Jul 24, 2025

Bil TNB 22 ribu?


Isteri saya bakal kerugian RM23 ribu..,

Alkisahnya, isteri saya ada rumah sewa. Tiba tiba dapat surat TNB mendawa pemilik rumah “mencuri” elektrik selama lima tahun. Jumlahnya bukan sedikit—RM22,762.20
Rupanya, ada salah sorang penyewa usik meter sejak zaman PKP lagi, membuatkan bayaran bil rendah tanpa kami tahu kadar penggunaanya, dan TNB baru maklumkan kepada kami selepas lima tahun?!, dan minta kami bayar RM22 ribu itu, dalam masa kurang dua tahun!
Buat pinjaman peribadi 20k pun anjak sampai 10 tahun, baru mampu bayar ini kan nak bayar RM22k dalam masa 18 bulan?
Kami segera ke pejabat TNB, katanya nama meter atas nama isteri, surat peguam mungkin akan menyusul jika tidak bayar hutang. Aduhai..
Masalahnya, kami tak tahu ada orang usik meter, atau curi elektrik, jika TNB bagitahu awal, sudah pasti segera kami membayarnya.
Untuk rekod, pada tahun 2022, selepas habis PKP, isteri saya mendapat mesej dari TNB bahawa elektrik akan dipotong jika tidak di bayar pada 9 Nov 2022, Ketika itu isteri sedar bahawa dia diuji mendapat penyewa yang bermasalah, yang mana penyewa tidak membayar sewa rumah hingga mencecah RM5000, dan tidak membayar bil air, (RM478) dan tidak membayar bil elektrik RM570 pada waktu itu.
Setelah gagal membayar sewa, Penyewa akhirnya keluar kerana rumah sudah tiada air dan elektrik, dan isteri saya telah membayar semua bil air (RM478 pada 10 jan 2023) dan elektrik (RM570 pada 10 Jan 2023) agar dapat dihuni oleh penyewa seterusnya, akan tetapi alangkan baiknya, jika pada waktu itu, Januari 2023, waktu TNB sambung meter, terus pihak TNB dapat mengesan usikan meter sewaktu isteri saya menjelaskan bil tertunggak dari penyewa bermasalah, kerana akhirnya isteri saya yang terpaksa menanggung hutang sedangkan perkara ini adalah diluar kuasa isteri saya, dan bukan kemahuan isteri saya, malah tiada sesiapun yang inginkan kejadian seperti ini.
Secara logiknya, rumah sewa yang mana pembayaran bil adalah tanggung jawab penyewa, dan tiada kena mengena dengan kami, maka apalah kepentingan kami untuk membiarkan perkara yang salah di sisi undang undang ini berlaku dalam hidup beragama?. Saya tidak untung apa apapun dari tindakan ini. Malahan berdosa jika melakukannya.
Ada juga pihak jiran mendakwa rumah mereka pun kena sama macam saya, seolah ada pihak yang menawarkan khidmat curi eletrik agar jimat bayar bulanan, hingga sekarang ini semua kejiranan kami sedang di siasat dari rumah ke rumah bimbang ada berlaku juga.
Elok siasat siapa yang lakukan, jika ada gerakan macam tu, hukum pelaku bukan mangsa.
Jadi sekarang apa perlu kami buat?
Esok kami akan dipanggil TNB untuk bincang cara bayaran dan lain lain.
Isteri telah buat laporan polis bagi menafikan sebarang keterlibatan secara langsung atau tidak langsung dalam perbuatan tersebut kerana meter diluar rumah dan siapa siapapun boleh usik apatah lagi kami tidak duduk di rumah itu.
Untuk makluman, Sehingga hari ini, penyewa pada Tarikh usikan meter masih belum membayar hutang sewa kepada kami sebanyak RM4000, belum di kira kerosakan rumah dan kini dengan beban hutang elektrik RM22 ribu, adalah mustahil jika penyewa itu ingin memberi kerjasama kecuali Allah bukakan pintu Hidayat.
Saya doakan penyewa bermasalah itu diberikan hidayah menjadi orang bertakwa yang sangat takutkan azab api neraka hingga berusaha sedaya upaya melunaskan hutang sebelum mati agar dia, TNB dan kita semua dapat masuk syurga tanpa ada hutang sesama makhluk
Pengajaran buat semua tuan rumah, kami akui khilaf kerana jika buat sewa, sebaiknya tukar nama meter atas nama penyewa, tapi kami tak pernah terfikir akan ada orang sanggup susahkan orang lain, demi periuk nasi sendiri. Tapi begitulah hidup, bukan semua tempat kita untung, akan ada tempat kita rugi sebab ianya diluar kawalan kita.
Paling penting, waktu untung kita bersyukur, dan waktu rugi, kita bersabar. Semua ujian dari Allah.
Doa, usaha, ikhtiar, dan Tawakal.., InsyaAllah.
Akhir sekali Siapa ada pengalaman waktu bincang dengan pihak TNB akan Tips dan nasihat? Mohon share? Atau ada pernah lawan guna peguam? Berbaloi ke? Boleh menang ke? Mohon share.
Terima kasih atas semua nasihat dan pandangan…

