Jan 20, 2023

Hikmat Mulut Masin?

 

Nabi “membunuh” dengan air liur…

Dalam perang, jika ada pendekar mulut masin, (kata katanya makbul) maka akan menanglah semua pertarungan.

Alkisahnya jika rujuk sejarah kisah popular wayang kulit di pantai timur zaman saya kanak kanak dulu, akan ada watak-Maharaja Serama yang merajuk lalu menyeru jin-jin yang gagah Perkasa seperti jin Eragedung dan Erajasa yang boleh menyepak gunung lantas membuat kerosakan di Tanah Melayu.

Lalu pada zaman itu biasanya dalam riwayat wayang kulit akan muncul pendekar yang sangat hebat untuk bertarung dengan jin-jin tadi bernama Hanuman kera putih kemudian jin-jin ni bila kalah mereka akan panggil lagi Jin-jin yang lebih hebat untuk bantu mereka hingga akhirnya Hanuman kera putih pun kalah.

Pada waktu tidak ada harapan itu akan muncul seorang pendekar tua yang bernama wak Dogol kepala botak perutnya buncit tapi dia ada hikmah mulut masin namun dalam riwayat Pak Dogol tidak akan mencemar duli turun padang sebaliknya akan diturunkan kepada watak penglipur lara Wak Yah seorang pak cik lucu yang tidak pandai bertarung.

Maka muncullah Wak Yah nak belajar ilmu ini tapi dia kena telan air liur daripada Pak Dogol.

Awalnya Wak Yah menolak sebab dia tak nak hikmat telan air liur, dia nak hikmat  sapu-sapu kat badan saja tapi bila sekali dia dapat jilat air liur wak Dogol terus Wak Yah nak lagi sebab katanya manis macam aiskrim.

Woha!

Dan sebaik Wak Yah mendapat hikmat mulut masin terus dia bergurau dengan Pak Dogol yang mana dia cakap terlentang terbaring terus Pak Dogol terlentang Terbaring, aduhai kurang ajar punya anak murid.

Ringkas cerita tewaslah semua Jin jahat dengan hikmat masin mulut Wak Yah! maharaja Serama akhirnya minta maaf dan cerita pun habis.

Itu semua kisah dongeng..

Sekarang saya akan ceritakan kisah benar bagaimana seorang nabi boleh membunuh musuh nya hanya dengan menggunakan masin mulut…

Alkisahnya, Sebelum Nabi berhijrah ke Madinah, Ubai bin Khalaf awal awal dah berniat nak bunuh Nabi lalu berkata kepada Nabi Muhammad SAW dengan menggunakan kata kata yang seratus peratus berunsur Syirik:

"Aku ada memelihara seekor kuda yang aku beri makan dengan cukup. Aku akan membunuh kamu dengan menunggangi kuda itu suatu hari nanti”

Semua kata katanya penuh dengan syirik!

"Aku (Syirik!) ada memelihara seekor kuda yang aku beri makan (Syirik!) dengan cukup (Syirik!). Aku akan membunuh kamu (Syirik!) dengan menunggangi kuda itu suatu hari nanti. (Syirik!)"

Semua tu ayat ayat ahli neraka!

Tapi kita tengok jawapan Nabi bila bercakap dengan orang syirik, jawab Nabi:

"Insyaallah, sayalah yang akan membunuh kamu."

Bila ada perkataan “Insyaallah” maka tiada langsung unsur Sririk dalam kata kata Nabi.

Dan kata kata Nabi “masin mulutnya”

Di pendekkan cerita, dalam peperangan Uhud, si Ubay ni berkeliaran di medan perang mencari Rasullullah s.a.w sambil berkata,

"Jika Muhammad terlepas pada hari ini, tiada keselamatan lagi bagiku."

Lalu dia pun mara ke arah Nabi s.a.w dengan niat membunuh. Para sahabat dah tak sabar nak pergi pancung kepala ubay, tapi Nabi cakap:

"Biarkan dia datang."

Bermakna Nabi nak lawan dengan Ubay ni satu lawan satu, lalu bila Si Ubay ni memecut dengan kuda bersama pedang terhununs, dan bila dah nak hampir dengan Nabi, terus Nabi ambil lembing dan baling ke arahnya, Lembing itu terkena sikit pada tepi leher Ubay dan adalah kesan terguris sedikit.

Terus Ubay bin Khalaf jatuh tergolek dari kudanya dan lari lintang-pukang sambil menjerit!

"Muhammad telah membunuh aku!"

"Muhammad telah membunuh aku!"

"Muhammad telah membunuh aku!"

Lepas tu Ubay bin Khalaf memekik kesakitan macam lembu jantan kena sembelih. Abu Sufian ketua orang kafir siap perli Ubay bin Khalaf sebab beraksi macam pondan, luka sikit jer tapi menjerit macam lembu.

Tapi jawab Ubay bin Khalaf: "Tahukah kamu siapa yang lukakan aku? Ini adalah perbuatan Muhammad, Sejak Muhammad berkata kepada aku di Mekah bahawa dia akan membunuh aku, aku sudah yakin bahawa aku akan mati di tangannya. Malahan aku yakin, jika setelah Muhammad berkata demikian, jika dia meludahi aku sahaja pun, pasti aku akan mati."

Lepas tu Ubay bin Khalaf sambung meraung, dan mati dalam perjalanan pulang, sehari sebelum sampai ke Mekah.

Pengajaran dari cerita ini adalah: Bagaimana Ubay bin Khalaf seorang kafir yang selalu bercakap syirik tapi cukup yakin dengan kata kata mulut masin Nabi.

Macam mana tu?

Sebenarnya yakin Ubay bin Khalaf kepada Nabi adalah “Yakin melalui pengalaman” kerana menyaksikan sendiri bahawa Nabi tidak pernah bercakap bohong, dan melihat sendiri beberapa peristiwa mukjizat di Mekah. Yakin begini tak menjamin hidayah pun..

Dalam Islam, yakin sebenar adalah Yakin kepada yang Ghaib, Beriman kepada yang Ghaib, yakin dengan pengalaman rohaniah masing masing…,“Yakin melalui pengorbanan”.

Jadi, pesan ulamak, semakin banyak kita korban untuk agama, maka semakin banyak yakin akan datang dalam hati, akan semakin kuat iman, dan akan semakin tinggi kefahaman agama.

Insya-Allah.

Ps: ada hadis bagitahu orang yang tak yakin solat boleh selesaikan masalah lalu tinggalkan solat, di neraka nanti, akan senasib dengan Ubay bin Khalaf. Nauzubillah!


No comments: