Sep 28, 2016

Bagaimana nak jadi penulis?

(Morgan Freeman said to Library Guard: Gentlemen, I'll never understand. All these books, a world of knowledge at your fingertips. What do you do? You play poker all night?”-Quote from Se7en Film)

Aku tengok cerita hantu mat saleh, bila ada masalah mereka pergi perpustakaan, dan kat sana ada buku cara cara bunuh hantu.

Kadang cerita tu zaman dulu, malam malam pakai pelita, tapi masih pergi perpustakaan untuk rujuk buku asal usul hantu, contoh cerita serigala jadian, dalam perpustakan di zaman itu, ada cara bunuh serigala iaitu guna senjata dibuat dari perak, dalam buku rujukan tu siap ada gambar lagi rupa seriga atau vampire dan sebagainya.

Cerita “How to train your Dragon”, dikampung Viking, ada Buku panduan membunuh naga, siap dengan gambar berates jenis naga dan kelemahan naga. Itu cerita zaman dulu tu..

Apa yang aku dapat simpulkan, bangsa mereka maju sebab dokumentasi mereka bagus, cara buat enjin kereta, cara buat kapal terbang, dan lain lain ada didokumentasikan elok elok, tak percaya pergi university tengok mana mana bidang, matematik ke, fizik ke, biologi ke, semua dokumentasi dengan formula, rajah, contoh yang mana generasi akan datang boleh belajar ilmu dari generasi zaman dulu cukup dengan hanya merujuk buku.

Sekarang ini pun, dah ada buku cara nak bunuh Zombie yang di tulis dengan serius, pendek kata bangsa yang maju ni adalah bangsa yang mahir dalam bab dokumentasi.

Kat kampung aku dulu, ada pakcik yang boleh buat perahu tanpa guna plan, semua dalam otak, bila pakcik ini meninggal tak de siapa dapat ilmu ini, dan pernah masa aku kecik bermain di sebuah rumah yang dibuat tanpa paku, tapi tak ada orang boleh buat sebab pembuat rumah itu sudah meninggal.

Maka sebab itulah bila kita pergi sekolah, ada kerja khusus, kena buat laporan, yang mana anak anak kita kena buat tugasan dalam bentuk buku. Jika belajar tinggi lagi, ambil ijazah, kena buat projek semester akhir, kena buat report semua aktiviti kerja, dan hasil keputusan, dalam buku tebal, itu semua nak ajar manusia jadi bangsa dokumentasi kerana dokumentasi yang baguslah akan cepat memajukan umat manusia. Itu belum cerita nak ambil Phd, kena Publish paper, kena tulis Journal, tulis tesis dan sebagainya.

Jadi bila masuk alam pekerjaan, korang akan ada ilmu dan bakat masing masing, sesuai dengan pengalaman hidup dan suasana persekitaran, jadi aku cadang untuk majukan ummat, korang kena dokumentasikan ilmu korang, tulis di blog, atau di web, supaya boleh dirujuk oleh generasi akan datang.

Baca sejarah, Meriam Sultan Melaka adalah antara meriam terhebat di dunia, tahan letupan, tapi dokumentasinya mana? Katanya juga, Istana Raja zaman dahulu terang dengan teknologi susunan api pelita yang unik, tapi mana dokumentasinya?

Jadi balik pada zaman sekarang, semua orang perlu menulis ilmu masing masing, ibu ibu yang pandai memasak resepi istimewa, dokumentasikan ilmu itu, yang pandai buat layang layang, dokumentasikan. 

Aku sangat berterima kasih kepada blogger yang rajin update ilmu seperti cara tukar nama pembeli kereta, cara cepat ke airport, tip murah ke taman tema, cara mudah apply pinjaman rumah, dan lain lain kerana semua itu sangat membantu aku yang sedang mencari maklumat berkaitan, terima kasih!

Dan aku juga sekarang ini dapat ucapan terima kasih kepada mereka yang mencari maklumat agama, kerana aku dulu waktu pergi ceramah, sangat suka dengan tamsilan ustaz, yang kaitkan kejadian alam dengan ilmu tuhan, aku catit dan bila aku sampaikan dalam ceramah atau tulis balik di blog, aku ubah tamsilan dengan kembangkan lagi, dan akhirnya aku ‘dokumentasikan’ tulisan aku itu dalam buku dan boleh di kongsi oleh generasi akan datang dengan lebih luas lagi, insyaAllah.

Begitu juga perbualan laki bini, sama ada yang berilmiah, bergurau, atau common sense, aku dokumentasikan di blog atau di facebook, dan tak lama, siap satu buku cerita perihal KISAH LAKI BINI bersama ilmu tamsilan yang dikaitkan dengan kehidupan beragama. Dah 10 ribu copy terjual. Alhamdulillah.

Soalan soalan dari anak yang lucu dan pelik, atau susah nak jawab, aku tulis juga, dan akhirnya siap buku KISAH ANAK BINI yang boleh dirujuk untuk generasi akan datang. Dah masuk cetakan kedua.

Jadi buku buku aku bukan nya ditulis sebulan sebelum siap, tapi sudah bertahun tahun di tulis dalam blog, Buku MENANGKAP DAJJAL DIWAKTU DHUHA, atau Buku ALMOND LONDON DAN GAY, juga buku, SEMUSIM DI SYURGA DAN NERAKA, PERMATA YANG HILANG, KAMAR SUTERA dan lain lain buku akan datang adalah hasil rajinkan diri luangkan masa untuk kongsi ilmu kepada pembaca sejak zaman muda lagi. 

