Oct 15, 2020

Kita ni Firaun ke?

Semalam ada ustaz datang ziarah saya, saya pun ambik peluang untuk bertanya soalan agama:

“Ustaz, kenapa dalam Al quran banyak sangat kisah Firaun?”

“Sebab Allah tak nak kiita semua ikut jejak langkah firaun, maka Allah detailkan sifat firaun agar kita tak jadi macam firaun”

“Boleh ustaz cerita apa sifat Firaun yang kita kena hindari?”

“Ada banyak, saya nak ambik contoh terus depan mata, kamu ada tafsir?”

Sayapun terus ambik tafsir dari rak buku di ruang tamu, saya bagi pada ustaz, ustaz tu terus buka Surah Az Zukhruf.

“Baik, hamka, bacakan ayat 51 hingga 53”

Saya pun baca..

Ayat 51: Dan Firaun menyeru kepada kaumnya: "Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini - akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah ku? Tidakkah kamu melihatnya?

Ayat 52: "Bahkan bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina keadaannya ini, dan yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya?

Ayat 53:"maka sepatutnya ia dipakaikan gelang-gelang emas, atau datang malaikat bersama-sama dengannya”

Habis baca, ustaz terus buka mulut:

“Bagus, dari tiga ayat ini, setiap ayat menceritakan dua sifat firaun, menjadikan ada enam sifat firaun yang jangan kita buat”

“Cer citer”

“Ayat 51, Firaun akan gunakan pangkat sebagai hujah kebenaran, Akulah Raja, hari ni ada orang jadi Menteri dah berlagak, bila kritik mereka kata korang bukan Meteri tak layak nak kritik mereka, lepas tu Firaun bagitahu dia menguasa Sungai bermaksud jajahannya yang luas, lalu gunakan hujah hartanya sebagai kebenaran, maka kita jika berhujah guna pangkat dan harta sebagai modal memang dah nak jadi firaun!”

“Aduh, betul ustaz, hari ni pangkat dan harta di salah guna untuk terus berkuasa, dan menolak kebenaran”

“Ayat 52, Firaun serang peribadi Nabi Musa, dengan tuduh Nabi Musa hina sebab keturunan entah dari mana, dan hina mulut gagap Nabi Musa tak lancar, maka akhir zaman, jika kita berhujah dan serang peribadi orang, hina keturunan dia, hina fizikal dia, maka dah jadi firaunlah kita!”

“aduh ustaz, ni buli cyber zaman ni, ramai hina bangsa dan kekurangan diri”

“Ayat 53, Firaun guna hujah: kenapa Tuhan tak jadikan Nabi Musa kaya dengan penuh emas di badan? Dan kenapa bukan Malaikat turun bersamanya!? Ini orang islam belum sampai tahap ni, tapi jika kita berhujah dengan orang kafir, selamba mereka akan balas, kenapa orang islam ramai miskin dan kenapa malaikat tak datang dakwah dia? Padahal orang kafir tu tak bacapun Al quran, tapi berhujah sebijik macam Firaun, kerana Allah nak bagitahu, jika kita ada enam sifat ni, maka kita akan mendapat nasib macam firaun iaitu:

1. Bangga dengan pangkat

2. Bangga dengan harta

3. Hina bangsa lain

4. Hina peribadi orang

5. Hina pendakwah miskin.

6. Cabar Tuhan kenapa tak hantar Malaikat?

Jadi moral kepada kita semua, janganlah kita ikut jejak langkah Firaun kerana Firaun sekarang diazab oleh Allah selama lamanya.

*****

Panjang lagi ustaz tu cerita tentang tafsir Al quran, malam makin larut, dan ustaz minta diri. Saya cakap terima kasih ustaz datang dakwah pada saya walaupun di zaman PKPP ini..

Ustaz bagitahu perintah Allah ni macam air, jika di sekat kita kena cari lubang kecil untuk terus mengalir, macam solat, sakit macam mana pun solat tetap kena buat sama ada duduk ataupun baring, dakwah tak boleh rumah ke rumah macam zaman Nabi dulu, kita tetap kena buat dengan ziarah sesama kita dan ingat mengingati. InsyaAllah, jalan terus sampai mati.

Ustaz balik, terus saya tulis dan share, moga ada kebaikkan, dan moga kita semua tak menerima nasib macam Firaun!

Hamka Keretamayat

PKPP 2020.

Woha!

No comments:

Post a Comment