Dec 3, 2014

Dajjal pun berdakwah?

(Kajian Khas Hamka Keratemayat berkenaan Teori Kospirasi Dajjal dengan bersandarkan hadis-Hadis pilihan, sebuah penemuan yang mengejutkan tentang ummat islam akhir zaman-woha!)

Pada suatu hari, ketika sahabat Nabi duduk berbicara kisah Nabi Muhammad SAW yang telah wafat kepada murid-muridnya yang terdiri daripada para Tabien, maka terbongkarlah akan sebuah kisah bagaimana pernah satu ketika, di zaman hayat Baginda Rasulullah SAW masih dikandung badan, telah muncul seekor serigala kurus di hadapan Nabi lantas mulai berbicara dalam bahasa arab.

Rupa-rupanya, kemunculan serigala itu adalah bertujuan untuk meminta izin dari Nabi agar dibenarkan makan kambing yang dipelihara oleh orang ramai, namun Nabi tidak benarkan mereka memakan kambing yang dimiliki oleh orang ramai, bermakna serigala jika nak makan, pergilah memburu hidupan liar dengan kudrat sendiri, jangan menyusahkan orang ramai terutama orang islam, lalu beredarlah serigala itu dengan kesedihan kerana sukar untuk memburu hidupan liar di pinggir Kota Madinah barangkali.

Tidak lama kemudian, muncullah seluruh keluarga serigala daripada datuk serigala sehinggalah ke cucu serigala dalam keadaan yang kurus kering lalu meminta izin untuk di benarkan makan kambing peliharaan orang ramai, melihat kebuluran yang menimpa keluarga serigala, maka Nabi benarkan mereka makan kambing orang ramai, tapi dengan satu syarat iaitu: hanya kambing yang sesat atau yang terpisah dari jema’ah nya.

Apabila Tabi’in (gelaran untuk orang yang tidak sempat berjumpa Nabi tapi sempat berjumpa sahabat) mendengar cerita ini, mereka semua merasa takjub dan mula menzahirkan niat akan betapa indahnya jika dapat hidup bersama sezaman dengan Nabi SAW menyaksikan peristiwa peristiwa ajaib yang bakal meningkatkan iman.

Tapi sahabat menyatakan, indah itu hanya pada kemanisan iman, kerana kami para sahabat RA pada waktu itu selalu berada dalam keadaan ujian lapar dan ancaman, kami selalu mengikat perut dengan batu, dan tidak lena malam berjaga dari serangan musuh, malahan Nabi Muhammad SAW sendiri mengikat 2 batu di perutnya di atas ujian lapar.

Lalu terbongkarlah kisah penderitaan dan pengorbanan Nabi bersama para Sahabat baginda di zaman permulaan islam.

Diriwayatakan akan kehidupan Nabi Muhammad saw itu, kebiasaanya hidup sehari kenyang dan sehari lapar, Aisyah pernah mengatakan pernah dapur rumah Nabi tidak berasap selama beberapa bulan,

Untuk pengetahuan pembaca,  Nabi berlapar bukan kerana Nabi amalkan diet, atau Nabi muflis, tapi kerana rumah Nabi memang tiada makanan! Langsung! Ini adalah disebabkan oleh sekatan ekonomi daripada orang kafir yang tidak mahu menjual makanan kepada orang islam, hamba yang bekerja dikebun pula, di seksa siang malam kerana memeluk islam. Malahan sekatan ekonomi daripada orang kafir kepada orang islam membuatkan anak anak orang islam, ada yang mati di riba ibu-ibu mereka.

Maka tidak pelik, di waktu pagi apabila Nabi nak breakfirst, isteri baginda cakap makanan takde.
Maka Nabi dan isterinya buat keputusan untuk berpuasa.

Kata Ibnu Abbas r.a lebih kurang maksud:

“Berlapar selama beberapa hari adalah perkara yang menjadi kebiasaan dalam kehidupan keluarga Rasullullah"

Siti Aisyah r.ha pernah di pelawa menghadir majlis makan-makan selepas zaman Nabi, lantas apabila Aisyah menyuapkan makanan ke mulutnya, Aisyah r.aha telah menangis.

Sedang air mata mengalir di pipi, beliau berkata.

“Rasululullah SAW tak pernah makan roti yang sebegini lembut semasa hayatnya bersamaku..”

