anak yatim.” (Riwayat
Muslim)
Dari hadis ini, walaupun Abu Zar seorang yang warak dan
zuhud, tapi Nabi tidak memberikan jawatan dalam kerajaan kepada beliau kerana
ada kelemahan dalam bab menguruskan tanggung jawab. Sesuatu yang menjadi krisis
bagi seroang Autisme.
Baik, sekarang kita tengok cara Nabi Muhammad S.A.w
berkata-kata dengan Abu Zar R.A:
Satu hari, Abu Zar mendekati Nabi yang sedang tidur, lalu
Nabi terjaga dan bersabda: "Tidaklah seorang hamba yang mengucapkan
"LA ILAAHA ILLALLAH" kemudian mati kerana itu melainkan dia akan
masuk syurga."
Tanya Abu Zar: "Walaupun dia berzina dan mencuri?"
Jawab Nabi : "Walaupun dia pernah berzina dan
mencuri."
Tanya Abu Zar lagi; "Walaupun dia pernah berzina dan
mencuri?"
Jawab Nabi: "Walaupun dia pernah berzina dan
mencuri."
Abu Zar tak puas hati, dan tanya lagi; 'Walaupun dia pernah
berzina dan mencuri?" Tapi Rasulullah SAW dengan tenang menjawab:
"Walaupun dia pernah berzina dan mencuri."
Lihat dari perbualan ini, walaupun Abu Zar ulang soalan yang
sama berulang-ulang, Nabi tetap tenang menjawab sebab cara berfikir Abu Zar
agak susah nak hadam, orang yang berzina dan mencuri boleh masuk syurga dengan
mengucapkan "LA ILAAHA ILLALLAH".
Tapi bila hadis ini disampaikan oleh Abu Zar kepada Abu
Abdulah dengan suara tak puas hati, maka tafsir Abu Abdullah,
"Walaupun" sepertinya Abu Zar kurang puas. "Hal ini jika terjadi
ketika seorang hamba itu meninggal atau sebelum dia meninggal lalu bertaubat
dan menyesali perbuatannya serta mengucapkan "LAA ILAAHA ILLALLAH",
maka dosa-dosanya akan terampuni." (HR Bukhari No 5379, HR Muslim 138)
Okey, itu kisah Nabi bertenang dengan Abu Zar walaupun Abu
Zar bertanya dalam keadaan tidak puas hati, tapi: ada tak Nabi marah pada Abu
Zar kerana tanya soalan yang melampau? Ada, Nabi marah tapi tidaklah sampai
membenci kerana Nabi faham sifat naif dalam diri Abu Zar R.A.
Alkisahnya, bila turun ayat tentang lallatul qadar lebih
baik dari seribu bulan, terus Abu Zar Tanya:
"Wahai Rasulullah beritahu kepadaku mengenai malam
Lailatul Qadar, adakah ia di bulan Ramadan atau selain daripadanya?"
“Bulan Ramadan."
"Adakah ia ada sampai kiamat?”
“Ya, sampai kimat”
"Jika bulan Ramadan, bahagian mana?”
"Carilah kamu pada 10 yang terawal dan 10 yang
terakhir."
“Mana satu yang 20 itu tadi wahai Rasulullah?"
"Carilah pada 10 malam terakhir dan jangan tanya aku lagi
selepas daripada ini."
"Wahai Rasulullah, Aku bersumpah ke atas engkau dengan
hak aku ke atas engkau, boleh tak engkau memberitahu aku mana satu 10 malam
itu?"
Maka Rasulullah menjadi sangat marah dan berkata:
"Carilah pada tujuh yang terakhir, dan jangan kamu tanya aku lagi selepas
daripada ini”
Memang begitulah keranah Autisme, dia tak sedarpun akan di
marah, dan kadang tak hairanpun bila di marah, lalu bila hadis ini di
ceritakan, babak Nabi marahpun di sampaikan tanpa perlu rasa bersalah.
Malahan kita nak tergelakpun ada dengan cara Abu Zar menekan
shor, tapi, bukankah salah satu sifat Autisme suka bertanya soalan sampai dia
rasa puas atau sampai kena marah? Fikir fikirkanlah, namun terima kasih kepada
Abu Zar kerana dari soalannya dapat kita focus mencari malam Al qadar yang
lebih baik dari seribu bulan.
