Jun 12, 2022

Pasang pelita haram?

(repost)

Pasang Pelita Haram sebab tiru Hindu dan Majusi?

Soalan..

Apa pendapat abang tentang adat memasang pelita pada malam tujuh likur dalam bulan Ramadan, kononnya bertujuan menunjuk jalan kepada roh nenek moyang yang pulang menjelang hari raya Adat ini dikatakan berasal daripada agama Hindu, yang masih kekal sampai sekarang? Memuja api adalah amalan majusi, seterusnya meninggalkan kesan kepada pemikiran masyarakat bukan Islam yang terus memandang Islam melalui pandangan yang serong, malah sebahagian masyarakat Islam pada hari ini juga berfahaman begitu, seolah wajib memasang pelita, padahal amalan ini adalah bidaah. Kerana itu Bidaah hasanah perlu di tentang kerana tak mustahil satu hari nanti, orang akan solat subuh empat rakaat kerana inginkan pahala yang lebih, dengan alasan bidaah hasanah? Apa pendapat abang keretamayat?

Jawapan:

Alamak? Hindu pasang pelita nak bagi roh nenek moyang balik? Bukan Hindu ada kelahiran semula ke? Atau korang baru tengok cerota Hantu Maxico, berjudul COCO…,  kan?

Padahal zaman dulu pasang pelita nak mudahkan perantau balik kampung cari jalan di malam yang gelap, atau nak meriahkan suasana tahajjud di malam Al qadar zaman dulu, apa salahnya? Dah zaman dulu belum ada letrik, pakailah pelita.

Zaman sekarang anak nak main bunga api, dari guna lighter, baik pakai pelita, pencuri pun segan nak masuk rumah yang ada pelita sebab tahu tuan rumah ada mercun das! Woha!

Alkisahnya, Zaman kanak kanak dulu. Bila tiba bulan puasa, dimulai dengan solat tarawih, bilal akan berselawat, dan budak budak akan menjawab selawat ke atas Nabi dengan penuh meriah.

Zaman tu zaman 20 rakaat, tapi budak budak belum lapan rakaat dah turun main Meriam buluh, main galah panjang, main lilin, main pelita, main tanglung guna tempurun kelapa, main kejar kejar, dan macam macam lagi sebab masa tu orang tua sibuk bertarawih, jadi sambung main di malam hari bersama kawan kawan sebab siang habis dengan aktiviti baca komik, tidur, dan mandi air telaga, al maklumlah puasa.

Dalam sibuk bermain, memang ada penjaga masa yang mana waktu solat witir bermakna kami kena masuk saf, kami pun masuk dan solat satu rakaat.

Korang tahu macam mana kami tahu witir dah dekat? Bila Bilal lepas selawat sebut nama Abu bakar, itu 8 rakaat, sebut nama Umar, 12 rakkat, sebut nama Osman, 16 Rakaat, sebut nama Ali, okey witir dah masuk.

Hebat ulamak dulu tanda bilangan tarawih dengan selawat dan pujian kepada sahabat bertaraf Khalifah, orang Syiah tak suka sebab puji khalifah, "Wahabi" tak suka sebab selawat antara tarawih ni bidaah katanya, tapi kata ulamak zaman tu, (arwah pak saudara saya), ini bidaah hasanah, tak buat tak apa, tapi ada hadis Nabi mencela orang tak berselawat di bulan puasa, maka kita zahirkan selawat antara tarawih.

Terus budak budak zaman tu, berlumba selawat paling kuat, memang meriah!

Lepas witir imam akan baca doa berjemaah, dan hujung sekali imam akan baca niat puasa dengan kuat agar budak budak dapat ikut, belajar lafaz arab… niat Bahasa melayu dalam hati, sahaja aku puasa esok hari dibulan Ramadan kerana Allah taaala..

Lepas tu moreh, meriah orang kampung bawa pelbagai kuih muih, seperti koleh kacang, tok aji serbang, Beker ubi, lepak pisang, Kuwey bait, tepung gomok, Nasik kapik sambal, nganang, kuwey bakor, Bubur pulut itang, bukur jagung, putu bambu, rojok kateh, bronok sagu, temosa ikang, pulut leper, puteri mandi, Akok keduttt, pergghhhhh, lepas penat main makan kuih minum kopi O memang terbaik.