Jadi tip nak jadi penulis, kumpulkan bahan sekarang, dokementasikan eleok ekok supaya mudah rujuk dan akan datang jika ada rezeki, boleh siapkan dalam bentuk Buku agar lebih mudah dirujuk oleh generasi akan datang.insyaAllah.

Ada sahabat anaknya kena Leukaemia, dan waktu jumpa dia selalu cerita pengalaman anaknya akan betapa sukar di sekolah, betapa sukar dihospital, appointment dengan doctor pakar bagaimana dan akhirnya apabila si anak umur 12 tahun, sudah sembuh. Aku cadang pada dia agar tulis pengalaman ini, dokumentasikan di blog sebab akan datang, jika ada ibu bapa hadapi masalah sama, mereka boleh rujuk cerita anda. Dan mungkin akan datang, dari blog, pengalaman tadi boleh dibukukan.

Tapi katanya agak susah sebab kejadian tu dah berlalu 12 tahun, banyak peristiwa penting terlupa dan semangat nak menulis tak ada.

Jadi pesan aku kepada anda semua, jangan siap kerja baru buat dokomentasi, tapi buat terus sekarang, macam cerita mat saleh yang sedang buat kajian, mereka rakam suara guna alat perakam setiap aktiviti atau guna video, nanti bila siap projek, mereka boleh upah orang tulis, dan siap satu buku. So tipnya, luangkan masa tulis ilmu, pengalaman, travelog, info dan lain lain SEKARANG, jangan tunggu dah habis event baru nak tulis.

Bila bangsa kita rajin dokumentasikan ilmu, maka generasi akan datang akan belajar dengan lebih cepat dan dengan jimatnya masa mereka, maka banyak benda berfaedah yang lain dapat dibuat.

Aku percaya, dalam ilmu hadis, Allah takdirkan bangsa arab sebagai pemangkin ilmu hadis adalah kerana mereka termasuk bangsa yang mahir dalam dokumentasikan ilmu susur galur keturunan. kerana itulah bila Nabi turun ke sana, masalah dokementasikan kata kata Nabi sangat Berjaya dijaga mereka sehingga hari ini, 1400 tahun kita masih dapat manfaat dari Hadis Nabi dengan sanad sampai ke Rasulullah S.a.w , Alhamdulillah

Akhir kata, sebagaimana segala masalah agama boleh diselesaikan dengan merujuk kitab, muda mudahan untuk kita orang melayu, bila ada masalah, sepatutnya boleh juga di rujuk kepada kitab atau buku, tak perlu gadoh gadoh pendapat saya ni lebih betul, pendapat awak lebih salah dan sebagainya.

Jadi balik kepada sumber rujukan untuk generasi akan datang, cuba tengok filem barat yang teruk macam Twilight, Bella Swan bila ada masalah, beliau pergi rujuk buku bertajuk Quileute legends yang cerita tentang asal usul puntianak, sifat semula jadi dan cara mengenali puntianak.

Tapi cuba tengok cerita Hantu kita bila ada masalah, ada nak rujuk buku?, biasanya jumpa bomoh, dan bomoh pulak tak rujuk buku jugak, bomoh tu baca jampi dan minta korang cari ayam hitam. 

Adohai…

Jadi, kepada mereka yang ada pengalaman tangkap hantu, tulis buku, dokumentasikan elok elok, dan korang yang lain, tak kira apa bidang kemahiran korang, ambiklah masa untuk mendokumentasikan ilmu korang, mungkin tak menarik, tapi akan datang, ilmu yang bermanfaat tetap memberi pahala dalam kubur, walau mayat telah lama di mamah ulat. Andai korang mahu mengerti.

Sekian.

Ps: Jangan takut salah tulis, jika takut salah tulis, nanti tak ada orang tahu salah anda dan matilah anda bersama ilmu yang salah. Tulislah supaya orang boleh tegur salah kita, atau kita boleh tegur salah orang atau paling kurangpun tegur salah diri sendiri, tertakluk pada mana mana yang tak salah-woha!

Sep 21, 2016

Bumi ini sebenarnya rata?

(maaf terpaksa tulis entry ini, sebab kesian kat orang yang kena tipu hari hari)


Hari tu ada sorang dua suruh tulis isu bumi ini tidak bulat, aku ingat mereka nak buat lawak, lalu aku  jawab secara berseloroh: isu ini jika nak tulis, pastikan kita duduk zaman sebelum Columbus temui America. Woha!

Tapi mereka serius rupanya, makin hari makin ramai pulak hujani inbox suruh tulis. (Tak ramai pun, tak sampai sepuluh orang-tapi kena tulis ramai supaya nampak macam penting, he he)

Lantas Bila baca link yang mereka berikan, aku rasa masalah ni jadi serius,walaupun pada mulanya aku rasa orang buat lawak jer bahawa bumi ini rata dengan niat nak troll konon NASA dan Amarika kawal sempadan pinggir dunia agar tidak di ceroboh oleh mana mana pesawat, (wow, ramainya tentera amarica jika pinggir dunia benar benar wujud), ada yang kata Satelit tidak wujud, dalam TV itu semua CGI, (eh? Satelit di cipta lebih awal dari CGI, macam mana tu?) Matahari serendah bulan dan sebesar bulan (gerhana terjadi bagaimana?).

