Sep 13, 2016

Pesanan kepada Haji?

(Pesanan kepada sahabat yang terpilih pergi Haji-Tahniah!)

1. Sesungguhnya bila korang pergi Haji maka ketahuilah, bahawa korang dah tiba di tempat yang mana teramatlah sangat mustajab akan doanya, di sana, Taubat manusia pertama di terima, maka di mana sahaja penjuru Mekkah dan Madinah, atau di antaranya, bertaubatlah dengan bertalu-talu, dan jika teringat, sertailah nama aku dalam Taubatmu.. Sesungguhnya Taubat itu penting, dan lebih penting lagi di waktu mengerjakan Haji.

2. Sesungguhnya, Nabi Ibrahim a.s tidak di perintahkan untuk meninggalkan anak isteri begitu sahaja di Mekkah. Tapi di tinggalkan di tempat yang tiada orang, di tengah padang pasir, dan di tempat yang tiada air, Itupun setelah bertahun lamanya menunggu anak pertama lahir, namun dalam ketaatan kepada Allah, di tinggalkan juga sedang si anak masih menyusu. Itupun bukan 40 hari, tapi bertahun tahun lamanya. Namun TAAT mengatasi segalanya. Setelah 10 tahun berlalu, kepulangan Nabi Ibrahim a.s di sambut gembira anak dan isteri., namun janganlah kamu mengaku beriman sebelum kamu di uji. Dan ujian TAAT telah bermula dan terus bemula. Ketahuilan, Nabi ibrahim a.s tidak diperintah untuk sembelih seekor binatang tapi diperintah untuk sembelih seorang manusia, bukan sebarang manusia, manusia itu adalah anak dia, anak itu bukan ada adik beradik yang lain, anak tunggal dari ibunya, dan baginda taat melakukannya. Maka di mana sahaja penjuru Mekkah dan Madinah, atau di antaranya, Taatlah akan segala peritah Allah dengan bertalu-talu., Taatlah waktu solat jemaah, waktu haji dan Umrah. Sesungguhnya Taat itu penting, dan lebih penting lagi di waktu mengerjakan Haji.

3. Di tanah Suci Kota Mekkah itu, telah ternukil cerita tentang manusia-manusia yang Redha, lihat betapa redhanya isteri Nabi Ibrahim a.s dalam ujian mencari air., lihat betapa redhanya Nabi Ismail a.s dalam ujian di sembelih.. yang mana akhirnya muncullah peristiwa Safar dan Marwah, merejam syaitan, dan ibadah korban. Maka di mana sahaja penjuru Mekkah dan Madinah, atau di antaranya, Redhalah akan segala kesusahan dan keperitan dengan bertalu-talu..., Redhalah dengan cuaca, rezeki, dan karenah manusia, Sesungguhnya Redha itu penting, dan lebih penting lagi di waktu mengerjakan Haji.
4. Beribadat di Masjidil Haram di Mekkah bersamaan 100,000 kali ganda, bersolat di masjid Nabawi di Madinah bersamaan dengan 1000 kali ganda, dan bersolat di masjid al-Aqsa bersamaan dengan 500 kali ganda, maka jangan ponteng solat jemaah. Sesungguhnya Solat Jemaah itu penting, dan lebih penting lagi di waktu mengerjakan Haji.

5. Saidina Umar R.a ketika ditanya perbuatannya mencium hajarul aswad, maka beliau menjawab: “Kau hanya sebuah batu yang tidak mempu memberi faedah dan mudarat, kalau bukanlah kerana Rasulullah mengucupnya, sudah tentu aku tidak akan mengucupnya” Ini jelas menunjukkan bahawa para sahabat melakukan ibadat mengikut teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah tanpa menokok tambah berdasarkan akal semata-mata. Maka jika korang tengok ada yang berjalan ke Arafah dan tidak naik bas macam korang, maka ketahuilah mereka sedang ikut sunnah, atau apa sahaja amalan yang korang nampak kono dan sebagainya, jangan komplen dan kutuk.. Atau korang rasa meluat tengok ada orang yang menangis bagai nak rak dekat kubur Nabi, sedang korang cool sahaja, biarlah mereka menangis, korang tak tahu bagaimana cintanya mereka pada Nabi, dan jika teringat, sudilah kiranya sampaikan salamku dengan melafaz namaku di hadapan Kubur Nabi SAW.

6. Rasulullah S.A.W telah menyempurnakan semua rukun dan wajib haji dengan akhlak terpuji, Maka di mana sahaja penjuru Mekkah dan Madinah, atau di antaranya, Berakhlaklah, Sesungguhnya Ahlak itu penting, dan lebih penting lagi di waktu mengerjakan Haji.

7. Bagi yang pergi Haji atau tidak, janganlah kita lupa akan pesanan nabi di waktu menunaikan haji wida, agar supaya semua ummatnya mengerjakan kerja Dakwah. Rujuk khutbah terakhir Nabi yang menyuruh sampaikan pesanannya kepada seluruh alam, pesan Nabi: "Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."

8. Balik haji jangan merajuk orang lupa panggil dengan gelaran haji atau hajjah. Hidup ini singkat sahaja. Huhu.


Sampai sini dulu. Selit namaku dalam doamu jika teringat. Hamka keretamayat.

2 comments:

Anonymous said...

Amin...n azam naik hj...terlebih dahulu..nak kna buka akaun hj

Hamka Kereta Mayat said...

buka akaun tabung haji, zahirkan niat, amin. :)