Hebat zaman tu sebab orang tua tua buat tarawih sampai 20 Rakaat. Kagum dari dekat!

Habis Moreh, ada geng buat Tadarrus Al quran, satu juzuk satu malam, kita budak budak dah balik tidur nak bangun sahur.

Waktu sahur pula ada geng kejut sahur ketuk periuk keletung keletung, semua orang terjaga tanpa guna alarm jam, tapi tempat kami, waktu imsak di kejutkan dengan bunyi meriam betul, tak percaya tanya orang kuala Terengganu. Masuk waktu berbukapun guna meriam. Kita panggil bedil katup!

Kata orang tua, zaman dulu mana ada speaker untuk azan?, jadi bunyi meriam dua kali di awal subuh adalah untuk imsak dan subuh, manakala magrib meriam berbunyi satu kali. Perghhh meriah.

Bila imam tarawih start baca Qunut, kami tengok di langit bulan purnama penuh, bermakna dah separuh puasa, maka bermula main Meriam buluh, mercun, pelita, dan sebagainya.

Teringat lagi tiap rumah yang ada anak lelaki, pasti akan buat kubu perang, guna kayu yang di pacak di tanah lapang, biasanya berbetuk Pentagon, atau kapal, dan setiap kayu di ikat tali antara tiang kecuali pintu masuk, ada tiga barisan tali sebagai pagar, dan di ikat dengan kain gejer/perce (mintak dengan tukang gunting, free jer dia bagi)

Depan kubu tu akan di buat Meriam buluh, dan di tengah kubu ada pondok berbumbung daun kelapa kering, dan dinding di anyam dengan daun kelapa juga, memang meriah, lepas tu perang Meriam siapa paling kuat. Bom bom bom!

Belakang kubu juga di susun tempurung kelapa meninggi, dan di bakar dari atas sampai ke bawah ambik masa isyak ke subuh, meriah bang!

Bila siang, geng budak budak puasa akan lepak dalam pondok tengah kubu tu sambil baca komik, seperti gila gila, gelihati, humor, fantasi, dan dua kali sehari, mandi perigi beramai ramai nak kurangkan lapar. Sambil mandi tu macam macam jugak kitaorang main, asah duit guna kaki, buat bukit dengan tanah liat, simbah air, dan sebagainya.

Waktu berbuka pulak, lauk penuh meja sebab setiap rumah kongsi lauk pauk, sayalah yang akan bawa lauk mak masak ke rumah jiran jiran, dan mereka pula akan membalas lauk, maka rambang mata waktu berbuka dengan juadah bersifat, FAMILY Malaysia, satu kampung! Perghhhhhh.

Lepas tu ada sambutan nuzul al quran, atau majlis NAMAT, tanda bacaan di surau dah khatam dalam tadarus, atau Tarawih, terus ada majlis berbuka puasa beramai ramai, surau tak cukup, rumah di sekeliling surau akan jadi ruang untuk orang kampung berbuka, makan dalam talam, sedap semua lauk ayam kampung dan nasi minyak, perghhhhh. Rumah saya dekat dengan surah, memang orang akan makan sampai dalam rumah kami, meriah!

Masuk malam tujuh likur, geng budak budak meriah sangat sebab orang pakat hias pelita di beranda rumah masing masing. Budak budak dan pelita, macam macam permainan mereka boleh cipta. Tujuan pasang pelita sebab ada qiamulai dekat surau, jadi rumah kampung memang berselerak, jauh jauh, dan di jalanan pasang pelita buatkan jam tiga pagi budak budak nak pergi qiamulai pun rasa seronok beronok ronok.

Dah dekat nak raya, gotong royong kemas rumah, bakar sampah, cat jika perlu, tukar langsir jika dah koyak, dan zaman tu kad raya jadi hiasan dinding, rumah ada awek cantik, kad raya boleh gantung macam pokok krismas! Lampu kelip kelip tu wajib, ha ha ha. Ayam atau kambing peliharaan akan menjadi korban.