Terima kasih Abu Zar! Semua terjadi dengan Kehendak Allah!
Okey, itu kisah Nabi memarahi Abu Zar, ada tak kisah Sahabat
lain yang ada masalah berkomunikasi dengan Abu Zar?
Oleh kerana sifatnya yang lurus, Abu Zar memang terkenal
dengan mulutnya yang lancang dalam berkata kata, (jika autisme mereka akan
dituduh kurang ajar) tapi itulah yang selalu terjadi, beliau selalu berdebat
dengan sahabat lain terutama isu hidup secara zuhud, pernah beliau berdebat
dengan Bilal, dan bila pendapat bilal tidak selari dengan dirinya, beliau
berkata kepada bilal: “mak kau hitam!”
Bilal r.a sangat sedih dengan hinaan melibatkan warna kulit
dan terus mengadu pada Nabi Muhammad SAW,dan Nabi bersabda, “Wahai, Abu Zar.
Engkau telah menghinakannya dengan merendahkan ibunya. Di dalam dirimu terdapat
sifat jahiliyah.” (HR. Bukhari).
Teguran dari Nabi sangat menyedihkan Abu Zar Lalu dengan
menangis, dan menghampiri Rasulullah, Abu Zar berkata, “Wahai, Rasulullah.
Beristigfarlah untukku. Mintakanlah ampunan dari Allah untukku.”
Mungkin melihat Nabi diam sahaja, terus Abu Zar keluar dari
masjid sambil menangis dan terus meletakkan kepalanya di atas tanah yang
dilalui Bilal dan berkata, “Demi Allah, wahai Bilal. Aku tidak akan mengangkat
pipiku, kecuali engkau memijaknya dengan kakimu. Engkaulah orang yang mulia dan
akulah yang hina.”
Lantas Bilal pun pergi menemui beliau, Bilal menangis dan
terus mencium pipi Abu Zar dan mereka berpelukan sambil menangis.
Namun, walaupun dalam keadaan sedemikian, Rasulullah sangat
sayang pada Abu Zar, dan banyak hadis tentang tauhid diajar Nabi kepada Abu
Zar.
Ada satu lagi sifat pelik Abu Zar yang boleh dikaitakan
dengan Autisme, ada satu waktu dalam perang, Nabi wajibkan mereka yang hanya
ada binatang tunggangan sahaja ikut berperang, Abu Zar nak ikut tapi untanya
sakit tidak mampu berjalan, dan beliau sudah jauh tertinggal di belakang, lalu
Abu Zar tetap datang ke medan perang dengan mendukung Unta di atas belakangnya,
melihat kejadian ini Nabi Muhammad SAW bersabda: “Semoga Allah mengampuni Abu
Zar, dia datang bersendirian, akan hidup bersendirian, dan mati bersendirian.
“Bersendirian” itulah yang dimaksudkan dengan cara hidup
seorang autisme yang selalu kelihatan menyendiri dari masyarakat kerana cara
mereka memandang dunia adalah tidak sama.
Maka selepas kewafatan Rasulullah, Sabdaan Nabi adalah benar
yang mana Abu Zar telah diasingkan oleh orang ramai kerana sifatnya yang sangat
tegas berkenaan harta, katanya Nabi hidup miskin sahaja, tapi kenapa zaman
sekarang ramai orang islam hidup mewah?
Maka dari tindakkanya itu membuatkan orang kaya Islam berasa
tidak selesa dan mengadu pada pemerintah, tapi Abu Zar selamba berdebat dengan
Muawiyyah, dan berdebat dengan Usman Khalifah islam waktu itu, akhirnya beliau
di arah berpindah ke Damascus.
Namun selepas di ketahui kehidupannya di sana tidak gembira
sebab terpaksa hidup dikalangan orang islam yang mulai hidup bermewah-mewah,
lalu Usman benarkan Abu Zar pindah ke Madinah, pun Abu Zar tak seronok sebab
orang Islam di Madinah juga sedang hidup mewah tak macam zaman Nabi lalu beliau
minta izin untuk tinggal jauh di padang pasir.
Begitulah perkaitan dengan autisme, tidak boleh terima
perubahan, dan lebih suka menyendiri dari hidup bermasyarakat, Khalifah Usman
faham tentang pendirian Abu Zar dan benarkan beliau tinggal di padang pasir
bernama Rubza jauh dari kehidupan bermasyarakat.
Walaupun beliau hidup bersama isteri dan anak perempuan
dipadang pasir jauh dari masyarakat, tapi dari masa ke semasa, ramai Tabien
datang belajar hadis daripada beliau.
Mendengar Abu Zar mengasingkan diri, Raya Syrira pernah
kirim 300 dinar emas tapi Abu Zar terus bahagikan kepada orang miskin kerana
tidak mahu hidup mewah, beliau betul betul nak hidup zuhud macam Nabi, dan bila
ada sahabat lain melawat beliau dan melihat rumahnya sangat uzur lalu bertanya,
mana pergi semua perabot dalam rumah ini?, jawab Abu Zar perabot semua sudah di
hantar ke syurga.
Zuhud Abu Zar bukan di buat-buat, malahan sewaktu Nabi
Muhammad SAW hidup lagi, Kerana hidup terlalu zuhud, Nabi Muhammad SAW pernah
bersabda, Abu Zar berjalan di atas bumi sezuhud Nabi Isa anak Maryam.
Akhirnya Abu Zar meninggal di padang pasir hanya ditemani
isterinya, menangis isterinya kerana nak tutup dengan kain kafan pun tiada kain
yang sebesar jasad Abu Zar R.A, tapi sebelum meninggal Abu Zar bagitahu kepada
isterinya, jangan bersedih, walaupun saya akan mati bersendirian di sini, tapi
Nabi Muhammad SAW memberitahu, akan ada Satu Kabilah orang beriman akan sempat
melihat jenazahnya.
Maka selepas kematiannya tiba tiba muncul rombongan kaum
Muslimin yang dipimpin oleh Abdullah bin Mas'ud.
Ketika pandangan Ibnu Mas'ud jatuh ke mayat Abu Dzar
Al-Ghifari. Air matanya tumpah membasahi janggut lalu berkata, "Benarlah
ucapan Rasulullah, kamu berjalan sendirian, mati sendirian, dan dibangkitkan
juga sendirian"
Abu Zar telah pergi meninggalkan kita semua, tapi hadisnya
bersama Nabi kekal hingga akhir zaman, pesan Nabi Muhammad SAW kepada Abu Zar:
"Hai Abu Zar, sesungguhnya kau dari keluargaku, dan aku
akan berwasiat kepadamu, maka ingat-ingatlah, kerana wasiat ini menghimpun
segala kebaikan dan pelaksanaannya.
Hai Abu Zar, sembahlah Allah seolah-olah engkau melihat
kepada-Nya. Maka bila nyata engkau tidak melihat Allah, maka yakinlah bahawa
Allah melihat engkau.
Hai Abu Zar, dua macam nikmat, kebanyakan manusia rugi,
kerana tidak mempergunakan dengan sebaik-baiknya, iaitu sihat dan waktu lapang.
Hai Abu Zar, gunakan lima sebelum tibanya yang lima,
gunakanlah masa mudamu sebelum tuamu, dan masa sihatmu sebelum sakitmu, dan kekayaanmu
sebelum miskinmu, dan kesempatanmu sebelum sibukmu, dan hidupmu sebelum matimu.
Hai Abu Zar, awaslah jangan menangguh-nangguh sangat
perbuatanmu, kerana engkau tergantung pada hari ini, dan bukan pada hari yang
sesudahnya, maka apabila esok hari itu juga hakmu, maka lakukan sebagaimana
hari ini, dan bila esok itu bukan hakmu, maka engkau tidak menyesal kerana
tidak memperlambat apa yang harus kau perbuat hari ini.
Hai Abu Zar, sayanglah pada umurmu, lebih daripada
kesayanganmu terhadap wang emas dan perakmu.