Tapi bila baca komen berdebat isu ni, maka ianya menjadi sangat serius. Lalu aku turunkan simpati aku kepada pembaca yang senang diperbodohkan dan takut nak terima hakikat, yang jenis mudah dengar cakap orang,  agar ada entry dalam blog kereta mayat bincang isu ini, dan dapatlah mereka berfikir dengan bertanya kepada yang ahli lain kali dengan memberi link dari blog ini.

Dalam perdebatan bumi rata vs bumi bulat, ianya menjadi sangat-sangat serius bila ada orang tafsir ayat Al quran secara membabi buta, siap kafirkan orang yang percaya bumi bulat sebab kononnya bertentangan dengan Al quran.

Padahal, sudah lama ada ijmak ulamak yang  menukilkan ijma' akan bulatnya bumi. Tapi boleh pulak orang tuduh yahudi yang reka teori bumi bulat untuk rosakkan akidah umat islam,

Jika korang rajin belek kitab lama, Boleh rujuk kitab Mi'yar Al-'Ilm  atau rujuk Al-Maqdisi dalam kitabnya Ahsanul Taqasim Fi Ma'rifatil Aqalim, atau  Asy-Syarif Al-Idrisi dalam muqaddimah kitabnya Masalikul Absor Fi Mamalikil Amsor, juga kitab Wafayatul A'yan,  atau rujuk Imam Ibnul Jauzi dalam kitabnya Al-Muntazom Fi Tarikh Al-Muluk wal-Umam atau rujuk Fatwa Ibnu Taimiyyah bahawasanya mereka para ulama telah SEPAKAT mengatakan bahawa sesungguhnya bumi berbentuk sfera, baca juga Tafsir Al-Bahr Al-Muhit:

“Telah bersabit dengan dalil bahawa bumi adalah bola (sfera). Dan ini tidak bercanggah dengan firman Allah s.w.t kerana sesungguhnya bumi adalah suatu jisim yang besar. Dan (sememangnya) bola (sfera) jika terlalu besar, maka suatu bahagian daripadanya akan kelihatan seperti rata”

Banyak lagi kalau nak tulis. Imam Fakhruddin Al-Razi, Imam Al-Ghazali, Imam Tohir Ibn 'Asyur semuanya kata bumi adalah sfera. Sebab itu tidak hairanlah kalau ada sesetengah ulama mengatakan bahawa perkara ini sudah ijma'.

So aku tak nak hujah dengan tafsir ayat Al quran, sebab Dr. Danial Zainal Abidin dan Dr zakir Naik dah hujah tafsir ayat Al quran bahawa bumi berbentuk sfera depan ribuan orang, semua diam tak ada hujang nak bantah.

Jadi benda ni dah setel dalam bab agama, nak tafsir ayat Al quran tanyalah ulamak yang ahli. Jangan sibuk nak kafirkan orang sana sini.

Sekarang aku nak buktikan bumi bulat macam sfera guna logic sains.

Mudah sahaja caranya, Telefon kawan anda di Amarika (jika ada) dan tanya dia, kenapa di sana malam, dan di sini siang? Jika bumi rata, dan matahari kecil macam bulan dan suluh Malaysia sahaja dan sana cahaya tak sampai, tanya dia, Nampak tak matahari? Sebab jika lampu jalan terang hanya satu kawasan, kita yang di kawasan gelap masih nampak lampu jalan tu, Tapi kawan di Amarika cakap, matahari sudah tenggelam magrib tadi arah barat, eh? macam mana pulak matahari nak naik di Malaysia arah timur dan suluh kita sahaja jika dan tenggelam magrib tadi di amarika jika bumi ini rata? Tak boleh fikir ke?

Okey, nak telefon kawan dekat Eropah mahal sangat, kita buat Ujikaji nombor dua,  Pergi KLCC bayar RM10 masuk petrosains petronas, cari meja ada lampu (matahari), bumi bulat dan bulan bulat, dari meja tu, dibuktikan fenomena gerhana bulan dan matahari.

Jadi sekarang, dengan teori bumi rata, cuba buat ujikaji simple macam dekat petrosains tu bagaimana gerhana bulan dan matahari boleh berlaku, Dah 2016 tahun selepas masihi bang, tak kan belum ada ujikaji simple dari mereka yang pandai sikit bab sains dalam geng teori bumi rata akan pembetukan gerhana? Adohai…

Baru ni ada orang terjun dari angkasa guna payung terjun, banyak video tu di internet, tengok gambar buminya bulat, jika tak percaya video tu sebab bukan orang islam, boleh tanya dr Sheikh Muszaphar Shukor yang tekag naik ke angkasa dan solat disana.

Cerita tentang solat, macam mana korang tahu arah solat yang JAKIM sahkan? Sebab Jakim ukur arah kiblat dengan berpandukan bumi bulat. Patut korang kena guna formula bumi rata, boleh?
Lagu satu, macam mana ahli falak boleh tahu dengan tepat tarikh dan waktu gerhana bulan dan matahari?

Korang ingat tak pada 9 Mac yang lalu, waktu tengok gerhana matahari di Malaysia, Pengarah Ukur Bahagian Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), Dr. Azhari Mohamed berkata, Orang ramai akan berpeluang menyaksikan fenomena gerhana matahari dalam tempoh tiga tahun lagi selepas bumi, bulan dan matahari berada dalam kedudukan selari seperti hari ini iaitu pada 26 September 2019 dan 21 Jun 2020 di seluruh negara.

Bagaimana mereka boleh kira dengan tepat?

Sebab mereka guna formula bumi adalah bulat.