Jul 16, 2025

Kereta Mayat Kena saman?


Tadi saya hadir ke Mahkamah Kuantan.

Pertama kali datang sini, besar dan selesa tempatnya, dari jauh nampak macam masjid sebab ada kubah

Saya ke sini sebab kecuaian tak memperbaharui cukai jalan dan insurans kereta yang saya bagi kat anak saya.

Sejak pakai road tax digital, dah tak perasan, ianya dah tamat tempoh. Salah saya.

Nak dijadikan cerita..

Anak pinjam kereta, nak ambik adik di Universiti, dijalanan anak kena saman JPJ.

Dapat la dua saman, tamat insurans, juga tamat road tax.

Oleh kerana “kereta mayat” atas nama saya,

Jadi, saya yang tak drive pon kena saman sekali. Begitu lah undang undang bab ini bagi mereka yang belum mengetahui

Sungguh anak pun betul betul tak perasan, jika anak saya tahu bahawa cukai jalan dan insurans sudah tamat tempoh, dia langsung tidak akan memberanikan diri nak menggunakan kereta tu.

Nak buat macamana?, bukan semua tempat kita akan untung, ada tempat kita rugi, dan semua itu ladang pahala bagi mereka yang bersyukur dan bersabar.

Alkisahnya, Awal pagi kami dah sampai di mahkamah sekitar jam 8 pagi.

 Orang dah penuh depan kamar perbicaraan.

 Di sana, kami berjumpa dengan seorang pegawai polis dan terus beliau minta IC dan salinan saman.

 Selepas registered, dia menasihati kami untuk mengaku salah jika rasa bersalah akan pertuduhan yang dikenakan.

 Dan dia juga ajar kami untuk merayu paling kurang pun tiga patah perkataan, “saya mahu hukuman terendah” begitu ajarnya.

 Lepas tu dia suruh kami semua pergi sarapan dan datang semula jam 9.30 pagi.

 Selesai sarapan, kami datang dan pegawai tadi pun panggil nama sorang demi sorang masuk kamar biacara.

 Masuk dalam kumpulan seramai 25 orang.

 Pegawai tu cerita ada enam hentian awak kena lalui, pertama tunggu depan pintu bicara kat sini, jangan buat bising

 Kedua, apabila nama dipanggil, sila masuk bersama etika mahkamah.

 Ketiga duduk dalam mahkamah tak boleh bercakap dan tak boleh bermain telefon

 Ke empat akan di panggil masuk ke kandang bersalah dan dibicarakan serta dijatuhkan hukuman

 Kelima, kena tunggu depan bilik bayaran dan tunggu nama dipanggil sekali lagi.

 Ke enam, bila nama dipanggil, Sila masuk bilik bayaran, jika tiada duit akan masuk penjara. Jika ada duit, bayar dan boleh meneruskan kehidupan masing masing.

 Fuhhh, enam hentian saya kena tempuh hari ini.

 Saya pun tunggu dihentian pertama sampai jam 12 tengah hari, tapi nama belum di panggil, fuhhh, ramai gila manusia kena saman hari ini.

 Bayangkan padang Mahsyar yang mana lautan manusia punya lama, untuk ke syurga atau neraka lagi dahsyat mahkamah akhirat.

 Eh? Alhirat nanti pun ada enam hentian Korang tahu tak?

 Hentian Pertama: Kubur — taman syurga atau lembah neraka?

 Sabda Nabi ﷺ:

Kubur itu sama ada satu taman dari taman-taman syurga, atau satu lubang dari lubang-lubang neraka.”

(HR. Tirmizi)

 Hentian Kedua: Telaga Nabi — Di Halau Atau Dijamu?

 Waktu dibangkit nanti, Nabi ﷺ tunggu kita di Telaga Kauthar.

Siapa minum sekali, takkan dahaga selamanya.

Tapi…

Ada juga yang dihalau dari telaga. Siapa?

Mereka yang hidupnya membenci Nabi.

 Sabda Nabi ﷺ:

Akan datang suatu kaum, aku kenal mereka dan mereka kenalku, tapi mereka dihalau dariku.”

(HR. Bukhari & Muslim)

 Nauzubillah… Jangan sampai kita dihalau. Kat dunia dah penat kena saman waktu Road block , inikan pula kena block dengan Nabi?

 Hentian Ketiga: Di Bawah Arasy — Golongan VIP Akhirat

 Tengah-tengah orang berpeluh, menangis, bergelumang dosa, ada juga yang rileks duduk bawah Arasy Allah — golongan yang dapat “naungan VIP”. Tujuh golongan (lain kali saya cerita)

 Hentian Keempat: Mahkamah Allah — Ambil Buku Catatan

 Sampai masa, buku amalan keluar.

Yang dapat dengan tangan kanan — tersenyum bahagia.

Yang dapat dengan tangan kiri — menangis sampai perut terkorek.

Jangan lupa…

Ada tiga jenis mahkamah akhirat:

1️ Mahkamah orang kafir — tentukan azabnya

 

2️ Mahkamah dosa dengan Allah — peluang dapat rahmat

 

3️ Mahkamah dosa sesama manusia — habis semua pahala dibayar

 

Paling pedih bila… Si mati syahid pun sangkut sebab hutang tak bayar.

Maka apatah lagi kita yang berdosa? Lepas tu jika ada hutang kawan tak bayar akan sangkut kat sini.

 

Hentian Kelima: Mizan — Timbangan Amal

 

Dosa dan pahala ditimbang.

Ada dosa yang ringan tapi berat ditimbang.

Ada pahala yang sedikit tapi berat timbangannya. Semua bergantung pada ikhlas dan niat.

 

Masa ni… barulah menyesal tak ikhlas sedekah, menyesal bercakap lebih, menyesal buat content mengumpat , menyesal itu ini

 

Hentian Keenam: Sirat — Lulus Masuk Syurga, Gagal Masuk Neraka

 

Semua orang akan lalu Titian Sirat.

Ada yang laju macam kilat.

Ada yang merangkak macam cacing.

Ada yang terjatuh — terus masuk neraka!

 

Semoga kita antara yang lulus masuk syurga tanpa hisab.

 

Belum cerita bab Nabi bagitahu bahawa ramai orang miskin masuk syurga awal sebab orang kaya sedang dihisab hingga ada sahabat Nabi yang kaya bermimpi beliau masuk syurga dalam keadaan merangkak kerana banyaknya hisab.

