Jan 20, 2015

Ulasan 3 Buku Keretamayat serentak?

(Ulasan ini di tulis oleh Nurul Nadia, seorang penyemak pruf, dan Entry ini boleh dijadikan link bagi mereka yang bertanya: Buku Encik Hamka berkenaan apa ek? )


SEMUSIM DI SYURGA

Buku ketiga #hamkakeretamayat selepas #permatayanghilangkinidijumpai dan #kamarsutera. Sengaja mengambil pendekatan membaca buku terkini sebelum mengulas dua buku sebelumnya.

Buku paling santai tapi padat dengan isi.

Berulang kali penulis menafikan statusnya sebagai seorang ustaz kerana beliau ternyata hanya seorang pemandu van jenazah!

Ironinya, pengalaman beliau yang meluas memang tidak dapat dinafikan. Pengetahuan yang agak membanggakan tentang Islam khususnya...

Pernahkah kamu ambil tahu tentang sejarah peperangan Islam, sejarah kenabian dan sejarah zaman Rasulullah S.A.W.? Mungkin pernah, ketika zaman sekolah agama suatu masa dahulu. Tetapi, berapa ramai yang benar-benar mengamalkan ilmu tersebut? Jauh sekali bercerita tentangnya pada yang lain.

Penyampaian mesej dalam buku ini jelas untuk mentarbiyah golongan muda dengan bahan bacaan santai dan penuh sinikal! Ramuan tersebut yang menambat hati ramai pembaca.

Konsep catatan diari ini harus dipuji, kerana selalunya diari hanya ditulis berkaitan dengan diri sendiri. Kini, penulis cuba mengupas kisah benar yang terjadi dalam kehidupan seharian...menggunakan nama samaran yang agak mengancam seperti Amir Kasymir, Imam Habib Abid, pak Abu Nisfu, Ustaz Sufi Sufian dan Pakcik Sidik Tasdik.

Secara amnya, isu yang diceritakan ialah tentang pertelingkahan antara umat Islam setempat, sifat takbur masyarakat dan isu yang paling banyak diketengahkan adalah kepentingan akhirat berbanding dunia yang sementara ini seringkali dipandang remeh oleh saudara seagama sekalian. Barangkali mereka terkhilaf, maka teguran sinis ini bakal membuka mata hati untuk berubah ke arah yang lebih baik, inshaAllah.

Sesungguhnya penulis mungkin bukan ustaz, tetapi jasanya memberikan nasihat melalui buku ini perlu dipuji. Cadangan tentang 'Kaunter Tanyalah Ustaz' memang wajar! Golongan muda masa kini perlukan bimbingan bukannya hinaan apabila ingin berubah.

*Penyampaian sememangnya berkesan dengan gaya bahasa pasar yang digunakan setelah mengambil kira kesilapan ejaan yang wujud di dalam buku ini. Hehe. Selamat membaca!

PERMATA YANG HILANG KINI DIJUMPAI


"Kagum dari jauh!"

Frasa yang cukup sesuai menggambarkan perasaan setelah membaca buku ini. Ternyata buku pertama nukilan #hamkakeretamayat ini bukan sekadar buku tanpa pedoman. Buku #kamarsutera dan #semusimdisyurga juga penuh pengisian.

Kisah benar tentang pengalaman hidup seseorang sememangnya mahal. Tidak ramai yang mampu berkongsi, tetapi pembaca dapat membayangkan pengisahan dengan gaya bahasa santai yang diketengahkan oleh penulis.

Kisah benar dan penuh pedoman. Penulis benar-benar menekankan kepentingan solat berjemaah di masjid bagi muslim dan solat pada awal waktu bagi muslimah.

Sesekali penulis turut menyentuh tentang subjek terlarang untuk disebut secara terbuka, namun analogi yang diberikan mempunyai pengajaran yang tersendiri.

Sangat elok bagi para remaja, dewasa baik yang sudah berkahwin ataupun belum membaca buku ini sebagai bahan bacaan tambahan di samping buku ilmuan yang lain untuk mengambil teladan dan tauladan. Para ibu bapa pasti dapat memahami apa yang tersirat di fikiran anak remaja khususnya selepas membaca pengakuan yang ditulis. Walaupun bahasanya adakalanya bernada kasar, mesej disebaliknya dapat disampaikan dengan berkesan.

Setelah membaca, terdetik di dalam hati ini...'Semoga aku berjaya menjadi isteri yang solehah dan mudah-mudahan suatu hari nanti aku dapat menjadi penulis seperti Encik Hamka...eh...'

P/s: Beberapa kesilapan ejaan dikenal pasti, tetapi kerana isinya sangat membina maka tidak rugi membacanya.

KAMAR SUTERA



Tajuk kedua setelah #permatayanghilangkinidijumpai ini diterbitkan kerana permintaan pembaca setelah jualan buku pertama yang terlajak laris. Penulis mengingatkan bahawa kandungan buku adalah untuk mengisi kekosongan plot dalam buku pertama, namun tidak menjejaskan pembacaan sekiranya anda tidak membaca mengikut turutan.

Melihat kepada tajuk, mungkin ramai yang ragu tentang kandungan isinya memandangkan tajuk diadaptasi daripada sebuah buku panduan suami isteri. Namun, tidak perlu gusar kerana intipati buku ini ternyata jelas untuk bimbingan kepada pasangan yang sudah berkahwin kerana segala ceritanya berkisar tentang kehidupan seharian suami isteri. Para pembaca dalam kalangan dewasa yang bercadang untuk berkahwin juga digalakkan membaca kerana terdapat banyak tips persediaan mental yang dihujahkan di dalam buku ini.

Realiti sebenar keharmonian rumah tangga ditelusuri dengan baik oleh penulis.

Puitis tetap ada...disogok dengan lirik lagu dan puisi cinta buat isteri. Woha! Boleh cair hati si perempuan tatkala membaca bait-bait puitis itu.

Tidak lari daripada gaya santai penulis, lawak bersahaja juga diselitkan bagi menghidupkan suasana penceritaan. Apa yang menarik, penulis juga mengambil kesempatan untuk memuatkan cebisan kisah para Nabi juga kisah pedoman dan realiti masa kini yang dapat dikaitkan dengan topic perbincangan. 

Maka, penulisan santai ini menjadi lebih bermaklumat untuk para pembaca.

Ya, mungkin beliau bukanlah ustaz. Mungkin beliau juga masih mempelajari ilmu agama secara mendalam. Akan tetapi, nasihat bagi menghidupkan 'suara Nabi' dalam pembentukan keharmonian rumah tangga amat wajar dipuji. Semoga lebih ramai mendapat manfaat.


*Walaupun buku ini memiliki kesilapan ejaan di sana sini, kandungannya amatlah berkesan serta mesej yang ingin disampaikan itu jelas. Harap maklum Encik Hamka, saya memang akan komen pasal ejaan setiap kali ulasan kerana telahpun terbiasa dengan kerja penyemakan pruf. Hehe.

(di tulis oleh Nurul Nadia di FBnya)
Post a Comment