Jadi aku nak cabar korang yang kata bumi ini rata untuk bagi formula nak kira gerhana bulan akan datang di Malaysia, bila?

Jawapan dah ada, boleh guna formula Besselian  atau Biruni,  tapi kena anggap bumi bulat baru boleh hintung tarikh gerhana akan datang, hasil kiraan pakar Falak, diRAMALkan pada 26 desember 2019, kita rakyat Malaysia akan melihat gerhana matahari cincin (annulus). Tetapi hanya sebahagian kecil semenanjung iaitu di selatan Johor. Manakala lain-lain kawasan Malaysia menikmati gerhana separa. 2019 beb, lama tu, dah boleh ramal guna matematik.

Korang yang percaya bumi rata boleh bagi tarikh gerhana bulan seterusnya? Semua kuasa Allah, bagi ilmu matematik kepada manusia juga dari Allah, nak buat formula matematik tak boleh main-main, jika korang yakin bumi rata, cubalah ramal Tarikh gerhana bulan seterusnya  jika korang betul.

Tapi itulah, matamatik fail, sains pun fail, tapi ada hati nak hujah ilmu sains, lepas tu lebih berani tafsir Al quran guna kepala otak, bahaya bang. Bahaya!

Sembang kencang semua orang boleh bang, nak lagi mudah untuk buktikan bumi bulat, cuba geng bumi rata ni kumpul duit banyak banyak, dan pergilah melancong di angkasa, kosnya hanya 20 juta dolar USD satu kepala untuk seminggu. Pada tahun 2001, orang pertama melancong ke angkasa dan boleh tengok bumi ni bulat adalah Dennis Anthony Tito, jutawan dari Amerika, siap naik Soyuz dan singgah di ISS.

Dari tahun 2001 hingga 2009, seramai tujuh orang jutawan dari pelbagai negara telah melancong ke angkasa, Last pelancong ke angkasa adalah Jutawan Guy Lalibert√© dari Kanada,  bayar USD 40 Juta untuk percutian selama11 hari. Oh ye, pada tahun 2006, Anousheh Ansari, sempena hari jadinya sendiri, telah jadi wanita Islam pertama melancong ke angkasa, dengan kos USD 20 juta untuk orbit bumi selama 11 hari. Kata beliau, jika ada wang lebih di masa depan, nak melancong ke bulan pula, ha ha.

Jadi kepada geng sembang bumi rata boleh kumpul derma sesama mereka, dan pergi sendiri, tak payah gaduh gaduh kata satelit tu CGI ke apa, sampai sana, mereka akan bawa korang keliling bumi setiap dua jam, (90 minit sekali pusingan) dan jika korang rasa mereka tipu dalam stadio, boleh request bilik kaca, dan sila pecahkan cermin ISS jika nak jadi arwah di sana, oh ye, dengar cerita Rusia pun nak buat hotel di angkasa tak lama lagi, sediakan duit sahaja lah yer, sembang sampai gajah terbang semua orang boleh buat.

Tahukah korang, data pada tahun 2013, jumlah manusia ke angkasa adalah seramai 536 orang dari 38 negara. Dari jumlah itu, 533 orang telah sampai ke Earth orbit, 24 orang telah sampai lebih dari Earth orbit dan 12 orang sudah berjalan di Bulan. Antara mereka masih ramai yang hidup. Dan sekarang manusia merancang untuk menjadi manusia pertama ke marikh, tapi kita di sini, kapal terbang tak mampu nak cipta, roket jauh sekali, tapi sibuk bergaduh bumi ini rata dengan teori tak masuk akal.

Oh ye, bukan semua angkasawan kafir, ada 10 orang Islam telah pergi ke angkasa termasuk dari Malaysia siap solat dengan fatwa ijama ulamak lagi dan siap tunjuk cara nak mengadap kiblat pada bumi yang bergerak. Tapi korang, hmmm

Baiklah, jika geng bumi rata sengkek sangat nak kumpul duit untuk ke angkasa, boleh kumpul duit dan pergi Britain jumpa Hussain Manawer, orang Islam yang akan ke angkasa dalam tempoh terdekat, dijangka pada pertengahan tahun 2018, beliau sekarang sedang berlatih ilmu untuk hidup di sana, so jumpa dia, cakap elok elok, suruh ambik gambar bumi dari angkasa dan wasap korang. Ini kira kos paling murah kot nak tahu bumi ni bulat ke rata. Ha ha!

Akhir kata, bila Ustaz Azhar Idrus dan Dr. Danial Zainal Abidin kata Bumi bulat dan keliling matahari tapi korang tolak pendapat ustaz dan Dokter Sains, lalu tafsir Al quran guna kepala otak dan hujah sains pun kelaut, apa faedahnya lagi bang. Apa faedahnya lagi berdebat isu ini?

Kesianlah kat diri sendiri, jangan sesatkan diri dan ajak orang lain turut sesat sama.

Salam penuh simpati pada anda semua.


I rest my case.




Link:
Senarai pelancong angkasa
Orang islam ke angkasa 2018
Angkasawan Program

Sep 17, 2016

Ubat penyakit hati?

(Semusim di musim Korban)

Sambil siang daging lembu pada raya korban baru ni, abang aku yang turut sama melapah lembu ada bercerita kisah kawan dia seorang pendakwah (orang tabligh) yang masuk hospital kerana kemalangan dan kakinya putus.

Di Hospital, selain doktor rawat kakinya, beliau juga di datangi pakar sakit jiwa berbangsa cina, yang memujuknya agar bertabah dan jangan bunuh diri.