 

Nabi juga cerita orang perempuan ramai masuk neraka sebab tak bersyukur !

 

Eh? Dah lama saya menulis depan kamar mahkamah ini tapi nama saya belum dipanggil, jam dah 12 tengah hari!

 

Tiba tiba perut lapar, terus telefon isteri minta hantar makanan, isteri datang bawa roti bakar dan teh tarik, Alhamdulillah.

 

Tak lama masuklah waktu zohor terus saya, isteri dan anak pergi cari surau, sangkaan kami surau penuh sebab ramai lagi orang sedang tunggu giliran masuk kandang bersalah.

 

Tapi surau kosong, dan ada sorang brother tu sedang angkat takbir rakaat pertama diruangan imam, saya dan anak terus ambil wudhu dan solat bejemaah bersama brother tu, sedih juga punyalah ramai manusia kat luar, tapi tiga orang jer yang sudi solat awal waktu sampai kami habis salam.

 

Selesai solat tiada orang lain pun pergi surau padahal dekat jer bilik mahkamah tu dengan tempat wudhu, sangka baik! mereka semua adalah musafir yang niat jamak takhir.

 

Elok lepas solat nama saya dan anak dipanggil pegawai bertugas.

 

Nebes jugak sebab First time kami masuk kandang bersalah. Biasa dapat tengok dalam Movie jer, He He He

 

Oh yer, Dress code kena check dulu, selipar tak dibenarkan, baju kena berkolar, beg sandang tak boleh, telefon kena off dan sebagainya.

 

Sebelum tu, Pegawai register tanya juga, ada duit atau tidak untuk nak bayar saman dan semua urusan bayaran adalah cashless, debit or credit card sahaja.

 

Kalau tak ada duit, boleh masuk penjara.

 

Saya pula rupa rupanya dapat ujian baru sebab tersedar bahawa saya sedang kehilangan kad debit, baru sedar pagi tadi sebab kak debit tiada dalam dompet, jarang saya pakai kad debit sekarang ini sebab semua urusan guna QR online jer, mujur isteri bagi pinjam kad debit beliau, ada satu ribu dalam tu , harap cukup bayar saman abang dan anak. Katanya.

 

Ringkas cerita kami masuk kandang pesalah, dan mengaku bersalah dengan yakin.

 

Masa proses nak jatuhi hukuman tu, laywer macam pelik sebab tarikh saman sama dengan tarikh Road yang dah dihidupkan.

 

Sayapun cerita kisah betapa insaf diri sendiri apabila anak cerita kena saman dan terus serta merta saya sambung Road tax dan insurans.

 

Akhirnya Kami kena denda RM200 seorang atas dua kesalahan,

Insurans tamat tempoh RM100 plus road tax RM100 setiap orang.

 

Maknanya RM400 kena derma pada kerajaan yang akan gunakan wang itu membangun negara. Amin…

 

Pendek cerita, singgah semua hentian dan selesai bayar saman.

 

Keluar Mahkamah kami pergi makan nasi jam 4 petang. Lapar beb…

 

Waktu makan isteri suruh imbas kembali bila kali terakhir guna kad debit?

 

Dah kenyang baru saya teringat ambik duit minggu lepas dekat bangunan SSM Kuantan, sebelah kedai makan ni sahaja pejabat SSM dan waktu tu guna kad debit.

 

Saya pun masuk dalam bangunan SSM tanya pada Pak Guard ada tak jumpa kad debit saya?

 

Pak Guard suruh tanya pada penyambut tetamu dalam SSM tu.

 

Sekali Penyambut tetamu tu tunjuk ada ramai jer orang tertinggal kad debit, dan ternampak kad saya ada dalam simpanan beliau terus saya bersyukur dalam hati.

 

Alhamdulillah.

 

Dapat Bayar hutang bini, tak perlu masuk mahkamah akhirat bab hutang!

 

Woha!