Feb 13, 2018

Bagaimana "MENGUBAH" Takdir

(Tiga perkara yang boleh "mengubah" takdir.., InsyaAllah)

Dulu masa aku belajar agama, ada satu silibus penting iaitu; BETULKAN FIKIR.

Biasa bila sampai masjid, ustaz akan suruh betulkan fikir kerana apa yang kita fikir, itu yang akan kita dapat. Ustaz kata jangan fikir nak cari salah orang, tapi fikir nak baiki diri dengan serah diri pada perintah Allah.

Aku pada mulanya tak tahu macam mana nak betulkan fikir, lalu kawan aku cakap, dia pernah waktu duduk di masjid fikir nak makan kuda, tiba tiba kuda melintas jalan, eksiden!, cedera dan disembelih, lalu daging kuda di beri kepada Jemaah masjid, dapatlah dia makan daging kuda buat pertama kali dalam hidupnya..

Aku masa tu anggap kebetulan jer tu, lalu aku fikir nak makan jagung rebus, lama aku fikir, petang tu orang kampung datang bagi jagung rebus, wow!

Lepas tu aku fikir nak makan durian, tak dapat terus, tapi esoknya dapat! Orang kampung datang bagi pada aku yang sedang iktikaf di masjid. Lepas tu aku fikir nak makan daging itik sebab lama dah tak makan, tak dapat terus, dalam tiga hari akhirnya ada orang tiba tiba bagi aku makan daging itik!

Bila aku cerita pada ustaz, maka ustaz tegur aku:

“Hamka! Jangan fikir tentang makanan, jika fikir tentang makanan, makananlah yang kau dapat. memang manusia di beri kuasa Fikir, Manusia fikir atas besi, besi boleh jadi kapal laut, fikir lagi atas besi, besi boleh jadi kapal terbang. Orang kaya fikir tentang wang, bisnes menjadi semakin maju, orang miskin fikir tentang salahkan orang lain, akhirnya semakin miskin! Gunakan kuasa fikir di jalan yang benar!

Formula formula matematik yang ditemui itu pun berkat fikir manusia, teknologi-teknologi sains yang manusia cipta adalah berkat fikir dengan sungguh sungguh! Betapa hebatnya fikiran manusia. Fikir apa sahaja, kemudian, ia boleh terjadi. Ini Sunnatullah!

Jadi, kenapa kamu tak manfaatkan fikiran kamu yang hebat itu untuk fikir atas agama? Jika fikir atas benda dunia pun menjadi, maka fikir atas agama pun, mesti jadi! Sampai masjid kita kena bawa lari dari fikir dunia kepada fikir akhirat. Kita sebagai orang Islam, fikir kita kena betul. Jika banyak fikir dunia, maka dunialah yang akan maju. Cuba kita ubah kerisauan kita daripada kerisauan dunia kepada akhirat... insya-Allah, kita akan berjumpa jalan-jalan ke arah akhirat. Nabi fikir tentang ummat, akhirnya agama tersebar dan ramai ummat dapat hidayah!"

Panjang aku kena ceramah dengan ustaz tentang JANGAN SALAH GUNA KUASA FIKIR, tapi memang betulpun apa yang ustaz cakap, masuk akal sebab apa yang ustaz tu cakap sebijik macam LAW OF ATTRACTION yang terkenal di Barat.

Aku waktu itu memang ada baca buku HOW LIFE WORKS oleh Andrew Matthew, yang bincang bab “Law of Attraction”, atau dalam Bahasa melayu, hukum tarikan.

Iaitu REAKSI FIKIRAN kita akan menghantar gelombang kepada alam semesta dan akan menarik AKSI KEJADIAN selari dengan gelombang otak.

Katanya, Jika kita berfikiran ceria, maka nasib yang untung akan tiba, tapi jika kita berfikiran murung, nasib malang akan menimpa. Begitu lebih kurang.

Kata pengarang, dia bergaduh dengan isterinya, lalu isterinya bengang dan pandu kereta hingga sampai di lampu traffic light warna merah, isterinya berhenti sambil tunggu lampu hijau, tiba tiba kereta lain datang dan langgar isterinya. Katanya bencana datang sebab isterinya sedang menghantar gelombang kesedihan pada alam semesta.

Waktu lain, kata pengarang bila dia susah hati, semua benda tak jadi, tapi bila dia senang hati, semua yang di buat-menjadi! Inilah kuasa fikiran yang boleh mengubah takdir!