Cerita abang aku, Dr cina tu agak terkejut dengan sifat redho dan sabar pada pendakwah yang putus kaki, usahkah nak bunuh diri, malahan bersyukur pada anggota lain yang tidak putus, siap pendakwah tu pula dakwah doktor tu tentang kebesaran Allah. Katanya: Cukuplah Allah bagi saya dan hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.

Dari cerita ni, kita boleh tahu, jika betul didikan agama, kos upah Doktor berpuluh ribu untuk pujuk hati pesakit pun dapat di jimatkan. Kan? Woha!

Insya-Allah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang. Cukuplah Allah bagi kita, dan nikmat mana lagi yang kita dustakan?


Ps: Korban lembu setahun sekali untuk bagi orang miskin makan pun ada orang yang sakit hati, padahal hari hari McD sembelih lembu untuk bagi orang kaya makan, takpe pulak? Nampak sangat ada penyakit hati, Sila pergi jumpa doctor pakar sakit hati di hospital jika doctor tu mampu rawat hati korang. Adohai..,

Sep 13, 2016

Pesanan kepada Haji?

(Pesanan kepada sahabat yang terpilih pergi Haji-Tahniah!)

1. Sesungguhnya bila korang pergi Haji maka ketahuilah, bahawa korang dah tiba di tempat yang mana teramatlah sangat mustajab akan doanya, di sana, Taubat manusia pertama di terima, maka di mana sahaja penjuru Mekkah dan Madinah, atau di antaranya, bertaubatlah dengan bertalu-talu, dan jika teringat, sertailah nama aku dalam Taubatmu.. Sesungguhnya Taubat itu penting, dan lebih penting lagi di waktu mengerjakan Haji.

2. Sesungguhnya, Nabi Ibrahim a.s tidak di perintahkan untuk meninggalkan anak isteri begitu sahaja di Mekkah. Tapi di tinggalkan di tempat yang tiada orang, di tengah padang pasir, dan di tempat yang tiada air, Itupun setelah bertahun lamanya menunggu anak pertama lahir, namun dalam ketaatan kepada Allah, di tinggalkan juga sedang si anak masih menyusu. Itupun bukan 40 hari, tapi bertahun tahun lamanya. Namun TAAT mengatasi segalanya. Setelah 10 tahun berlalu, kepulangan Nabi Ibrahim a.s di sambut gembira anak dan isteri., namun janganlah kamu mengaku beriman sebelum kamu di uji. Dan ujian TAAT telah bermula dan terus bemula. Ketahuilan, Nabi ibrahim a.s tidak diperintah untuk sembelih seekor binatang tapi diperintah untuk sembelih seorang manusia, bukan sebarang manusia, manusia itu adalah anak dia, anak itu bukan ada adik beradik yang lain, anak tunggal dari ibunya, dan baginda taat melakukannya. Maka di mana sahaja penjuru Mekkah dan Madinah, atau di antaranya, Taatlah akan segala peritah Allah dengan bertalu-talu., Taatlah waktu solat jemaah, waktu haji dan Umrah. Sesungguhnya Taat itu penting, dan lebih penting lagi di waktu mengerjakan Haji.

3. Di tanah Suci Kota Mekkah itu, telah ternukil cerita tentang manusia-manusia yang Redha, lihat betapa redhanya isteri Nabi Ibrahim a.s dalam ujian mencari air., lihat betapa redhanya Nabi Ismail a.s dalam ujian di sembelih.. yang mana akhirnya muncullah peristiwa Safar dan Marwah, merejam syaitan, dan ibadah korban. Maka di mana sahaja penjuru Mekkah dan Madinah, atau di antaranya, Redhalah akan segala kesusahan dan keperitan dengan bertalu-talu..., Redhalah dengan cuaca, rezeki, dan karenah manusia, Sesungguhnya Redha itu penting, dan lebih penting lagi di waktu mengerjakan Haji.
4. Beribadat di Masjidil Haram di Mekkah bersamaan 100,000 kali ganda, bersolat di masjid Nabawi di Madinah bersamaan dengan 1000 kali ganda, dan bersolat di masjid al-Aqsa bersamaan dengan 500 kali ganda, maka jangan ponteng solat jemaah. Sesungguhnya Solat Jemaah itu penting, dan lebih penting lagi di waktu mengerjakan Haji.

5. Saidina Umar R.a ketika ditanya perbuatannya mencium hajarul aswad, maka beliau menjawab: “Kau hanya sebuah batu yang tidak mempu memberi faedah dan mudarat, kalau bukanlah kerana Rasulullah mengucupnya, sudah tentu aku tidak akan mengucupnya” Ini jelas menunjukkan bahawa para sahabat melakukan ibadat mengikut teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah tanpa menokok tambah berdasarkan akal semata-mata. Maka jika korang tengok ada yang berjalan ke Arafah dan tidak naik bas macam korang, maka ketahuilah mereka sedang ikut sunnah, atau apa sahaja amalan yang korang nampak kono dan sebagainya, jangan komplen dan kutuk.. Atau korang rasa meluat tengok ada orang yang menangis bagai nak rak dekat kubur Nabi, sedang korang cool sahaja, biarlah mereka menangis, korang tak tahu bagaimana cintanya mereka pada Nabi, dan jika teringat, sudilah kiranya sampaikan salamku dengan melafaz namaku di hadapan Kubur Nabi SAW.

6. Rasulullah S.A.W telah menyempurnakan semua rukun dan wajib haji dengan akhlak terpuji, Maka di mana sahaja penjuru Mekkah dan Madinah, atau di antaranya, Berakhlaklah, Sesungguhnya Ahlak itu penting, dan lebih penting lagi di waktu mengerjakan Haji.

7. Bagi yang pergi Haji atau tidak, janganlah kita lupa akan pesanan nabi di waktu menunaikan haji wida, agar supaya semua ummatnya mengerjakan kerja Dakwah. Rujuk khutbah terakhir Nabi yang menyuruh sampaikan pesanannya kepada seluruh alam, pesan Nabi: "Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."

8. Balik haji jangan merajuk orang lupa panggil dengan gelaran haji atau hajjah. Hidup ini singkat sahaja. Huhu.


Sampai sini dulu. Selit namaku dalam doamu jika teringat. Hamka keretamayat.

Sep 7, 2016

Kenapa doa anda tidak makbul?

(tanya sama abang keretamayat-)

Soalan pembaca: 

Assalamualaikum. Maaf mengganggu saudara Hamka
Saya ada soalan nak tanya. Semoga saudara hamka tak keberatan untuk jawab.
Soalan saya macam mana kita nak buat untuk pastikan hati kita bole terima dengan terbuka dan berlapang dada seandainya doa kita dan usaha kita atas sesuatu Allah tidak makbulkan. Andaikata apa yang kita hajat tidak dimakbulkan Allah, boleh tak kita masih terus berdoa dan berusaha untuk hajat tersebut walaupun kita sendiri rasa mcm memng dah tak layak untuk hajat trsebut atas faktor umur, tanggungan dan etc.

Sebab telah berusaha dan berdoa sejak umur muda sampai dah meningkat umur. Jadi mcm mana nak didik hati kita supaya berlapang dada dengan apa yang Allah telah tentukan instead of menangis dan rasa kecewa yang mana boleh jatuh kufur atas nikmat Allah yang lain.
Sekian

Wassalam

*******

Hamka said:

Salam.

Maaf menggangu dari anda telah aku terima, dan aku pernah tulis isu ini dalam buku Permata Yang Hilang Kini di Jumpai. Mungkin tak selari dengan masalah anda, tapi point ada di sini.

Jadi aku akan ringkaskan point untuk masalah ini agar korang senang nak rujuk, insya-Allah:

1. Ramai orang berdoa nak turunkan harga minyak, nak suruh kerajaan letak jawatan., nak suruh israel berundur dari palestin., nak mufliskan perniagaan orang yahudi.. Tapi kenapa doa mereka tidak makbul? Minyak tetap naik, kerajaan yang sama tetap memerintah, Israel tetap serang palestin, syarikat yahudi tetap kaya raya..kenapa?

2. Jawapannya adalah Kerana doa itu tidak di makbulkan oleh Allah, Kenapa doa mereka tidak di makbulkan oleh Allah, sedangkan di kalangan mereka aku tengok ada ramai ustaz dan ustazah, ramai alim dan alimah, kenapa ?

3. Pembakang cakap, doa tak makbul sebab kita takde Negara islam, ada ustaz cakap, doa tak makbul sebab ummat hari ni banyak makan benda haram, riba, dan sebagainya, Aethist cakap, doa tak makbul sebab tuhan tidak wujud, semua ada hujah masing masing.

4. Yang pastinya, Zaman ini bilangan orang pergi haj√≠ dan bilangan orang islam lebih ramai berkali ganda dari bilangan orang islam zaman Nabi, dan satu dunia doa, “Ya Allah selamatkanlah, Palestin, Syria, dan lain-lain,” tapi doa masih tak makbul, kenapa?

5. Bagi aku, Antara salah satu sebab musabab doa korang tak makbul adalah kerana korang salah teknik dalam berdoa sebab tak faham apa itu takdir.

6. Sebagai contoh, jika muka korang hodoh gila babi lalu korang dengan sedihnya berdoa kepada Allah: “Ya Allah jadikanlah wajahku secantik Mackenzie Foy. Lepas doa karang, cuba korang pergi tengok cermin.. apa yang berlaku? Muka buruk tu jugak yang korang nampakkan? Apa perasaan korang? Sedih? Kecewa,? Nak mampos? Nak bunuh diri?

7. Jadi doa macam tu salah, dan menyusahkan orang, sebab perkara yang korang doakan itu termasuk dalam takdir Allah…

8. Sepatutnya korang doa macam nih… “Ya Allah..jadikanlah aku bersabar dengan wajahku yang hodoh ini: (sambil bersyukur kerana hakikatnya ada lagi orang yang muka lebih buruk dari korang) lepas doa, korang pergi tengok cermin..apa yang berlaku? Kalau doa ‘sabar’ korang makbul.. tentu korang cakap: “cantik jugak aku nih, ada iras iras Karenna kapoor..Woha!

9. Jadi dalam doa, cuba mintak dengan Allah hari-hari agar dikurnia hati yang sentiasa bersyukur dengan segala nikmat dan bersabar dengan segala ujian.

10. Cuba tanya diri, sekarang ada korang doa sabar dengan apa yang korang tak suka? .. berapa kerat antara kita yang doa sabar dengan kesusahan berbanding yang berdoa supaya kesusahan tu hilang?