Aisyah berkata lagi…

“Roti yang biasa Nabi Muhammad SAW makan, adalah roti yang keras dan murah, itupun baginda tidak dapat makan sampai kenyang..(kerana sedikit sahaja yang ada dan sering di bahagi-bahagikan)”

Riwayat lain Aisyah berkata:

“Baginda tidak pernah makan kenyang selama dua hari bertutut turut walaupun dengan roti jagung dalam sepanjang hayatnya sehinggalah kewafatanya”

“Pernah satu hari apabila tiba waktu berbuka puasa, tiada apa apa makanan di rumah kami, melainkan hanya sebiji kurma, maka Rasulullah telah membahagikan kurma itu kepada dua bahagian, satu untuk aku dan satu lagi untuk baginda, dan itulah sahaja juadah kami berbuka puasa.”

Penderitaan ini bukan sahaja di alami oleh Nabi, malahan turut di alami oleh anak kesayangan Nabi Muhammad SAW yang mana pernah sewaktu Nabi ziarah anak kesayangannya Fatimah r.aha, tiga kali bagi salam dan tak ada dengar jawapan, akhirnya untuk salam yang last ada jawapan salam dari fatimah r.aha dengan nada yang perlahan, dan Fatimah r.aha merangkak membuka pintu kerana berada dalam keadaan yang sangat lapar, Nabi menangis, kemudian datang Husin dan Hasan cucu Nabi berlari ke arah baginda dengan harapan adalah makanan yang di bawa, tapi mereka kecewa apabila mendapati baginda SAW datang dengan tangan kosong.

Lalu nabi SAW mencium cucu kesayangannya ;

Seorang cium di perut.

Seorang cium di leher.

Lalu ter’kasyaf’lah Fatimah r.aha akan nasib yang bakal menimpa anak anak nya iaitu seorang akan di bunuh dengan di pancung dan seorang bakal dibunuh dengan di racun.

Nota kepada Mualaf: kasyaf adalah dapat melihat peristiwa hadapan di sebalik dengan izin Allah.

Lalu merayulah Fatimah r.aha kepada baginda dengan linangan air mata agar Nabi SAW menggunakan doa ‘terakhir’ untuk mengubah takdir anaknya.

Nota kepada Mualaf: Setiap Nabi dan Ambia a.s mempunyai doa ‘terakhir’ iaitu doa yang paling makbul yang biasanya para Nabi gunakan untuk memohon Bala Bencana kepada ummatnya setelah berates tahun berdakwah tapi tiada yang ikut malahan menyakitkan jasad dan perasaan Nabi –Rujuk cerita para Nabi.

 Tapi Nabi SAW menolak permintaan puteri kasayangannya kerana telah berniat untuk menyimpan doa ‘terakhir’ tersebut untuk ummatnya di padang masyar.., Oh! begitu cinta sekali Nabi kepada Ummatnya..oh!

Namun aku bukan nak cerita pasal doa terakhir, apa yang aku nak cerita adalah tentang pengorbanan Nabi SAW dan sahabat sahabat RA yang sentiasa dalam keadaan menderita kelaparan dan menderita kesusahan kerana ugama.

Timbul satu soalan, kenapa di rumah Nabi tiada makanan walaupun di Madinah, sebab boikot hanya berlaku di Mekah ketika ummat islam dipulau ke lembah Abu Mutalib?

Kenapa Nabi tiada wang untuk membeli makanan?,

Adakah Nabi tak pandai berniaga?

Hello!

Korang semua yang aku muliakan.

Nabi SAW adalah pedagang yang paling mahir di zaman mudanya, menerima gaji yang paling mahal ketika berniaga di Syam, barang dagangannya cepat habis dan sentiasa mendapat keutungan yang berlipat kali ganda, tapi, itu dulu, sebelum baginda jadi Nabi SAW.

Tapi sebaik sahaja Nabi SAW di lantik menjadi Rasulullah sekalian alam, maka katanya pada isterinya yang menyelimutnya.., lipatlah kain selimut itu, sekarang tiada rehat lagi untukku, maka bermulalah PENGORBANAN dalam kehidupan Nabi SAW dalam membela ugama, seluruh harta benda jiwa raga di korbankan, peluh dan darah di alirkan semata semata untuk menegakkan ugama, seluruh fikiran di tumpukan kepada masalah ummat, tidur sudah menjadi tidak lena, makan sudah tidak lalu kerana begitu risaukan masa depan ummat sekalian alam.