Hai Abu Zar, Sesungguhnya sejahat-jahat manusia di sisi
Allah pada hari kiamat, ialah seorang alim yang tidak berguna dengan ilmunya
dan siapa yang menuntut ilmu sekadar untuk menarik perhatian orang-orang
kepadanya, maka ia tidak akan mendapat bau syurga.
Hai Abu Zar, jika kau ditanya sesuatu yang tidak kau
ketahui, maka jawablah, saya tidak mengetahui supaya selamat dari
tanggungjawabnya, dan jangan memberi fatwa terhadap apa yang tidak kau ketahui,
supaya selamat dari siksa Allah pada hari kiamat.
Hai Abu Zar, maut akan datang secara tiba-tiba, dan siapa
menanam kebaikan pasti akan menuai kebaikan. Dan siapa yang menanam kejahatan
pasti akan menuai kemenyesalan, dan bagi tiap-tiap penanam hasil apa yang
ditanamnya,
Hai Abu Zar, Sesungguhnya seorang mukmin melihat dosanya itu
bagaikan bukit besar yan dikhuatiri akan jatuh padanya, sedang orang kafir
memandang dosanya itu bagaikan lalat yang hinggap di atas hidungnya.
Hai Abu Zar, Allah telah menjadikan kesenanganku dalam
sembahyang dan aku puas dengan sembahyang itu sebagaimana puas orang lapar
dengan makanan dan orang haus dengan air, sedang orang lapar jika makan kenyang
dan orang haus jika minum puas, dan aku tidak merasa kenyang dari sembahyang (
Yakni tidak jemu-jemu sembahyang).
Hai Abu Zar, sesungguhnya selama kau bersembahyang, maka
bererti kau sedang mengetuk pintu rahmat Tuhan dan siapa yang selalu mengetuk
pintu raja pasti akan dibukakan baginya.
Hai Abu Zar, tiada seorang mukmin yang berdiri sembahyang melainkan
bertaburan di atasnya rahmat antara kepalanya sampai arasy dan malaikat
berkata: Hai anak Adam, andaikan kau mengetahui kedudukanmu ketika sembahyang
dan siapa yang kau ajak bicara, nescaya kau tidak akan berhenti.
Hai Abu Zar, dunia sebagai penjara bagi orang mukmin dan
syurga bagi orang kafir.
Hai Abu Zar,Allah telah berfirman dan bermaksud: "Aku
tidak akan menghimpun dua kali takut dan dua kali aman, pada hambaKu, jika ia
merasa aman daripadaku di dunia maka akan Aku takutkan ia di hari kiamat, dan
bila ia merasa takut kepadaKu di dunia Aku amankan ia di hari kiamat."
Okey, banyak lagi pesanan dari Rasulullah kepada Abu Zar
R.a, cukup ini yang sempat saya sampaikan, balik kepada topik asal, adakah Abu
Zar seorang mild autisme?
Rujuk sekali lagi hadis Nabi Muhammad SAW yang bersabda:
“Semoga Allah mengampuni Abu Zar, dia datang bersendirian, akan hidup
bersendirian, dan mati bersendirian.
“Bersendirian” itulah yang dimaksudkan makna sebenar
Autisme, sedang nama ini baru di ilhamkan pada tahun 1943, sedang Nabi Muhammad
SAW telah melebelnya 1400 tahun yang lalu! Subhanallah!
Kesimpulannya, Dari sejarah yang kita baca, jika benar ada
ciri Autisme pada Abu Zar R.A bermakna kepada ibu bapa yang ada anak Autisme,
jangan putus asa, sebab ada Autisme yang sudah menjadi Hafiz, ahli perniagaan,
doktor, guru dan insyaAllah jika kena dengan perjalanan hidupnya, mampu menjadi
seorang Dae yang berjuang untuk agama Allah.
Wallahu’alam.
Ps: Walaubagaimanapun, ini hanyalah pendapat penulis semata
mata. Jika ada fakta yang lebih tepat dari pandangan penulis, maka pendapat
penulis tertolak serta merta. Semua yang baik dari Allah dan semua yang tidak
baik adalah dari kelemahan saya sendiri.