11. Dengan benda yang kita suka pun tak boleh nak sabar, seperti, alahai..lambatnya gaji..apahal awek aku tak tepon nie, lambatnya cuti, …apatah lagi kita nak sabar dengan benda yang kita benci! Jadi korang tahu kenapa Allah bertalu-talu bagi korang susah? Adakah Allah nak korang ingat pada Dia dengan mintak di hilangkan kesusahan? Atau Allah nak korang bersabar dengan kesusahan sambil ingat Dia supaya darjat korang naik?

12. Dan jika korang tak mampu nak sabar, kenapa tak mintak ‘hati yang bersabar’?

13. Nampaknya aku kena bukak cerita Nabi Ayub a.s, tapi better korang rujuk ustazlah…jadi Antara nikmat yang terbesar dalam hidup yang pernah di ungkapkan oleh seorang sahabat Nabi: “HATI YANG SENTIASA BERSABAR”

14. Cuba rajin buka kitab, rujuk cerita sahabat Nabi S.A.W yakni: bila batu dihempap atas dada Bilal Ra, Bila Khabbab RA di seret atas bara api sampai bara api padam kerana lelehan lemaknya, Bila Sumayyah di seksa, Bila Abu Bakar Ra di pukul sampai rata mukanya, Bila Nabi sendiri di baling batu, Apakah korang ingat Allah tak boleh halang orang kapir? Buat batu tu stop macam Neo dalam the matrix stopkan peluru? Kenapa Allah biarkan saje NabiNya di baling batu dan Sahabat Nabi di seksa..?

15. Tak lain tak bukan… Kerana Allah nak uji iman mereka, dengan perantaraan sabar!

16. ALLAH SANGAT SUKA DENGAN GOLONGAN YANG BERSABAR DENGAN MUSIBAH!

17. Apa pesan Nabi pada Bilal, Khabab, sumayyah, kelarga Yasir dll? Bersabarlah…sesengguhnya Allah bersama kita, Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar… Dan..SABAR itu kepala kepada iman!

18. Sebab tu aku nak tanya korang, bila Allah datangkan kesusahan dalam hidup korang? Ada korang mintak hati yang bersabar? Tidak, sebaliknya korang menjerit terlolong sana sini dan salahkan orang lain, salahkan kerajaan, salahkan polis, salahkan sekolah…akhirnya jiwa jadi menderita..tertekan, gila babi, lalu bunuh diri!Nauzubillah.

19. Cuba rujuk cerita bila Nabi zakaria a.s di gergaji oleh orang kapir…Nabi Zakaria mengerang kesakitan,.lalu Allah tegur, jika kamu mengeluh, kamu akan di buang daripada senarai kenabian..lalu Nabi Zakaria ‘senyap’ menahan kesakitan di gergaji sampai jadi mayat.

20. Cuba rujuk kisah Nabi s.aw waktu di baling batu kat Taif..malaikat offer nak terbalikkan bumi taif, Nabi sabar dan doa kebaikkan untuk mereka sambil air mata Nabi bergenang.

21. Cuba rujuk kisah ketika Nabi musa sebelum menjadi Nabi, sedang jaga sekumpulan kambing, tiba-tiba sekor telah lari (macam Ahmad Albab daa).. Nabi musa kejar itu kambing, tapi itu kambing lari jugak..sampai satu tahap, kambing tu penat berlari dan badannya luka kerana tergores sana-sini, begitu jugak Nabi Musa a.s yang luka kerana kejar dia punya kambing, tapi bila dah dapat kambing itu, nabi Musa takdelah nak terajang ke atau nak lempang kambing tu.. sebab nyusahkan dia, tapi Nabi Musa belai dan gosok dia, sambil berkata; kesian kau kambing, kenapa susah-susah begini? Lalu mendukung kambing itu bawak pulang, maka pada ketika itu juga Allah berfirman kepada malaikat Jibrail .as untuk melantik Nabi musa sebagai Nabi kerana ada sifat sabar…subhanaAllah…

22. Itu belum aku cerita Nabi khaidir yang enggan menerima anak murid untuk belajar dengannya walaupun seorang Nabi kerana tidak mempunyai sifat sabar

23. Oleh yang demikian, Kerana itulah antara Nikmat yang besar dalam hidup adalah memiliki hati yang sabar…

24. Korang tahu apa itu sabar? Sabar terbahagi kepada dua: Satu: Sabar dalam mengerjakan amal kebaikkan Dua: Sabar menahan segala penderitaan..

25. Jadi maksud sabar dalam mengerjakan kebaikkan adalah: TAAT SEGALA PERINTAH ALLAH SAMPAI MATI!

26. dan maksud sabar dalam menahan segala penderitaan..adalah : TAHAN UJIAN ALLAH SAMPAI MATI! SAMAADA ALLAH HILANGKAN KESUSAHAN INI DENGAN BERKAT KESABARAN SAYA, ATAU SAYA MATI MENAHAN UJIAN ALLAH!

27. Rujuk Al Quran kisah sabar dalam perang: “Maka jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, niscaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh dan jika di antara kamu ada seribu orang yang sabar niscaya mereka dapat mengalahkan dua ribu orang musuh dengan izin Allah. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” , rujuk ayat ini diturunkan waktu perang badar, orang kafir ada seribu, dan orang islam ada tiga ratus lebih, lalu Allah suruh sabar, dan Allah bersama orang yang sabar, jadi bila ada masalah, kita kena doa supaya Allah bagi sifat sabar pada kita dalam hadapi kesusahan, dan bila dah ada sifat sabar, maka mudah untuk kita selesaikan masalah itu kerana Allah janji akan bersama orang yang sabar, nikmat mana lagi yang aku dustakan?