Isteri baginda, Khatijah r.aha yang merupakan jutawan juga akhirnya mati sehelai sepinggang kerana telah berkorban segala galanya untuk membantu agama sehingga mewasiat, tulang tulangnya seandainya diperlukan untuk agama, sanggup di korbankan.

Begitu jugak pengorbanan di kalangan para Sahabat, sebelum islam Abu Bakar r.a ada 8 gedung perniagaan, apa telah jadi pada beliau setelah memeluk islam?

Benar, beliau telah korabankan seluruh hartanya pada ugama dan pernah memakai pakaian yang di buat dari guni dan berbutangkan duri. Sewaktu wafat hanya meninggalkan Allah dan Rasul pada keluarganya.

Saidina Umar r.a pula dihujung hayatnya, hanya memiliki sehelai baju yang bertampal tampal dan satu darinya di tampal dengan kulit binatang.

Pernah berkata Hazrat Abu hurairah r.a setelah membersihkan hidungnya dengan kain yang halus;

“Oh, Abu Hurairah, hari ini kamu membersihkan hidung dengan kain yang halus. Masih aku teringat ketika aku pengsan tidak sedarkan diri di antara mimbar Rasulullah SAW, Orang ramai menekan nekan tengkukku dengan kaki kerana mengikut petua yang kononnya aku terkena sawan, padahal aku sedang menderita kelaparan."

Itu belum aku cerita kisah Mus’ab bin Umair r.a, seorang anak orang kaya yang sentiasa memakai baju berharga 200 driham. Tapi bila masuk islam, beliau telah dibogelkan dan dibuang oleh keluarga, hujung hayatnya, beliau hanya memakai sehelai kain yang koyak rabak dan bertampal. Nabi menangis melihat keadaannya yang begitu daif, apatah lagi ketika Mus’ab bin Umair r.a terbuhuh di medan Uhud, mayatnya hanya di tutup dengan daun-daun pokok kerana tak cukup kain.

Korang semua yang aku muliakan,

Nabi SAW dan para sahabat r.a benar benar telah membuat pengorbanan untuk ugama.

Sehingga Allah telah jadikan mereka ‘asbab’ hidayat seluruh alam, di hujung dakwah Nabi, ketika peristiwa fatal Makah, Islam akhirnya menang dengan terzahirnya peristiwa berbondong bondong manusia telah masuk ke dalam agama islam.

Sebaik perjanjian Huhabiah di meterai, yang mana berlakunya gencatan senjata, maka bolehlah orang islam bergaul dengan aman bersama orang kafir yang mana telah membuka pintu hidayat selebar lebarnya sehingga dimana sahaja penjuru sahabat berada, akan ada orang yang terbuka hatinya pada islam.

Dalam peristiwa Hak, seperti kejujuran berniaga, pengorbanan melayan tetamu, sifat memaafkan, dan saling berlumba membantu orang sekeliling, akhirnya hidayat terus tersebar sehingga tiada lagi orang kafir di bumi Mekah buat selama-selamanya, dan tanah itu telah menjadi haram kepada bukan islam selamanya.

Asbab pengorbanan sahabat yang begitu tinggi, maka bukan sahaja dari perkara HAK hidayat tersebar, tapi daripada perkara batil juga boleh jadi asbab hidayat.

Contohnya kisah yang diriwayatkan oleh Abu Sa'id, kisah bagaimana seekor serigala kurus telah mengejar seekor kambing dan menangkapnya, lalu si pengembala yang bukan islam mengejarnya dan menarik kambing tersebut dari cengkamannya. Tapi tiba tiba Serigala itu berkata dalam Bahasa arab:,

"Apakah kau tidak takut kepada Allah? Mengapa kau ambil paksa dariku rezeki yang telah diberikan Allah kepadaku?”

Terus pengembala itu berkata: "wah, hebatnya, serigala boleh bercakap?"

Dengan selamba serigala menjawab: “ada berita yang lebih hebat, nun di Madinah, telah lahir Nabi akhir zaman”

Terus si pengembala pergi ke Madinah, dan akhirnya masuk islam.

Tuan tuan para pembaca yang saya muliakan, Asbab pengorbanan Nabi dan sahabat yang begitu tinggi, maka bukan sahaja dari perkara HAK hidayat tersebar, tapi dari perkara BATHIL, contohnya binatang seperti serigala pun boleh ‘berdakwah’ kepada islam.