Jadi, dalam konsep “Law of Attraction” di Barat, Mereka percaya gelombang positif dari otak akan mengundang takdir positif dalam hidup yang dikuasai alam semesta, dan gelombang negatif dalam otak juga akan mengundang takdir negatif dalam hidup, cuma mereka tak merujuk kepada kuasa Tuhan, tapi merujuk kepada kuasa alam semesta sebab mereka tak percaya pada TUHAN tapi percaya pada kuasa alam semesta dalam bab kuasa fikir.

Mereka juga percaya bahawa semua dalam alam ini saling berhubung dengan manusia, dan mereka juga percaya dengan kuasa doa dan niat! (sebijik macam ajaran islam!)

Siap mereka percaya, jika fikirkan orang lain ditimpa bencana, maka bencana akan timpa kita! wow!

Jadi jika korang ada baca buku The Secret dan Law Of Attraction maka yakinlah kita bahawa asas kefahaman kedua buku tersebut telah diajarkan oleh Nabi Muhammad 1400 tahun yang lalu. Jadi kita tak payah nak ikut Hukum TARIKAN ini dalam bab ‘mengubah’ takdir sebab mereka takde Tuhan, boleh pulak berdoa kepada Alam Semesta! adohai..,

Jadi mari kita balik ke pangkal jalan kerana semua ini sudah ada dalam Islam dalam bab kuasa fikir:

Firman Allah “Aku mengikuti sangkaan hambaKu padaKu, jika sangkaannya baik maka baiklah yang didapatkan, jika sangkaannya buruk maka buruklah yang didapatkan.

Tempat lain Allah berFirman: “Mintalah kepadaku niscaya kuperkenankan bagimu”.

Maka yakinlah kita bahawa Allah memberi kita KUASA FIKIRAN yang boleh ‘mengubah’ TAKDIR ALLAH, Kuasa itu ada dalam FIKIR, NIAT dan DOA.

Dengan tiga perkara ini, kita boleh ‘mengubah’ takdir dari sudut padangan kita.

Note: di sisi Allah semua takdir telah tertulis, di sisi kita, belum tahu apa takdir yang di tulis, maka usaha perlu dibuat untuk ‘mengubah’ nasib tapi dengan yakin yang betul bahawa segalanya telah ditakdirkan.

Dalil Allah suruh ubah Nasib:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka”

Jadi bagaimana nak ubah?

Guna kuasa fikir, niat, dan doa:

Allah berfirman: Aku bersama sangkaan hambaku padaku, dan aku menyertainya ketika ia telah berdoa pada ku.

“Setiap orang akan memperoleh sesuai dengan apa yang ia niatkan” (HR Bukhari Muslim)

“Aku mengikuti prasangka hambaKu, jika prasangkaannya baik maka baiklah yang didapatkan, jika prasangkaannya buruk maka buruklah yang didapatkan.” (Hadits Qudsi)

Maka fahamlah kita, dengan betulkan FIKIR, betulkan NIAT, dan Betulkan DOA, maka takdir akan berubah daripada takdir yang tidak baik kepada Takdir yang lebih baik!

Sebab tu Nabi gunakan kuasa FIKIR nya untuk risau kepada Ummat, Nabi NIAT untuk selamatkan semua Ummat, dan Nabi DOA siang malam untuk selamatkan Ummat hingga berbondong bondong orang masuk islam, tapi bukan semua sebab hidayat ditangan Allah, dan inilah takdir.

Akhir kata:

Kita adalah apa yang ada dalam fikiran kita, dan fikiran kita akan menarik apa yang kita fikir, jika kita takutkan hantu, maka semua benda nampak seram, dan ada peluang untuk berjumpa dengan hantu walaupun itu hanyalah kain putih ditiup angin, bunyi kucing bersetubuh pun kita akan sangka suara puntianak bila terlalu fikirkan hantu! Adohai.

Tapi jika kita fikir tentang nikmat Allah, lalu bersyukur, Allah akan tambah nikmat, jika kita mengeluh, maka hidup akan menjadi lebih susah, jika kita sangka baik, maka takdir baik akan berlaku, sungguh Allah tak akan ubah nasib kita jika kita tak berusaha, sebab tu Nabi fikir risau ummat, dan berdakwah sungguh sungguh pada ummmat dan Yakin bahawa rezeki serta Hidayat milik Allah.

Hasil kerja kita adalah takdir Allah tapi kita kena berusaha dan bertawakkal sebelum takdir itu berlaku.

Wahai hati, apa yang sedang kamu rasa? Bertenanglah dan pergilah berjumpa dengan Tuhanmu Bersama hati yang tenang!

Amin.

Post a Comment