28. Dan kita semua beruntung sebab Allah suruh cari pertolongan dengan SABAR dan SOLAT..cuba Allah suruh cari pertolongan dengan sabar dan PUASA atau sabar dan HAJI..jenuh kita nak dapatkan kesabaran itu….so adil sangat bila Allah suruh cari pertolongan dengan SABAR dan SOLAT..

29. Ni lagi satu…bila korang ada hajat dan buat solat hajat, berapa raka’at korang solat hajat? Apa? Tak dengar…Dua?.. DUA SAJER!? Saidina Ali yang tiada makanan solat 12 raka’at baru Allah bagi rezeki yang melimpah ruah, aku yang banyak dosa ni..solat hajat dua raka’at sajer supaya dimudahkan urusan hutang piutang..oh…kalau lah malaikat tu jenis makluk yang ada sifat penat, tentu malaikat tu penat tulis dosa aku, adohai…


30. MORAL: bila susah, bersolatlah…dan mintak dengan Allah hati yang bersabar. Dan sudah menjadi janji Allah untuk menghapuskan kesusahan kamu selepas kamu bersabar..

31. Jadi yang tak tahan dengan karenah suami, dah doa belum sabar dengan sifat suami?

32. Yang tak tahan dengan karenah majikan, dah doa belum sabar dengan sifat majikan?

33. Yang tak tahan dengan masakan isteri tak sedap, dah doa belum sabar dengan rezeki Allah?

34. Yang tak tahan dengan karenah anak-anak, dah doa belum sabar ngan sifat anak?

35. Yang tak tahan dengan karenah pemimpin, dah doa belum sabar ngan sifat pemimpin?

36. Bila korang ada sifat sabar, masalah korang akan lebih senang diselesaikan berbanding orang yang tak ada sifat sabar ditimpa masalah. Peniaga yang Berjaya, ahli sukan yang Berjaya, pelajar yang berjaya isteri yang Berjaya, pemimpin yang Berjaya, mereka semua ada sifat sabar yang luar biasa.

37. Lagi satu ada ustaz cakap, Allah akan betulkan orang yg menyusahkan kita bila kita bersabar dengan mereka, (macam Nabi dan penduduk mekah) dan Allah akan biarkan mereka menyusahkan korang yang tak nak bersabar dengan mereka!

38. Kerana itu korang boleh tengok negara yang rakyatnya terus di tindas, isteri-isteri yang terus menerus di zalimi suami..kenapa? kerana mereka bukan nak bersabar tapi tak bersyukur dan tak bersabar malahan nak menentang pula!

39. Ketahuilah, Allah yang keluarkan masalah, Allah juga yang menyelesaikan masalah.., kembalilah kepada Allah.

40. Ada ustaz cakap, Seorang isteri yang bersabar dengan karenah suaminya-Allah akan hantar Malaikat untuk memperbetulkan akhlak suaminya. Seorang rakyat yang bersabar dengan karenah pemimpinnya-Allah akan hantar Malaikat untuk memperbetulkan akhlak kerajaanyanya.

41. Apa yang Allah telah takdirkan, macam rezeki, ajal, jodoh…korang tak payahlah nak kena doa sampai keluar air mata darah, ada benda lain lagi yang patut korang doa sampai keluar air mata darah!

42. Antaranya..HIDAYAT DAN HATI YANG SENTIASA BERSABAR.

43. mintak jugak dengan Allah supaya bagi hati yang sentiasa bersyukur,

44. Bila korang ada sifat syukur, masalah korang akan lebih senang diselesaikan berbanding orang yang tak ada sifat syukur ditimpa masalah. Peniaga yang Berjaya, ahli sukan yang Berjaya, pelajar yang Berjaya, isteri yang Berjaya, pemimpin yang Berjaya, mereka semua ada sifat syukur yang luar biasa.

45. Perkara seterusnya korang dan aku kena mintak dengan Allah supaya bagi sifat ikhlas dalam beramal, Dan seterusnya korang kena mintak dengan Allah supaya bagi hati yg sentiasa takut dengan dosa yang lalu dan akan datang..

46. Ketahuilah, Orang yang jahat adalah orang yang lupa pada dosanya, Orang yang baik adalah orang yang lupa pada amalnya,

47. Ya Allah, PILIHlah aku menjadi orang islam yang soleh. Ya Allah, GUNAkanlah aku menjadi orang islam yang soleh. Ya Allah, BANTUlah aku menjadi orang islam yang soleh. Ya Allah, TERIMAlah aku menjadi orang islam yang soleh.

48. Hari ini kita semua telah dipilih menjadi orang islam, tapi takut bila kita mati kelak, kita tidak diterima sebagai seorang islam, maka mintaklah dengan Allah supaya gunakan kita sebagai asbab hidayat dan mintaklah Allah Bantu kita dalam mencari hidayat dan menjadi asbab hidayat.

49. Bagi mereka yang di timpa masalah, ingatlah: Sekiranya beginilah caranya Allah nak ampunkan dosa aku,alangkah ringannya penderitaan ini.


50. Dan apabila beginilah caranya Allah nak selamatkan kita dari azab api nereka dan masukkan kita ke dalam shurga yang kekal abadi, alangkah 'indah-nya' penderitaan ini..."

Nikmat mana lagi yang kita dustakan?

Sekian.


(di olah semula dari buku PERMATA YANG HILANG KINI DIJUMPAI)

Ps: siapa baca sampai habis, korang memang seorang yang sabar, Alhamdulillah