May 10, 2021

Pokok Untuk Nabi?

“Abang, jom tolong saya pindahkan pokok bunga dari dalam plastik ke dalam pasu”

Alkishanya, Melihat bini tanam pokok bunga, terus saya teringat kisah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda yang mana perbualan mereka pada mulanya hanyalah dalam urusan dunia, tapi bila bersembang dengan Nabi, topik perbualan itu akan bertukar menjurus kepada cerita tentang akhirat.

Sebagai contoh, hadis riwayat Ibnu Majah, Daripada Abu Hurairah r.a. beliau menceritakan bahawa pada suatu hari Rasulullah s.a.w. datang kepadanya yang sedang bercucuk tanam, lalu Baginda bertanya kepadanya:

"Wahai Abu Hurairah! Apakah yang kamu sedang tanam?"

“menanam tanaman untukmu Ya Rasullulah”,

"Wahai sahabatku Abu Hurairah, mahukah saya tunjukkan kepada kamu satu tanaman yang lebih baik daripada tanamanmu ini?"

"Bah kan ya Rasulullah"

"Bacalah, Subhanallah Alhamdulillah Walailahaillallah Allahuakbar, akan ditumbuhkan untukmu sepohon pokok di dalam syurga.”

Baik, itu baru satu contoh sembang bab dunia, tukar kepada akhirat, ada kisah sahabat bercerita betapa untung beliau berniaga hari itu, lalu Nabi ubah topik tentang untung lagi orang yang solat sunnat selepas solat fardu. Conton lain: anak Nabi sendiri, Fatimah r.aha, bercerita kisah sedih akibat penat dan perlukan hamba untuk menolong kerja rumah, Nabi ubah topik kepada kelebihan tasbih sebelum tidur akan mendapat kekuatan hamba, ada sahabat lain bercerita tentang unta betina bunting yang mahal, Nabi cerita pula kisah kelebihan membaca Al quran, dan lain-lain.., anda boleh rujuk sendiri dalam kitab kisah sahabat.

Baik, sambung kisah tolong bini tanam pokok bunga, alkisahnya, apabila mahu tanam pokok bunga yang duduk dalam plastik sebelum dipindahkan ke dalam pasu, langkah pertama, kita kena sediakan bahan tanah campuran yang sesuai antara baja organik dan pasir. Bini saya cakap, nisbah tanah yang baik ialah 3:2:1 iaitu campuran nisbah tiga, bagi tanah, dua bagi bahan organik, dan satu lagi untuk pasir.

Eh? Kenapa saya ralit bercerita tentang perkara dunia pula ni?, dan eh? Sejak bila halaman keretamayat bertukar menjadi halaman pertanian? Bukankah halaman keretamayat adalah halaman kubur!

Fokus! Saya sepatutnya ikut sunnah Nabi, tolong bini buat kerja, sambil bercerita tentang agama, lalu saya ambil satu ranting yang sudah terpotong, lalu mengoyanggkan ranting itu sehingga daunnya gugur lalu berkata:

“wahai biniku,! mengapa kamu tidak bertanya,kenapa abang buat begini?"

Bini senyum sambil terus buat kerja, lalu saya menyambung..

“Beginilah Rasulullah lakukan dihadapan sahabatnya yang bernama Salman, semasa Salman r.a bersamanya dibawah sepohon kayu. Baginda ambil ranting kering pohon lalu mengoncang-goncangkannya hingga kesemua daunnya gugur seraya baginda bersabda,"Bahawasanya apabila seseorang Islam mengambil wudhuk dengan sempurna,kemudian ia melaksanakan solat lima kali pada setiap hari, maka dosa-dosanya akan gugur seperti mana daun-daun ini gugur."

Bini saya menambahkan senyuman, tangan sibuk membasuh pasu lama, lalu mendepakan tangan kiri dan mengoyangkan jari sebagai isyarat agar saya hulurkan sisa sisa pasu pecah untuk dijadikan lantai pasu lama. Saya terus menyambung cerita..

“Sayang tahu tak? AKAR POKOK YANG TUNJANG merupakan asas kepada kekuatan pokok, tanpa akar pokok tunjang, maka pokok akan tumbang..,"

Bini saya angguk angguk, bermakna dia sudah tahu..

“Begitulah ibaratnya IMAN dengan akar pokok tadi, iman merupakan asas pada ugama, tanpa iman, maka robohlah keislaman kita..”

Bini saya angkut pasu yang sudah di isi serpihan batu lalu bawa ke hujung pagar, saya mengikut dari belakang sambil mendukung beberapa bungkusan anak pokok, dan saya sambung bercerita.

“AKAR YANG BERCABANG pada akar tunjang pula adalah SUNNAH NABI, bukankah iman ada 77 cabang?”

Saya sambung lagi:

“Hadith riwayat Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda, “Iman itu memiliki tujuh puluh tujuh cabang dan yang paling utama ialah Laa ilaaha illa Allah, dan yang terendah ialah membuang duri dari jalan. Dan malu juga merupakan salah satu cabang iman.” Jadi..., cabang akar pokok itu tadi umpama sunnah Nabi yang bercabang cabang itulah! Yang mana pokok yang kuat memiliki akar tunjang yang kuat dan banyak cabangnya, jadi individu islam yang kuat adalah teguh IMANnya dan banyak pula SUNNAH dalam diri”

Bini saya angguk, dan ambil pisau lalu hiris bahagian bawah plastic perlahan lahan sedang saya memegang bahagian atas plastik.., mulut saya masih lagi berkata-kata:

“BATANG POKOK pula merupakan tiang ugama, dan ini mewakili SOLAT dalam islam, tanpa solat, maka segala amalan lain jadi sia-sia, begitu jugak pokok tanpa batangnya, maka tiadalah dahan, ranting, daun dan buah.., Jadi, di sini.., DAHAN pokok pula mewakili ILMU dalam islam yang mana banyak ilmu, maka banyaklan dahan..”

Akar pokok bungapun terdedah, bini saya dekatkan pasu lalu saya letakkan anak pokok itu ke dalam pasu yang mana bini saya sudah siap-siap mencampurkan isi pasu itu bersama baja dan pasir..

Saya menyambung lagi:

“Tapi jika ilmu itu tidak ada hubungan dengan Allah, maka jadilah pokok itu banyak dahan tapi tidak berdaun, jadi macam pokok kering di padang pasir, tidak boleh dijadikan sebagai tempat bereduh, kerana DAUN pada pokok adalah mewakili kepada ZIKIR, yang mana lebat daun, maka banyaklah dahan atau anologinya, banyaklah ILMU DAN ZIKIR”

Bini saya menyiram sedikit air untuk menkedapkan tanah, apabila tanah itu semakin turun, saya campur pula dengan bahan tanah yang telah di gaul bersama baja organik serta pasir. Lidah saya terus bergerak-gerak...

“BUAH pada hujung dahan pula adalah sifat IKRAM MUSLIMIN yang ada pada diri orang islam yang menunaikan hak tanpa dirinya sendiri menuntut hak, seperti pokok yang memberi buah kepada orang yang berteduh.., langsung tidak menuntut hak.., manakala MANIS pada buah adalah KEIKHLASAN dalam diri orang islam yang mana jika ikhlas, tentulah orang yang ditolong rasa ‘manis’, jika tidak ikhlas, tentulah buah itu rasanya masam..”

Bini saya terus merumpai tanah bagi mengurangkan persaingan baja, air dan cahaya matahari. Saya pula melakukan kerja kerja penggemburan untuk melonggarkan tanah yang padat dan keras bagi menggalakkan pengudaraan tanah supaya pokok dapat tumbuh dengan subur. Sesekali saya membelek hujung daun kerana takut ada serangan serangga perosak yang dikenali sebagai kutu daun (aphids) dan koya (mealybug). Saya menyambung lagi analogi..

“ Akhir sekali, BIJI dalam buah tadi itulah DAKWAH, kerana.., jika biji itu diletakkan pada tempat yang betul, disiram dan di bajai, maka akan muncul lagi pokok baru bersama ribuan biji yang lain, begitulah perumpaan ummat islam yang berdakwah kerana mereka ibarat biji pokok yang subur yang di campakkan kemana sahaja, akan tumbuhlah cahaya islam serta keimanan ibarat pokok yang akarnya teguh, batangnya tegap, dahannya kuat, daunnya rimbung, buahnya lebat, dan manis pula rasanya serta subur pula benihnya, SubhanAllah..”

Wah, bini saya nampaknya kagum dengan penerangan saya tentang 6 perkara pada pokok dan kaitannya dengan sifat sahabat lalu berkata:

“Saya ingat, lepas raya nanti, kita beli lagi enam anak pokok dan pasu barulah bang, tak balance kedudukan hiasan pokok ni”

Woha!

Ps: Nak tahu sambungan Kisah ini? Semuanya ada dalam Ebook KISAH LAKI BINI DAN PUASA, saya nak bagi FREE Ebook ini kepada pembeli EBook MUDAHNYA HAFAZ YASIN dari Link ini. http://bit.ly/HafalYasin

Selamat belajar Mudahnya Hafaz Yasin, selamat membaca Kisah Laki Bini dan Puasa yang penuh tazkirah, dan selamat Ghibtah dari jauh! Woha!

http://bit.ly/HafalYasin

 

No comments:

Post a Comment