May 8, 2026

Autisme solat subuh?

 

Mensyukuri kehadiran anak syurga Autisme seawal pagi
Alkisahnya… Subuh yang tenang, hati yang aman.
Masjid itu tidak besar. Karpetnya sehijau raudah Madinah namun sedikit lusuh, kipasnya berbunyi perlahan seperti berzikir. Tetamu Allah datang satu persatu, solat sunat dua rakaat, yang ganjarannya lebih dari dunia dan seisinya.
Saya datang dengan seorang anak remaja.
Bukan anak biasa…
Orang panggil dia anak syurga.
Autisme.
Dia tak pandai duduk diam lama. Kadang pandang kosong. Kadang senyum sendiri. Kadang dunia dia… bukan dunia kita.
Tapi setiap Subuh, dia mahu ikut saya.
Solat bermula.
Saya berdiri.
Dia di sebelah, sekejap berdiri… sekejap goyang… sekejap tunduk lambat.
Ada yang pandang.
Saya tahu.
Tapi saya buat tak tahu.
Kerana saya teringat…
Nabi Muhammad ﷺ pernah panjangkan sujud… hanya kerana cucunya memanjat belakangnya.
Masjid ini… bukan untuk orang sempurna.
Masjid ini… untuk yang menikmati agama yang sempurna.
Selesai salam.
Orang ramai berzikir perlahan.
Ada yang baca doa, ada yang pejam mata.
Anak saya datang… tanpa kata.
Terus tepuk riba saya
Letak kepala…
Tarik nafas panjang…
Dan… tertidur.
Saya senyum dan bersyukur.
Kerana seawal subuh, anak ada depan mata, ditempat paling Allah suka
Pernah satu hari…
Dia tak duduk atas riba saya. Sebab dia masuk saf lambat, dia solat tepi orang lain
Selesai solat…
dan tanpa izin… tanpa segan…
Dia baring… atas peha seorang pakcik.
Orang mungkin kata… kurang ajar.
Saya pun terkejut.
Saya nak bangun minta maaf…
Tapi pakcik itu…
angkat tangan perlahan.
Isyarat… “Tak apa…”
Dia tak kejutkan anak saya.
Tak tarik.
Tak pandang pelik.
Dia cuma… biarkan.
Subuh itu, anak saya tidur…
di atas paha orang yang bukan ayahnya.
Dan pakcik itu…
jadi ayah… untuk beberapa selang iktikaf .
Masjid jadi sunyi.
Tapi hati saya… penuh.
Saya pandang pakcik itu.
Dia senyum kecil.
Senyum orang yang faham…
bahawa tidak semua ujian boleh dijelaskan,
tapi semua kasih… boleh dirasai.
Saya terfikir…
Mungkin di mata manusia, anak ini “kurang”.
Tapi di sisi Allah…
Dialah ladang pahala
Dan saya belajar sesuatu pagi itu…
Kadang-kadang kita bawa anak ke masjid…
bukan untuk ajar dia jadi baik.
Tapi untuk Allah ajar kita…
apa itu sabar,
apa itu kasih,
dan apa itu rahmat yang sebenar.
Sebelum balik, saya dukung anak saya.
Masih lena.
Saya bisik perlahan:
“Terima kasih… sebab ajak saya ke taman syurga pagi ini.”
Woha!

No comments: