Mar 8, 2020
Ipar itu Maut?
Alkisahnya.. Sewaktu kecil, bila ibu bapa bawa kami kunjungi
rumah Mak saudara atau Bapak saudara, sepupu perempuan selamba tidak bertudung
malahan berbaju lengan pendek dalam rumah melayan kami para tetamu, tapi di
rumah saya, bila dikunjungi oleh Mak saudara atau Bapak saudara termasuk anak
mereka yang berpangkat sepupu, terus kakak dan adik perempuan saya lari masuk
bilik, pakai tudung, pakai baju berlengan panjang, baru keluar bilik dan layan
tetamu.
Bila saya ajukan masalah ini pada arwah mak, katanya, sepupu
boleh di kahwini, dan aurat mereka haram. Mak boleh tegur anak mak tutup aurat
sewaktu sepupu kamu datang, tapi anak orang lain, ‘ajaran’ mereka berbeza.
Sangka baik, tegur dengan hikmah dan sentiada doakan kebaikkan untuk ummat.
Masa berubah, kakak dan abang kahwin, maka munculah ipar
duai. Di rumah saya, Alhamdulillah ajaran peri pentingnya menutup aurat dan
menjaga akhlak masih berlaku yang mana jika abang ipar ada di rumah, seluruh
adik beradik akan tutup aurat sepenuhnya. Tapi bila saya sendiri berkahwin,
maka di rumah mertua, lain ‘ajarannya’. Lantas kata Puan Bini: Sejak saya jadi
ahli keluarga mereka, suasana sudah berubah, mungkin segan dengan saya yang
sering tunduk pandangan (ehem-ehem, macam lah alim sangat saya ini, belajar
belajar alim, pelan-pelan kayuh).
Sambung balik ulasan Puan Bini, katanya sejak saya jadi ahli
keluarga mereka, suasana sudah berubah, mungkin segan dengan saya yang sering
tunduk pandangan pada ipar duai yang tidak bertudung dan enggan bersalaman
dengan mereka sebab bersentuhan sasama ipar duai adalah haram, lalu mereka
hormat dengan keputusan saya dan hingga hari ini, semua sudah bertudung walau
dalam rumah dan ‘salam’ cukup hanya dengan angguk kepala dan senyum sahaja.
Alhamdulillah.
Balik pada kata-kata arwah emak, ‘ajaran’ keluarga yang
berbeza buat mereka bertindak berbeza, seperti kita yang tidak melarang anak
perempuan tidak memakai tudung sewaktu ipar duai datang ziarah, maka si anak
anggap tidak menjadi kesalahan membuka aurat dihadapan ipar duai atau sepupu
sepapat. Maka tidak menegur anak telah menjadi ‘ajaran’ yang berbeza dalam
perihal mentaati perintah agama.
Baik!, ilmu adalah mahal, dan kefahaman mengikut pengorbanan
kita dalam menuntut ilmu, jika masih ada wanita di luar sana yang sanggup
bertanya, kenapa aurat haram kepada ipar duai?
Jawapannya adalah kerana kita boleh berkahwin dengan mereka
bila keadaan mengizinkan, seperti adik suami anda, boleh di kahwini selepas
suami anda meninggal atau berpisah.
Saya dahulu pernah kenal pasangan suami isteri yang kerja
satu pejabat, saya baik dengan mereka berdua sebab satu tempat kerja, suami
Alhamdullilah solat, dan isterinya Alhamdulillah bertudung. Tapi sewaktu saya
kunjungi rumah mereka, isterinya hidang air tanpa bertudung!
Bila ada peluang saya borak dengan suaminya tentang isu ini,
katanya: Aurat hanya perlu tutup di luar rumah, tidak menjadi kesalahan kepada
isteri saya jika ada orang mengintai atau masuk dalam rumah.
Dari nada percakapannya yang sangat serius hingga saya
terpaksa buka hadis dan rujuk ustaz untuk betulkan balik ‘ajaran’ yang sudah
dihadam dengan kefahaman yang agak pelik. Perkara ini mungkin terjadi jika kita
salah faham dalam belajar agama hingga pernah saya dengar di sebuah daerah
(bukan di Malaysia) yang benarkan rakan sekerja minum air susu wanita hingga
kenyang untuk dapat status mahram dan bolehlah mereka membuka aurat sewaktu
bekerja kerana sudah bertaraf emak dan anak. Tepuk dahi!
