Apr 28, 2020

PKP bersama anak syurga?

Alkisahnya, Saya ada dalam group ibu bapa yang ada anak OKU, dan betapa simpati kepada mereka dan betapa mujahadahnya membaca kisah ibu bapa ini bila PKP bersama anak OKU kerana anak syurga ni mudah mengamuk, cepat bosan, selalu nak keluar rumah, nak pergi tempat luas dan ada air cond (pasaraya) nak berlari di pantai, nak berlari di taman permainan. Dan bila mengamuk, sukar dipujuk sebab mereka tak normal dan tak faham erti dunia macam kanak-kanak yang normal.

Dalam rumah yang sempit, anak syurga autisme akan panjat sana, kacau orang, baling objek, pecahkan pinggan, pukul orang, gigit, dan macam macam kisah yang saya dengar.

Saya dah lepas fasa kejadian anak meragam semua tu sebab ianya berlaku waktu anak umur 4 tahun, waktu anak tak boleh bercakap, dan belum pergi terapi urus diri.

Zaman tu belum PKP jadi senang tarik perhatian anak dengan bawa dia berlari ke taman permainan, atau tepi pantai, atau panjat bukit, atau berlari dalam Mall yang luas atau bawa dia tengok mainan sampai rambang mata.

Tapi dizaman PKP, anak syurga tak boleh keluar rumah akibat jangkitan Covod 19, maka yang jadi sasaran adalah ibu bapa, anak pecahkan TV, anak taburkan makanan, anak pangjat tingkap nak terjun, anak gigit sampai berdarah, dan macam-macam.

Saya hanya mampu simpati dan doa dari jauh kerana ujian setiap manusia ni tak sama, jadi kepada anda yang PKP bersama anak anak yang normal, bersyukurlah dengan nikmat yang ada. Sungguh saya cakap ni: bersyukurlah.

Dan saya sendiri walau ada anak OKU autisme, tetap bersyukur sebab saya baca kisah orang lain anaknya Severe autisme dan PKP bersama si anak yang ketuk kepala, tak boleh bercakap, makan najis, pukul orang tanpa sebab.., gigit orang sampai berdarah, dan banyak lagi, memang simpati.

Anak saya hanyalah Mild Autisme, Alhamdulilah atas nikmat ini, sekarang umur tujuh tahun, dan anak dah boleh bercakap tiga patah, mudah dipujuk, dan sangat jarang menggigit macam dulu dan sudah tak makan najis macam dulu dulu.

Rezeki anak juga waktu PKP ni, beliau adalah anak bongsu dari lima beradik, abang dan kakaknya sangat rajin melayan, (terima kasih anak anak ayah) jadi dia sibuk dilayan kiri kanan sampai dia penat dan tidur.

Rumah kami kecik sahaja, tapi halaman luas, maka bolehlah anak berlari, berbasikal dan macam macam aktiviti. Dia sangat sibuk dengan macam macam permainan tapi alhamdulilah, setakat ini terkawal.

Ada cubaan panjat pagar nak keluar, tapi dia faham tentang zombie, saya terpaksa cakap kat luar ada zombie dan dia faham, sekolah tutup, ada kuman, ada zombie.

Maka hari ini cuaca pun cerah, saya rakam aktiviti anak dari pagi sampai ke petang, dia tak akan tidur kecuali larut malam bila dah habis tenaga.

Tengok dia gembira dalam video ini buatkan saya bersyukur dengan ujian anak OKU mild autisme, terima kasih Allah beri kami anak syurga, orang lain diluar sana lebih besar ujian mereka.

Semoga PKP ini cepat berlalu, semoga kita semua berjaya lawan virus Covid 19, dan habis semua ini, antara perkara pertama saya nak buat dengan anak syurga adalah mandi pantai.

Woha!

Link video: Sehari PKP bersama anak syurga OKU autisme:


Terima kasih sudi menonton.

No comments:

Post a Comment