Jul 12, 2021

Surat paling sedih?

Bayangkan korang hidup zaman Nabi, masuk islam di Mekah lepas tu kena siksa dengan orang kafir, tapi satu hari, korang dapat peluang larikan diri, terus tinggalkan Mekah dan menuju ke Madinah.

Perjalanan dari Mekah jalan kaki 450km, lebih kurang 9 hari perjalanan zaman tu.

Tapi sampai Madinah, Nabi tak terima korang, dan serahkan korang Kembali kepada orang kafir.

Sedih tak? Mampu tak hadapi ujian hidup macam tu?

Satu pihak nak seksa korang sebab masuk islam, lalu korang lari ke arah Nabi Muhammad SAW ketua orang islam untuk mintak tolong tapi Nabi tak benarkan korang rentas daerah, terpaksa patah balik kena PKP di Mekah, bukan kena kurung tak bagi makan, tapi kena siksa di Mekah, sedih tak?

Itulah ujian hidup yang berlaku pada sahabat Nabi Bernama Abu jandal yang baru masuk islam.

Semua tu kerana SOP perjanjian Damai, di Hubudaiyah yang mana dalam perjanjian itu mengatakan:

Orang yang telah masuk Islam dan berhijrah, harus dikembalikan ke Mekah dan orang Islam yang murtad dari Islam tidak dikembalikan ke kaum Muslimin.

Alkisahnya Abu Jandal telah disiksa, dan dirantai oleh kaum kafir karena keislamannya, namun telah berjaya lari ke Madinah, Ayahnya yang bernama Suhail datang dan lempang Abu Jandal, ambik balik ke Mekah untuk dimurtadkan Kembali.

Pesan Nabi pada Abu Jandal: “Dalam waktu dekat, Allah akan membukakan jalan bagimu.”

Abu Jandal akur dan ikut ayahnya Kembali ke Mekah, Nabi sendiri terpaksa akur sebab SOP perjanjian tu dan tulis macam tu.

Tak lama kemudian, Abu Bashir ra yang baru masuk islam telah melarikan diri dari Mekah dan lari ke Madinah.

Kaum kafir mengutus dua orang untuk membawanya kembali ke Makkah. Sesuai dengan perjanjian, Nabi SAW mengembalikan Abu Bashir ra kepada mereka.

Abu Bashir berkata, “Ya Rasulullah, aku datang setelah menjadi Muslim, dan engkau kembalikan aku kepada kaum kafir untuk menyeksaku?”

Nabi pun sedih dengan situasi ini, namun Nabi SAW hanya mampu menasihatinya, “Insya Allah Abu Basir, sebentar lagi Allah akan membukakan jalan bagimu.”

Taat Nabi Taat Allah, Akhirnya, Abu Bashir ikut juga dua orang kafir itu pulang ke Mekah.

Di tengah perjalanan, Abu Bashir tahu sampai ke Mekah beliau akan di azab hingga murtad atau mati, maka Abu Basir pura pura baik dan mesra dengan dua orang kafir itu.

Pendekkan cerita dalam perjalanan pulang ke Mekah yang Panjang, Abu Basir ra berkata kepada orang kafir yang mengiringnya pulang.

 “Hai kawan, cantik betul pedang kamu, kagum saya tengok”

Orang kafir itu pun mengeluarkan pedang dan berlagak:

 “Ya, pedang ni memang hebat, aku telah menebas banyak orang dengan pedang ini.”

“Boleh aku tengok kejap?”

Selamba orang kafir tu bagi Abu Basir pegang pedang tu, sejurus sahaja pedang itu berada di tangan Abu Bashir, terus di libas kepala orang kafir tu sampai putus kepala, dan kawannya yang sorang lagi, terus lari lintang pukang menuju Madinah, Abu Basir bergegas kejar dari belakang.

Maka bermulalah aksi kejar mengejar dipadang pasir.

Pendek cerita, orang kafir itu berjaya sampai ke Madinah dan terus berlari ke arah Nabi sambil menjerit:

 “Temanku telah dibunuh dan sekarang akan tiba giliranku,”

Tak lama kemudian, muncul Abu Bashir bersama pedang terhunus, dan baju yang ada percikan darah, lalu berkata,

“Ya Rasulullah, engkau telah memenuhi janjimu dengan mereka, dan aku pun telah dipulangkan, namun aku tidak memiliki janji apa pun yang menjadi tanggung jawabku atas mereka. Kulakukan semua ini karena mereka berusaha mencabut agama dariku.”

Nabi faham situasi Abu basir namun tetap suruh beliau balik ke Mekah, sungguh Tiada tempat selamat lagi baginya, tinggal di Madinah, bila bila masa orang kafir akan datang dan tangkap beliau dan Nabi tak boleh halang, Abu Basir sangat sedih lalu lari dari Madinah dan bersembunyi di Kawasan hutan berhampiran pantai.

Kemudian Abu Jandal ra yang dengar kisah ini, telah larikan diri sekali lagi tapi kini tidak meminta suaka di Madinah, malahan bergabung dengan Abu Basir di Kawasan hutan berhampiran pantai, lama lama bilangan mereka semakin ramai, hingga mencecah 70 orang, pelarian islam dari Mekah makin ramai dan semuanya bergabung dengan Abu Basir hingga mencecah 300 orang.

Sahabat Nabi ni berjiwa pahlawan, dan tanpa ketua (nabi) mereka semua kini menjadi pahlawan tidak bertuan, mereka jadi macam Ronin (Samurai tidak bertuan) yang membawa Haluan sendiri dan merbahaya kepada musuh mereka.

Maka Gerakan ini menjadi Tentera tidak bertuan dan menyerang orang kafir dari masa ke semasa terutama orang kafir yang melintas Kawasan gurun dan pantai atau nak pergi meniaga di Daerah lain, memang kena serang.

Kaum kafir di Makkah pun merasa ketakutan sehingga mereka terpaksa menjumpai Nabi SAW dan merayunya dengan menyebut nama Allah, agar Nabi arahkan geng islam area pantai henti menyerang orang kafir.

Tapi nabi bagitahu mereka tidak bertuan sebab kamu tak bagi mereka pulang ke Madinah, terus orang kafir insaf kerana faham sahabat Nabi tanpa Amir lebih bahaya lalu mereka ubah SOP dengan benarkan semua pelarian islam Kembali ke Madinah.

Dengan perubahan SOP ini, maka berduyung duyung orang Mekah masuk islam dan hijrah ke Madinah tanpa ada gangguan. Bibit kemenangan Islam semakin hampir.

Lalu Nabi tulis surat kepada Abu Basir dan semua pelarian islam, kembalilah ke Mekah, Allah telah menolong kamu.

Kemudian Nabi dan beribu ribu orang islam Islam telah pergi Mekah dan menawan Mekah tanpa pertumpahan darahpun sebab Allah telah campakkan kegerunan pada orang kafir apatah lagi dengan bilangan orang islam yang sangat ramai.

Berhala yang menghias Kaabah, 360 buah, telah di musnahkan, dan Mekah telah bebas dari berhala selamanya, malahan semua orang kafir telah dihalau dari Mekah selamanya dan tanah Mekah haram dipijak orang kafir sampai hari ini.

Islam telah menang!

Balik kepada kisah Abu Bashir dan Abu Jandal serta pelarian islam lain yang telah sekian lama terseksa hidup dalam buangan, akhirnya sangat gembira kerana mereka semua telah dibenarkan pulang ke Madinah, diberitakan, abu Bashir pada waktu itu sedang nazak, sakit teruk, tidak dinyatakan punca nazaknya, letih berperang atau kekurangan zat makanan, tapi dalam catatan sejarah, Abu Basir sedang terlantar sakit menanggung ujian hidup.

Namun surat kemenangan dari Nabi yang mengajaknya pulang akhirnya sampai ke tangan beliau, bercucuran air mata beliau menerima surat itu kerana Allah telah terima ketaatan beliau pada Nabi walau hidup dalam derita, lalu surat itu di ciumnya kerana rindu kepada Rasullulah, dan Abu Basirpun menghembuskan nafasnya dengan surat Nabi menutup wajahnya.

Siapa potong bawang ni? Sob sob..

Tuan tuan, kita semua sedang di uji, dengan PKP, PKPD, SOP, Covid, Ekonomi, PDPR, anak OKU, dan sebagainya, namun ambiklah masa baca kisah Nabi dan Sahabat, bacalah taklim, sungguh kisah mereka orang awal masuk islam telah diuji dengan ujian yang sangat berat tapi masih mampu meningkatkan keimanan, sedangkan kita dalam baki nikmat yang banyak, ada yang menggadaikan keimanan.

Semoga Allah ampun dosa kita semua dan kurnia syurga.

Tahniah Abu Basir, Abu Jandal! dan semua pelarian islam yang tabah hadapi ujian hingga hujung nyawa!

Ayoh kita semua, bertabah dengan semua ujian hidup! Kerana kita pelarian syurga

Jom Woha sampai syurga!

No comments: