(Kerana ini adalah zaman aku keluar gua)
Okey, Aku pernah maklum dalam Facebook kenapa dah tak
bertopeng tahun lepas, tapi di Facebook susah nak jejak post yang lama lama,
jadi aku post di Blog, sebagai rujukan kepada mereka yang semalam baru mahu
bertanya: Kenapa Hamka Keretamayat sudah tidak bertopeng lagi.
Jawapannya,
Aku dah azam, masuk umur 40 tahun, aku mahu keluar dari ‘gua’.
Ya, aku serius menulis blog sejak umur 28 tahun, tulis
sebagai nota kepada diri, tulis di blog sebab zaman dah maju, tulis dalam buku,
nanti buku hilang.
Sebenarnya aku dari zaman remaja lagi sudah ada menulis nota
secara ringkas bab ugama dalam buku kecil, juga nota bab dunia seperti dialog
filem yang bermutu, falsafah falsafah dan apa sahaja yang aku rasa penting
seperti Tamsil ceramah dari ulamak,
ucapan ahli politik yang kelakar, lirik lagu berseni, petikan kata kata hikmat
buku tertentu, idea idea bab berniaga, idea idea untuk dijadikan skrip komik,
atau filem dan sebagainya, tak lupa juga lukisan lukisan yang terlintas di
sepanjang usia muda.
Dalam nota itu jugak, aku menulis balik kefahaman dari
buku yang aku baca atau dari filem yang
aku tonton dengan menggunakan pendekatan bahasa yang aku rasa lebih sesuai,
akhirnya buku itu dah jadi macam ‘kitab’ bagi aku untuk rujuk balik bila rasa
down atau lost.
Lebih kelakar, ada kawan aku nama Sudin yang fotostat buku
aku tu sebab kata beliau, himpunan nota dalam buku catatan aku itu sangat
tinggi nilai kemanusian dari segi akedemik dan falsafah!. Sudin juga akan rujuk
‘kitab’ aku bila rasa down atau lost!,
Woha!, ini satu penghormatan pada buku nota kehidupan aku,
walau aku rasa tindakan Sudin itu agak pelik.
Dipendekkan cerita, bila masuk zaman blogger, aku transfer
nota aku dari buku ke blog, tulis balik dengan plot yang lebih terancang, aku
tokok tambah dengan ilmu baru kerana hidup sudah lebih berpengalaman(kononnya), dan setiap
entry aku cuba masukkan drama dan punch line agar lebih dramatic, dan bila
pembaca serta kawan kawan baru merasa pelik serta hairan akan bagaimana aku
boleh update setiap minggu akan blog
keretamayat dengan bahan ‘rare’ yang lain dari yang lain, (rujuk entry dari
tahun 2006) lalu bertanya; dari mana datang idea?
Mereka sebenarnya tidak tahu, bahawa nota ugama dalam blog
adalah di tulis sejak aku remaja lagi dalam buku yang berkedut kedut kerana
mengharung suka duka naik masjid dengar ceramah, masuk kolej, keluar
university, masuk penggung wayang keluar konsert, ada yang koyak serta
bertampal.., ada yang hilang beberapa muka surat entah ke mana..
Namun, Alhamdulillah, sejak zaman internet, masalah buku
koyak sudah berakhir, dengan istiqamah update blog setiap minggu sekurangnya
satu entry, dan di tulis kembali dengan niat sebagai himpunan nota peribadi
kepada diri sendiri, dan tanpa apa apa promosi, namun setiap hari ada orang
baca (and counting) dan ada yang berterima kasih secara personal dan ada yang
mengaku hidup berubah kepada lebih baik lepas baca ‘nota ugama’ dalam blog aku,
maka menjadilah kereta mayat sebagai sebuah ikon pilihan hiburan islamik
berilmiah di persona media sosial.
Masuk tahun 2012, aku masuk aliran perdana, karya aku di
blog bertukar menjadi buku, dan setiap tahun wujud buku baru dengan bahan yang
tiada di blog, rupa rupanya, bila kita sebarkan ilmu, lagi banyak ilmu datang,
kita share idea percuma, lagi banyak idea yang best best Allah bagi hingga
mampu buat buku yang tebal tebal.