Tiba malam raya, semua rumah meriah nak masak esok hari, geng budak budak macam macam main sampai penat ke diri, dan bila tiba hari raya, kami rasa lagi seronok beronok ronok, dari zaman kanak-kanak hingga dewasa, raya sangat indah, saling pakai baju baru, bermaafan, makan sedap sedap, jumpa kawan lama, pakat pakat balik kampung, ziarah kubur, dan lain lain.

Paling best duit rayalah, banyak ziarah, banyaklah makan dan banyaklah duit dapat, masa ni lah dapat kenal sepepu sepapat, dua kupu dan kupu kupu..

Satu lagi bab menu makanan, setiap rumah dah plan masak berbeza beza, rumah saya nasi dagang, depan rumah saya, satay, belakang rumag saya laksa, kira sana nasi minyak, macam macam! meriah sungguh dengan lemang, ketupat, rendang, gulai kawah dan sebagainya,

Biasa raya pertama, ziarah keluarga jer, raya kedua, ziarah kawan, raya ketiga, ziarah cikgu dan ustaz, raya ke empat, ziarah kawan jauh sikit, sampailah raya ke enam, start balik puasa selama enam hari, dan dari hari ke hari, ada jer rumah buat jamuan raya, selawat sikit, doa sikit, dan makan! Sampai habis Syawal!

Maka semua ini adalah kenangan, jangan bimbang, kami tahu mana satu bidaah hasanah dan mana satu Sunnah, sebab ustaz dah ajar, Bahawa Perkara yang mencanggahi al-Quran atau sunnah dikira sebagai bidaah sesat, manakala Perkara baik yang diadakan yang tidak mencanggahi al-Quran dan sunnah adalah perkara baru yang tidak sesat dikenali Bidaah Hasanah.

Saya ulang, Bidaah hasanah adalah merujuk kepada mereka yang menggunakan alasan agama untuk perkara baik, dan perkara baik itu pula Nabi tak pernah buat. Kalau nabi pernah buat itu bukan Bidaah Hasanah, itu Sunnah.

Yang perlu kita faham, perkara tersebut, tinggal tak berdosa, buatpun tak berdosa selagi tak bercanggah dengan Al quran dan hadis, dan boleh dapat pahala pula jika cukup syarat syaratnya.

Tapi, (ada tapi tu..,) apa yang saya rasa, atau apa yang saya faham, akan kenapa ulamak ulamak terdahulu, seperti Imam Syafee dan lain lain, melebelkan perkara ini dengan panggilan BIDAAH HASANAH, atau Bidaah Mahmudah, atau lain lain lebel yang murni tapi masih ada perkataan BIDAAH pada lebel itu, maka, pada pendapat saya yang hina dan banyak dosa ini…

Ulamak melebelkan amalan tersebut dengan istilah: BIDAAH HASANAH adalah supaya ummat sedar bahawa perkara itu bidaah(Nabi tak buat), Cuma ianya bagus. Kat situ Nampak murninya ulamak terdahulu yang tak sewenang wenang kata ini Sunnah!

Tapi korang ulamak dah lebel bidaah Hasanah, korang nak tukar pada Bidaah Haram pulak? Adohai..

Kembali ke zaman sekarang, saya pun dah tua, balik kampung tengok suasana dah berubah, tarawih dah jadi lapan jer, kubu perang dah takde, budak budak sibuk main telefon jer, moreh bungkus makan kat rumah, berbuka lauk sendiri.. bilangan orang tarawih pun makin kurang… Selawat alhamdulilah masih ada..

Bidaah hasanah masih ada, Dan hingga kini, tak pernah jumpa orang solat subuh empat rakaat sebab nak pahala lebih? Kenapa? Sebab kita faham apa itu bidaan hasanah , apa itu Bidaah Dollalah!

Tahniah!

Akhir kata, Saya pun beli pelita dan bunga api, pasang kat rumah saya, ajak anak anak main, sambil tu saya share link shope kot ada yang nak beli,

https://shope.ee/79yBh3fA6S

Woha!

No comments:

Post a Comment