Tak cukup BATHIL lagi dakwah dari serigala? Aku bagi cerita lain yang lebih gempak.

Suatu hari ketika Rasulullah SAW sedang bersama Ali bin Abu Thalib dan beberapa sahabat lain, datanglah seseorang dari kabilah Bani Amir bernama Ghassan bin Malik yang berkata:

 “Mahukah engkau wahai Muhammad menyampaikan semua perintah Tuhanmu atau aku yang menyampaikan perintah berhalaku?”

Rasulullah SAW menjawab, “Aku yang akan menyampaikan perintah Tuhanku.”

Baginda kemudiannya menyampaikan wahyu dan perintah Allah kepadanya lalu masuk islamlah akan Ghassan..

Setelah itu Ghassan bin Malik berkata, “Kami dari kabilah Bani Amir mempunyai sebuah berhala yang kami sembah setiap hari. Suatu hari, berhala kami telah berkata: “Wahai manusia, telah diutus nabi yang jujur di Madinah”

Tuan tuan para pembaca yang saya muliakan, Asbab pengorbanan Nabi dan sahabat yang begitu tinggi, maka bukan sahaja dari perkara HAK hidayat tersebar, tapi dari perkara BATHIL, contohnya berhala pun boleh ‘berdakwah’ kepada islam.

Tak cukup BATHIL lagi dakwah dari berhala? Aku bagi cerita lain yang lebih gempak gila. Ha ha!

Tersebutlah akan kisah sahabat Nabi yang bernama Tamin Dari r.a seorang pengembara yang terdampar di sebuah pulau dan bertemu dengan makhluk yang berbulu tebal sehingga tidak tahu jantan ke betina, dan makhluk itu membawanya berjumpa Dajjal.

Lalu Dajjal bertanya:

“Apakah buah tamar di tanah arab masih berbuah?

“Apakah air tasik di tanah arab masih mengalir?

Apabila Tamin r.a membenarkan kata-kata Dajjal, maka Dajjal bagitahu bahawa dia akan muncul apabila buah tamar dan air tasik tanah arab menjadi kering, kemudian kata Dajjal, beruntunglah sesiapa yang mengikut Nabi Muhammad SAW di Madinah, kerana akan terselamat dari fitnah Dajjal.

Korang semua yang aku muliakan sekalian.

Dajjal adalah sebesar besar batil dalam dunia ini, tapi asbab pengorbanan Nabi dan sahabat RA, Dajjalpun jadi asbab hidayat(buat dakwah)

Kadang kadang muncul syaitan di hadapan nabi lalu ‘mengajar’ ugama dengan memberitahu siapa musuhnya dan siapa kekasihnya (rujuk ustaz)

Kenapa sampai jadi macam tu?

Kerana Pengorbanan mereka terhadap ugama begitu dahsyat sekali, ikat perut kerana ugama, berpeluh dan letih kerana ugama, dan menitiskan darah serta air mata kerana ugama!

Seorang sahabat ketika hendak di bunuh oleh seorang raja kapir telah menangis sambil berkata: aku menangis bukan kerana takut mati, aku menangis kerana aku hanya ada satu nyawa, seandainya aku mempunyai nyawa sebanyak bulu roma di badanku…maka, satu demi satu akan ku korbankan untuk ugama!

Nabi SAW telah mengajar Sahabat RA membuat pengorbanan ke atas ugama sehingga mereka tak sempat nak majukan dunia mereka, tapi Allah telah buka pintu kemenangan yang mana akhirnya berbondong bondong manusia dari seluruh dunia telah kembali kepada Allah..

Ketika baginda wafat, Fatimah r.a telah pergi melihat mayat baginda SAW, lalu mengusap mata baginda dan berkata:

“inilah mata yang tak pernah lena kerana ummat”

Kemudian, mengusap perut baginda dan berkata:

“inilah perut yang tak pernah kenyang kerana ummat”

Kemudian, mengusap badan baginda dan berkata:

“inilah badan yang tak pernah rehat kerana ummat”

Pendek cerita, asbab pengorbanan Nabi dan sahabat, akhirnya, serigala, berhala, syaitan dan dajal pun ‘berdakwah’ kepada islam.

Namun kita hari ini, apabila ummat islam termasuk aku tidak membuat pengorbanan ke atas ugama, melalui perkara Hak pun hidayat boleh tersekat, jika dulu Dajjal sebesar besar batil pun boleh buat ‘dakwah’, tapi hari ini orang islam, manusia terpilih, ummat terbaik pula yang telah menghalang dakwah!

Ada ustaz dan ulamak yang menghalang dakwah pintu ke pintu, menghalang orang beriktikaf di masjid, menghalang dakwah sesama islam. Adohai..

Dalam masjid hari ini, ada orang islam yang bergaduh, dalam parti islam, ada pecat memecat, dalam majlis ilmu boleh caci mencaci, menkafirkan orang dan mendoakan bala, dalam majlis membaca Al-quran pun masih ada unsur maksiat, menyebabkan manusia makin jauh dari hidayat Allah, malahan ada yang lari dari pangkuan Allah(murtad).

Maka aku berpesan kepada diri sendiri dan juga para pembaca, jadikanlah diri kita sebagai asbab hidayat, bukan sebagai penghalang hidayat.

Untuk menjadi asbab hidayat, kita perlu tambah pengorbanan.

Tapi apa itu pengorbanan?

Sebenarnya, aku dan korang, belum lagi buat apa apa pengorbananpun, tak payah nak berlagaklah, kerana korban adalah di kira selepas kamu tunaikan HAK.

Sebagai contoh, solat jemaah adalah HAK ugama, mereka yang pergi solat jemaah baru tunaikan HAK ugama, Korban adalah apabila korang bangun malam solat tahajjud misalnya

Contoh lain, kalau kita bagi minum air pada orang yang dahaga, itu baru di kira sebagai menunaikan Hak mereka yang kehausan, tapi sekiranya kita jugak dalam keadaan dahaga, tapi masih bagi orang lain minum air itulah yang di katakan pengorbanan.

Dan itulah yang berlaku di zaman Nabi SAW dan sahabat RA, cerita seperti menjamu tetamu dengan membiarkan anak-anak mereka tidur kelaparan, cerita kepala kambing, mengikat perut kerana ugama dan lain lain itulah yang di katakan korban mereka kepada Allah,

Korban mereka tinggi, walaupun mereka tahu pahala solat di masjidil haram dan masjid Nabawi adalah digandakan ratusan ribu kali ganda, tapi mereka tetap buat pengorbanan dengan meninggalkan anak isteri dan kampong halaman berdakwah ke suluruh pelusuk alam sampai ke india dan cina!

Sesungguhnya, kubur kubur sahabat Ra telah bertebaran ke suluruh dunia hingga sampai ke negera Russia, mereka telah benar benar berkorban dan terkorban.

Aku hari ini, Bukan nak cakap pasal Korban, tunaikah Hak ugamapun belum lagi, Apa kejadah?

Sebagi contoh: aku belum menunaikan Hak Solat, Yang mana aku wajib solat jemaah dan solat sunnat dan solat tahajjud tapi aku kadang kadang just solat wajib sahaja, itupun dengan sambil lewa, acuh tak acuh!

Hampeh kepada diri sendiri!

Aku juga belum menunaikan Hak Al-Quran, Yang mana aku wajib Khatam Al-quran paling kurang 2 kali setahun tapi aku biarkan masa lapangku dengan baca komik, baca whatsapp, baca FB dan baca blog? 
Adohai..

Aku juga belum menunaikan Hak Zikir, Yang mana aku wajib berzikir pada waktu pagi dan petang iaitu waktu yang di haramkan solat, waktu pergi kerja dan balik kerja tapi aku dalam kereta suka dengar radio dan update lagu popular arghh! cukupkah jika aku sekadar ber’zikir’ dengan lagu nashid? Hempeh!

Aku juga ternyata belum lagi menunaikan Hak dakwah, Yang mana aku wajib ajak orang kapir masuk islam dan ajak orang islam amal ugama tapi aku msih bersenang lenang dalam hangatnya pelukkan isteri di kedinginan malam di musim tengkujuh, isk isk..

Tunaikan Hak Ugamapun Belum Lagi, Apatah Lagi Korban! Apa kejadah?
.
.
.
.
.
Pengsan!

Ps: Penulis ditemui pengsan depan komputer, dengan mulut terkumat kamit menyebut: "aku kat mana? aku kat mana? Woha!

(Nasib baik belum mati, sempatlah beliau bertaubat, kemudian mudah mudahan dapatlah beliau tunaikah hak agama, lalu belajar bekorban. Pesan pada diri sendiri rupanya. Adohai.)
Post a Comment