(Alhamdulillah, Semua dari Allah, aku hanyalah pendosa yang
hina)
Okey, kemudian, bila dah ada buku, maka terlibatlah aku
dalam kerja “memuji diri sendiri di hadapan orang ramai”. Bermula di CitiOne
Kuching Sarawak, lepas tu dekat OneBorneo Sabah, lepas tu di KB Mall Kelantan. Kemudian
ke Kuala Lumpur, Bangi, Shah Alam, Terengganu dan Kuantan termasuk Segala event
berkenaan Buku.
Aku sentiasa turun padang, tapi pakai cermin mata hitam
sebab belum besedia nak jadi artis. Namun waktu itu, umur dalam 30-an, aku dah
azam, masuk umur Nabi Muhammad SAW terima wahyu iaitu 40 tahun. Aku nak buka cermin mata hitam, aku nak keluar
gua. Aku mahu mewujudkan diri sebagai seorang manusia yang benar benar wujud.
Jadi sekarang, aku dah berumur 40 tahun, kerana itu aku dah berani post wajah
aku di media sosial, dan aku dah tak bertopeng lagi. Hamka Keretamayat itu
wujud, dan aku juga ada buat bengkel menulis dan berceramah, nak jemput
InsyaAllah, ada masa aku turun. (sempat promosi tu, he he)
Selain dari mahu keluar gua macam Nabi di umur 40 tahun, ada
banyak juga kebaikkan bila aku sanggup munculkan diri.
- Aku kena lebih bertanggung jawab dengan semua
tulisan aku. Ada orang tulis tanpa wajah, bila menfitnah, senang nak lari. Aku
tak nak jadi macam tu. Jika aku buat silap, aku kena minta maaf. Dah tak boleh
lari. Maka aku akan lebih berhati hati dalam menulis.
- Di Instagram dan Facebook, aku juga pernah jumpa
orang curi curi ambik gambar aku dan sebarkan, celaka sungguh, sebab gambar
yang di sebarkan itu tak hensem, aku nampak gemok dan gelap, (memang macam tu
pun) jadi biar aku sendiri pilih gambar yang aku perasan hensem dan share dekat
media Sosial, Woha!
- Lagipun dulu pernah aku dapat beberapa email
dari awek cun mengaku di mengorat oleh aku, lalu akupun tunjuk muka aku sikit
kat awek tu dalam email, dan terdedahlah bahawa ada orang menyamar jadi aku
untuk mengorat awek tudung labuh, nasib baik si awek tu confirmkan dulu betul
tak si penyamar tu Hamka Keretamayat, adohai..
So lepas aku dah share wajah tak hensem aku pada semua
pembaca setia keretamayat, lepas ni dah tak ada kot orang sanggup nak menyamar
jadi aku dan mengorat awek tudung labuh. He he..
Lagipun, kau gila? aku ni bukan jenis takut bini, tapi
kadang kadang Puan Bini sungguh menakutkan!
So sebelum berita tak benar Hamka keretamayat mengorat
perempuan tudung labuh tersebar, maka disinilah aku berdiri dengan nama dan
wajah sebenar.
Jika jumpa nampak aku senyum dan ada lada celah gigi.
Tegurlah dengan kasih sayang.
Akhir kata:
Terima kasih sudi baca dan komen di blog, FB, dan IG
keretamayat.
Terima kasih sudi bersangka baik dengan aku.
Terima kasih sudi beli buku kereta mayat
Terima kasih atas segala doa yang baik-baik.
Semoga kita semua Woha sampai syurga.
Ps: Sudin tak beli buku aku sebab katanya dia dah phostotat
nota aku dulu, adohai.., ternyata tindakan Sudin itu bukan pelik, tapi terlajak
bijak. Kah kah kah!
Ps2: Gambar ni aku tunjuk pada bini, lalu berTanya: wajah
abang mirip Tun M atau Datok Najib? Bini aku jawab: wajah abang macam Azwan
Ali!
Woha!