Jadi balik kepada ajaran Sunnah wal jamaah bahawa mahram
adalah orang yang haram dinikahi, sama ada haram selamanya atau haram kerana
halangan sementara.
Haram dikahwini selamanya seperti Ibu-Ayah, adik beradik
ibu-ayah, adik beradik sendiri, anak sendiri, anak saudara, mertua, adik
beradik tiri dengan syarat tertentu dan lain lain.
Wanita yang haram dikahwini kerana halangan sementara pula
adalah seperti wanita kafir, bekas isteri yang dicerai dengan talak tiga,
wanita dalam iddah, isteri orang, wanita yang kelima untuk giliran poligami,
adik beradik isteri, dan lain-lain.
Maka untuk mahram yang haram dinikahi sementara, aurat dan
batas pergaulan mesti di jaga. Dari Uqbah Bin Amir, katanya; Rasulullah SAW
sesungguhnya telah bersabda:
"Jauhilah olehmu sekalian masuk ke tempat para
wanita"
Lalu seorang sahabat Ansar bertanya:
"Bagaimana pendapat baginda tentang ipar?".
Sabda baginda:
"Ipar itu maut".
(Riwayat Nasa'i)
Jadi balik kepada hubungan ipar duai, jika pergaulan tidak
melanggar batas syarak dan menjaga aurat, maka ia diharuskan seperti menuntut
ilmu, menyebarkan dakwah, menghadiri jemputan walimatul urus, hal ehwal dalam
bidang perubatan, kenduri kendara, ziarah menyambung silaturahim, tunaikan haji
dan umrah serta lain lain aktiviti yang tidak bertentangan dengan hukum islam.
Cumam bila bab tinggal berdua-duaan dengan ipar duai dalam
rumah tanpa kehadiran pasangan kita itu yang boleh mengundang fitnah dan di larang
dalam Islam. Kena betul betul jaga bab ini kerana fitnah boleh mengundang
kemurkaan Allah. Ipar itu maut!
Sebagai penutup, untuk lebih fahamkan perihal ipar duai ini,
saya bagi satu kes studi, bayangkan anda adalah seorang yang tegas macam
pengetua Sekolah lelaki Gurukul iaitu macam Amitabh Bachchan dalam filem
Mohabbatein. Sewaktu meronda tiba tiba ternampak dua pasangan kekasih sedang
menari di sebalik tembok. Satu pasangan macam Shah Rukh Khan dan Aishwarya Rai,
seorang lagi macam Salman Khan dan Karenna Kapoor.
Terus anda yang garang macam Amitabh Bachchan tegur mereka:
“Haram menari lelaki dan perempuan!”
Di sebalik tembok, berkata Shah Rukh Khan: “kami Suami
isteri”
Anda yang masih belum putus asa berhujah: “Suami isteri
patut menari dalam bilik, ini ada dua pasangan, apa cerita? Haram!”
Terdengar pula suara Salman Khan: “Kami ni semua ipar duai”
Terus anda dapat modal untuk berkhutbah:
“Ipar duai adalah maut, Nabi larang buka aurat depan ipar
duai, sebab anda hanya haram sementara kahwin dengan pasangan ipar anda”
Lalu Shah Rukh Khan panjat tembok dan bagi hujah yang buat
Amitabh Bachchan berundur dengan malu kerana sedar kurang ilmu agama kerana
rupanya perbuatan kedua pasangan suami isteri itu menari adalah tidak salah.
Anda rasa, apa hujah Shah Rukh Khan dalam masalah di atas?.
Jawapannya, Shah Rukh Khan kahwin dengan Aishwarya Rai yang
merupakan adik kandung Salman Khan, dan Salman Khan kahwin dengan Karena Kapoor
yang merupakan adik kandung Shah Rukh Khan. Jadilah mereka Ipar duai yang tidak
mendatangkan maut!
Faham tak? Jika tak faham elok turut sertai Amitabh Bachchan
pergi belajar agama sama!
Woha!
Ps: Nama dan watak adalah contoh semata-mata, tidak ada kena
mengena dengan yang hidup atau mati.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment